Cerita ArtisHiburan

Serik Ditipu Penganjur, Awie Jual Sendiri Tiket Konsert Laksamana Metal

Pernah melalui kejadian ditipu sebanyak dua kali oleh penganjur konsert menyebabkan vokalis kumpulan Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie mengambil pendekatan menjual sendiri tiket Konsert Laksamana Metal Dua Generasi, Wings X Bunkface yang bakal diadakan pada 4 Mei ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Menurut Awie, beliau mengambil langkah seperti itu bagi mengelak berlaku sebarang penipuan dalam penjualan tiket, selain mahu kembali semula kepada cara jualan tiket konsert sebelum bermulanya era pembelian di atas talian.

“Saya ambil pendekatan ini sebab dah serik kena tipu dengan penganjur konsert. Pernah dua kali kena tipu iaitu satu persembahan di Pahang dan satu lagi di Kuala Lumpur. Mereka kata tiket hanya terjual separuh sahaja tapi bila tengok crowd di konsert itu, ia melebihi kapasiti lokasi konsert itu sendiri.

“Kiranya mereka ambil keuntungan dengan jual tiket sendiri (secara haram) dan beri kami bayaran dengan hanya berdasarkan tiket yang dah terjual sebelum ini sahaja.

“Bila jadi macam itu, sudah pasti kita akan rasa sakit hati. Untuk mengelak risiko itu daripada berulang, saya akan menjual tiket Konsert Laksamana Metal ini secara manual yang mana peminat yang sudah membeli tiket akan terlebih dahulu diberikan ‘claim voucher’ dan mereka perlu menebus tiket konsert empat hari sebelum berlangsung konsert di PWTC.

“Saya juga nak kembalikan memori pembelian tiket ketika era dahulu yang tanpa melibatkan jualan tiket online. Sekarang, jual tiket online pun orang boleh menipu,” katanya kepada KopiPlanet.com

Awie ditemui pada majlis sidang media Konsert Laksamana Metal Dua Generasi, Wings X Bunkface yang berlangsung di Tanjung Lounge PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah ahli kumpulan Wings iaitu Black, Sham, Eddie dan Edrie Hashim serta anggota kumpulan Bunkface, Sam, Youk dan Paan.

Wings dan Bunkface bergabung menjayakan Konsert Laksamana Metal Dua Generasi, Wings X Bunkface pada 4 Mei ini di PWTC.

Awie turut menambah tiket-tiket konsert itu akan dijual menerusi agen Sayap-Sayap Wings yang akan menjelajah beberapa lokasi konvoi motosikal di Semenanjung Malaysia yang mana senarainya akan dipaparkan menerusi laman Instagram dan Facebook rasmi Wings.

“Peminat akan membeli tiket daripada lokasi-lokasi konvoi ini dan kami akan beri ‘claim voucher’ yang mana kami turut mempunyai salinannya.

“Kami akan ambil catat nama, nombor I.C serta nombor telefon para pembeli. Sebanyak sepuluh kaunter disediakan untuk tujuan penebusan itu.

“Untuk menggalakkan mereka menebus lebih awal, pihak kami menyediakan barangan ‘merchandise’ eksklusif untuk 500 penebus tiket terawal,” jelasnya lagi.

Tiket bagi menyaksikan konsert ini dijual pada harga RM150 dan RM450 (berpeluang menyaksikan sesi soundcheck dan majlis minum petang).

Mengulas mengenai konsert ini, Awie berkata ia adalah sebagai ‘warm up’ untuk Wings sebelum mereka menjayakan konsert berskala besar sempena 35 tahun penubuhan band rock itu tahun hadapan.

Mengenai pemilihan Bunkface dalam konsert ini, Awie berkata ia adalah pilihan yang tepat memandangkan mereka ingin beraksi satu pentas dengan penyanyi generasi baharu yang berbeza genre.

“Kami pilih Bunkface sebab nak buat kelainan dan kami tahu Bunkface ada kalangan peminat mereka yang tersendiri selain muzik mereka yang bagus.

“Jangan salah faham, Bunkface bukan artis ‘opening act’ untuk konsert ini, sebaliknya dua-dua kumpulan dapat buat persembahan dalam tempoh masa yang sama.

“Kami sahaja tampil kelainan dengan seiringkan penyanyi yang lama seperti kami dengan generasi baharu seperti Bunkface,” kata Awie. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button