• FOLLOW US
Event, Hiburan

Siti Nurhaliza, Hijjaz Bakal Jayakan Makan Malam Amal Karnival Mahabbah 1.0

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan kumpulan nasyid terkenal Hijjaz menjadi pilihan untuk menjayakan majlis makan malam Karnival Mahabbah 1.0 yang akan berlangsung pada 24 April ini.

Pengarah program, Mohd. Hafizullah Mohd. Tahir berkata, pemilihan kedua-dua artis berkenaan adalah berdasarkan faktor pengaruh yang dimiliki mereka.

“Ketika sesi membuat pemilihan, kami mencari artis yang mampu menarik orang ramai ke acara itu. Misalnya, Siti dipilih kerana beliau bukan sahaja disukai segenap lapisan masyarakat, malah dalam kalangan ustaz dan ustazah pun ramai yang meminatinya.

“Alhamdulillah, proses untuk mendapatkan Siti bagi menjayakan majlis makan malam amal ini berjalan dengan lancar, malah kami berbesar hati dengan kesediaan beliau menyertai usaha ini,” ujarnya.

Karnival Mahabbah 1.0 anjuran Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh itu akan berlangsung dari 24 April sehingga 28 April di Stadium Indera Mulia, Ipoh, manakala Majlis Makan Malam Amal bersama Siti dan Hijjaz akan berlangsung pada 24 April jam 8.30 malam.

Sebanyak tiga kategori meja akan dijual untuk persembahan itu iaitu platinum (RM5,000), Gold (RM3,000) dan Silver (RM2,000). Untuk pembelian tiket boleh hubungi talian 017-5232302 (Ustaz Azhari) atau 013-4866153 (Ustaz Bukharie).

Ketika ditanya mengenai tujuan penganjuran tersebut, Hafizullah menjelaskan matlamat utamanya adalah mencari dana untuk masjid tersebut bagi keperluan perbelanjaan ketika bulan Ramadan nanti.

Ujarnya, selain majlis makan malam amal itu, terdapat banyak lagi aktiviti yang berlangsung selama lima hari seperti pembukaan lot kedai jualan, program keusahawan, buffet amal, ceramah agama, persembahan buskers dalam kalangan imam di masjid berkenaan serta pelbagai lagi.

Sementara itu, Siti yang turut hadir ke majlis sidang media majlis berkenaan memberitahu persetujuannya untuk terlibat sama kerana menghulurkan sesuatu kepada mereka yang memerlukan dengan melihat ia satu tangunggjawab sebagai seorang umat Islam.

“Sebagai orang Islam, saya merasakan ini hanyalah satu peranan kecil yang dapat dilakukan untuk membawa masyarakat supaya lebih dekat dengan masjid.

“Lagipun, masjid tidak seharusnya dilihat sebagai tempat ibadat semata-mata, malah kita perlu sedar bahawa masjid juga merupakan pusat aktiviti masyarakat setempat,” jelasnya.

Pada masa sama, Siti juga berharap agar para peminatnya bukan sahaja di Ipoh, tetapi di utara agar dapat turun beramai-ramai dan memberi sokongan kepada acara karnival dan majlis makan malam itu nanti.

Ujarnya, dia akan menguar-uarkan tentang karnival berkenaan di laman sosialnya dan berharap agar apa yang dilakukan mendapat keberkatan daripada Allah.

“Untuk persembahan nyanyian pula, saya akan mempersembahkan lagu-lagu kerohanian serta lagu-lagu pop yang mempunyai mesej ketuhanan,” jelasnya. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend