• FOLLOW US
Filem, Terkini

Sumpahan Jerunei Papar Kisah Budaya Silam Masyarakat Melanau

Setelah agak lama tidak menghasilkan filem, penerbit Datuk Nancy Foo dan Datin Wendy Wong menerusi syarikat Produksi Seni 2020 bakal tampil dengan sebuah filem seram baharu berjudul Sumpahan Jerunei.

Menariknya, filem berkenaan yang diarahkan oleh pengarah Jason Chong untuk menampilkan sebuah karya yang memaparkan kisah budaya silam masyarakat Melanau di Sarawak.

Menurut Nancy, pada asalnya pihaknya sekadar mahu menghasilkan sebuah dokumentri, tetapi mengubah fikiran untuk diolah ke dalam filem.

“Sebelum memulakan penggambaran kami mengambil masa selama empat tahun untuk membuat kajian. Akhirnya, kami sepakat untuk menjadikannya sebuah filem.

“Biarpun tema filem ini mengangkat tentang budaya masyarakat Melanau, tetapi kami tetap menitikberatkan elemen komersial untuk menarik minat orang ramai menonton filem ini nanti,” ujar Nancy ketika ditemui di lokasi penggambaran filem berkenaan di Kuching, Sarawak semalam.

Sumpahan Jerunei dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Tony Eusoff, Uqasha Senrose, Yuyun Hikmah, Daiyan Trisha serta Ruminah Sidek.

Ia memaparkan tentang sejarah silam kaum Melanau yang penuh misteri, terutama berkaitan dengan adat pengebumian golongan bangsawan Melanau dengan jerunei dan ketika ini tinggalan sejarah jerunei masih lagi boleh ditemui di Kampung Tellian Tengah Mukah.

Seorang lagi penerbit iaitu Wendy pula memberitahu, memandangkan Sumpahan Jerunei turut membabitkan imej janaan komputer (CGI), pihaknya turut menggunakan khidmat seorang pakar CGI yang pernah bekerja dalam beberapa filem blockbuster Hollywood seperti Harry Potter.

“Selain jalan cerita, sudah tentu kualiti filem ini amat dititikberatkan memandangkan kami sasar mahu memasarkan filem di luar negara.

“Malah, kami kini sedang menyiapkan teaser Sumpahan Jerunei dan akan dibawa ke Pesta Filem Cannes pada bulan hadapan bagi mencari pihak-pihak yang berminat dengan filem ini nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang ditemui menyatakan pihak kerajaan negeri sangat mengalu-alukan penerbitan filem ini yang dilihat sebagai sebahagian daripada mempromosikan budaya di Sarawak.

Ujar Abdul Karim, pihaknya turut memberikan sepenuh sokongan kepada penerbit Sumpahan Jerunei agar penggambaran filem tersebut berjalan dengan lancar.

“Ketika penerbit membentangkan kertas kerja tentang penerbitan filem ini, saya merasakan ia suatu cerita yang sangat menarik, terutama sekali untuk memperkenalkan budaya Sarawak kepada masyarakat luar.

“Pihak kami menyedari bahawa filem juga merupakan satu medium yang terbaik untuk mempromosikan negeri ini bagi menarik lebih ramai pelancong,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend