• FOLLOW US

Lamar Erra Fazira, Isteri Beri Lampu Hijau Kepada Awie

Setelah lebih 20 tahun mengalami episod kegagalan dalam percintaan, penyanyi Datuk Awie dan Erra Fazira akan kembali mengusik kenangan lalu di antara mereka menerusi Konsert Awie Romantika yang akan berlangsung pada 15 Februari nanti.

Awie berkata, dia melihat keserasian yang cukup kuat dengan bekas teman wanitanya itu sebagai salah satu faktor yang membuatkannya tertarik untuk bekerjasama dengan Erra menerusi konsert berskala besar yang dianjurkan oleh HS Shazlicious.

“Keserasian yang ada di antara kami dalam bidang lakonan dan nyanyian telah membuatkan saya melamar Erra untuk bersama-sama menjayakan konsert ini.

“Sebelum membuat lamaran, saya terlebih dahulu dah minta keizinan daripada isteri dan dia beri lampu hijau demi konsert ini. Isteri juga merupakan peminat Erra malah dia sempat berpesan pada saya yang dia nak bergambar dengan Erra nanti,” katanya yang juga merupakan suami kepada Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin.

Menerusi satu sidang media yang diadakan di Zebra Showcase, Palace of Golden Horses, Seri Kembangan hari ini, nama Erra diumumkan sebagai penyanyi undangan yang akan memeriahkan konsert solo Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 51.

Menurut Awie, konsert itu nanti akan menyelitkan beberapa babak lakonan di antaranya dengan Erra selain merungkai persoalan ramai mengenai punca perpisahan mereka, dua dekad lalu.

“Saya dan Erra tidak boleh halang apa yang orang luar nak cakap mengenai kisah lama kami, mereka berhak menilai apa sahaja. Daripada biar mereka terus berteka-teki mengenai perkara tersebut, kami kembalikan nostalgia itu menerusi lagu-lagu yang akan didendangkan pada malam konsert nanti.

“Di luar ke mana sahaja saya pergi, orang pasti akan bertanya tentang kami, malah sampaikan ada orang suruh saya berkahwin dengan Erra. Kami di sini hanya nak tunjukkan contoh yang baik, yang mana jika tiada jodoh tak semestinya kita kena bermusuh. Apa yang lepas, biarkan ia berlalu.

“Untuk konsert ini, kami akan berduet menerusi dua buah lagu dan Erra akan turut mendendangkan tiga buah lagu solonya di samping diselang-selikan dengan beberapa sketsa lakonan yang bersesuaian dengan kisah lama kami,” ujar Awie lagi.

Sementara itu, Erra, 45, pula berkata dia tidak terus menyatakan persetujuan apabila dilamar Awie untuk menyertai konsertnya. Sebaliknya, bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 ini mengambil sedikit masa untuk meneliti terlebih dahulu hala tuju konsert tersebut.

“Ketika ditawarkan, saya tidak terus bersetuju, malah kami ada buat perjumpaan untuk berbincang mengenai apa intipati yang telah dirancang untuk konsert tersebut.

“Awie cakap konsert ini nak diselitkan sedikit sketsa. Suatu ketika dahulu nama kami sangat sinonim sebagai pasangan bercinta. Jadi, tujuan Awie adalah untuk merungkaikan persoalan peminat mengenai perpisahan itu.

“Kalau mahukan saya menyanyi sahaja, lebih baik Awie ambil Kak Ziana kan? Tapi, Awie kata ada sketsa dan penceritaan kami, itu adalah sebab kenapa saya bersetuju untuk sertai konsert ini,” ujar Erra.

Tiket Konsert Awie Romantika yang akan diadakan pada 15 Februari 2020 di Stadium Malawati, Shah Alam boleh didapati menerusi www.myticket.asia atau hubungi talian (03-86050195).

Tiket berharga RM78 (green zone), RM128 (purple zone), RM188 (yellow zone), RM238 (red zone), RM308 (grey zone) dan RM438 (vip zone). – KopiPlanet.com

Serik Ditipu Penganjur, Awie Jual Sendiri Tiket Konsert Laksamana Metal

Pernah melalui kejadian ditipu sebanyak dua kali oleh penganjur konsert menyebabkan vokalis kumpulan Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie mengambil pendekatan menjual sendiri tiket Konsert Laksamana Metal Dua Generasi, Wings X Bunkface yang bakal diadakan pada 4 Mei ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Menurut Awie, beliau mengambil langkah seperti itu bagi mengelak berlaku sebarang penipuan dalam penjualan tiket, selain mahu kembali semula kepada cara jualan tiket konsert sebelum bermulanya era pembelian di atas talian.

“Saya ambil pendekatan ini sebab dah serik kena tipu dengan penganjur konsert. Pernah dua kali kena tipu iaitu satu persembahan di Pahang dan satu lagi di Kuala Lumpur. Mereka kata tiket hanya terjual separuh sahaja tapi bila tengok crowd di konsert itu, ia melebihi kapasiti lokasi konsert itu sendiri.

“Kiranya mereka ambil keuntungan dengan jual tiket sendiri (secara haram) dan beri kami bayaran dengan hanya berdasarkan tiket yang dah terjual sebelum ini sahaja.

“Bila jadi macam itu, sudah pasti kita akan rasa sakit hati. Untuk mengelak risiko itu daripada berulang, saya akan menjual tiket Konsert Laksamana Metal ini secara manual yang mana peminat yang sudah membeli tiket akan terlebih dahulu diberikan ‘claim voucher’ dan mereka perlu menebus tiket konsert empat hari sebelum berlangsung konsert di PWTC.

“Saya juga nak kembalikan memori pembelian tiket ketika era dahulu yang tanpa melibatkan jualan tiket online. Sekarang, jual tiket online pun orang boleh menipu,” katanya kepada KopiPlanet.com

Awie ditemui pada majlis sidang media Konsert Laksamana Metal Dua Generasi, Wings X Bunkface yang berlangsung di Tanjung Lounge PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah ahli kumpulan Wings iaitu Black, Sham, Eddie dan Edrie Hashim serta anggota kumpulan Bunkface, Sam, Youk dan Paan.

Wings dan Bunkface bergabung menjayakan Konsert Laksamana Metal Dua Generasi, Wings X Bunkface pada 4 Mei ini di PWTC.

Awie turut menambah tiket-tiket konsert itu akan dijual menerusi agen Sayap-Sayap Wings yang akan menjelajah beberapa lokasi konvoi motosikal di Semenanjung Malaysia yang mana senarainya akan dipaparkan menerusi laman Instagram dan Facebook rasmi Wings.

“Peminat akan membeli tiket daripada lokasi-lokasi konvoi ini dan kami akan beri ‘claim voucher’ yang mana kami turut mempunyai salinannya.

“Kami akan ambil catat nama, nombor I.C serta nombor telefon para pembeli. Sebanyak sepuluh kaunter disediakan untuk tujuan penebusan itu.

“Untuk menggalakkan mereka menebus lebih awal, pihak kami menyediakan barangan ‘merchandise’ eksklusif untuk 500 penebus tiket terawal,” jelasnya lagi.

Tiket bagi menyaksikan konsert ini dijual pada harga RM150 dan RM450 (berpeluang menyaksikan sesi soundcheck dan majlis minum petang).

Mengulas mengenai konsert ini, Awie berkata ia adalah sebagai ‘warm up’ untuk Wings sebelum mereka menjayakan konsert berskala besar sempena 35 tahun penubuhan band rock itu tahun hadapan.

Mengenai pemilihan Bunkface dalam konsert ini, Awie berkata ia adalah pilihan yang tepat memandangkan mereka ingin beraksi satu pentas dengan penyanyi generasi baharu yang berbeza genre.

“Kami pilih Bunkface sebab nak buat kelainan dan kami tahu Bunkface ada kalangan peminat mereka yang tersendiri selain muzik mereka yang bagus.

“Jangan salah faham, Bunkface bukan artis ‘opening act’ untuk konsert ini, sebaliknya dua-dua kumpulan dapat buat persembahan dalam tempoh masa yang sama.

“Kami sahaja tampil kelainan dengan seiringkan penyanyi yang lama seperti kami dengan generasi baharu seperti Bunkface,” kata Awie. – KopiPlanet.com

Operasi X Filem Aksi Sarat Mesej Perjuangan Dan Persahabatan

Tajuk: Operasi X
Tarikh Tayangan: 1 November 2018
Durasi: 1 jam 47 minit
Genre: Aksi/Jenayah
Pengarah: Sandosh Kesavan
Pelakon: Datuk Aaron Aziz, Datuk Awie, Nasir Bilal Khan, Datuk Yusof Haslam, Hairul Azreen, Hefny Sahad, Hanna Aqeela dan Amerul Affendi.
Klasifikasi: P13

Kehebatan tayangan filem tempatan diteruskan dengan filem Operasi X yang mula menemui penonton bermula semalam (1 November).

Mempertaruhkan nama-nama hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Awie, Nasir Bilal Khan Datuk Yusof Haslam, Operasi X mampu menambat hati penonton lebih-lebih lagi dengan watak bersahaja Awie sebagai seorang ketua sindiket dadah yang dikenali sebagai Belut.

Walaupun wataknya seharusnya bersifat antogonis, namun Awie berjaya membuatkan penonton berasa terhibur dengan dialog yang dilontarkannya.

Selain kehebat lakonan otai-otai di atas, filem ini turut diperkuatkan dengan kemunculan Hairul Azreen, Hefny Sahad, Hanna Aqeela, Hairi Safwan dan Amerul Affendi.

Filem pertama arahan Sandosh Kesavan ini mengetengahkan aksi dan jenayah yang sinonim dengan intipati filem-filem Tamil namun telah digubah mengikut selera penonton Melayu.

Operasi X berkisarkan ASP Redzuan (Aaron) seorang anggota polis yang telah meninggalkan dunia siasatan jenayah. Tidak menyangka bahawa operasi pada hari itu bakal menjadi operasi terakhirnya apa Redzuan telah menyaksikan kematian sahabat baiknya.

Membawa diri berkelana di sebuah pulau di Pulau Pinang, Redzuan kemudian berkenalan dengan seorang gadis kampung, Ayu yang membawa kepada hubungan istimewa mereka.

Ketibaan dua anggota polis berpangkat tinggi yang mencarinya ke pulau itu telah membuka mata Redzuan untuk kembali berkhidmat dan dia berhasrat mahu menjatuhkan kumpulan sindiket dadah yang telah menyebabkan kematian kawan baiknya itu.

Sementara itu, ketua sindiket, Belut pula mahu menuntut keadilan di atas kematian adiknya dan mensasarkan untuk membunuh Redzuan yang disangkakan telah menembak mati adiknya.

Secara keseluruhannya, Operasi X bukan sahaja menawarkan filem aksi semata-mata sebaliknya turut menampilkan unsur-unsur seperti cinta, keluarga, persahabatan dan kisah sebuah perjuangan. – KopiPlanet.com

Biarpun Bertanjak, WMGS Tidak Abai Soal Keselamatan

Tampil membuat kelainan daripada kebanyakan kelab motor berkuasa tinggi lain, Wings Motor Gang Society (WMGS) menggunakan elemen dan semangat kemelayuan dengan memakai tanjak sepanjang melakukan konvoi beramai-ramai.

Bertanjak dan memakai baju Melayu menjadi identiti WMGS selain ingin memartabatkan jati diri dan asal usul orang Melayu.

Presiden WMGS, Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kelab mereka menyalahi undang-undang apabila tidak mengenakan topi keledar ketika melakukan konvoi.

Walaupun hanya memakai tanjak, WMGS sama sekali tidak akan berkompromi mengenai soal keselamatan apabila setiap konvoi persatuan itu pasti akan diiringi polis trafik yang memberikan kerjasama kepada mereka.

“Salah ke pakai tanjak dengan baju melayu naik motor? Lagipun kami tidak menyalahi undang-undang jalan raya.

“Setiap konvoi yang kami lakukan akan ada polis trafik bersama dan kami menanggalkan helmet serta bertanjak mengikut jarak yang ditetapkan dengan kebenaran pihak berkuasa. Ada jarak dan kawasan dibenarkan dengan kawalan anggota polis trafik.

“Kami tidak sesekali mengambil mudah soal keselamatan kerana kami sentiasa mengikut spek yang telah ditetapkan undang-undang jalan raya,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis pelancaran WMGS di Tadom Hill Resort, Banting baru-baru ini.

Pelancaran itu dibuat pada hari ke-465 penubuhan kelab itu sejak ia ditubuhkan pada 6 September 2016.

Menurut Awie, setakat ini WMGS telah berjaya mengumpul seramai 100 ahli yang mana terdiri daripada warganegara Malaysia termasuk dari negara jiran seperti Thailand, Brunei dan Singapura.

“WMGS merupakan sebuah kelab motor berkuasa besar yang dianggotai sepenuhnya oleh ahli-ahli Bumiputera yang mendokong tiga perkara utama iaitu Silahtuhrahim, Ekonomi dan Kebajikan.

“Penubuhan WMGS bertujuan untuk menaikkan martabat Bumiputera selaras dengan motto kami iaitu ‘Ride & Respect’, yang mana bertujuan menanamkan perasaan persaudaraan di antara sesama ahli dengan komuniti masyarakat,” katanya.

Sejak ditubuhkan hampir dua tahun lalu, WMGS telah menjalankan pelbagai aktiviti termasuk Bikes Week di dalam dan luar negara, menyalurkan sumbangan ke rumah-rumah kebajikan, mengadakan program berbuka puasa serta kutipan sumbangan dan derma untuk mereka yang memerlukan.

WMGS membuka keahlian kepada kaum Bumiputera yang berminat dalam bidang permotoran serta mempunyai motosikal berkuasa tinggi iaitu 700 cc dan ke atas.

Untuk yuran pendaftaran sebanyak RM550 dikenakan yang mana merangkumi yuran tahunan pertama dan baju vest. Yuran tahunan untuk ahli adalah sebanyak RM180 setahun.

Dengan mendattar sebagai ahli WMGS, pelbagai keistimewaan bakal diperoleh antaranya, setiap ahli akan diberikan kad keahlian, bantuan kewangan, bantuan kerosakan motosikal dan diskaun alat ganti motosikal. – KopiPlanet.com