Cerita ArtisHiburan

Biarpun Bertanjak, WMGS Tidak Abai Soal Keselamatan

Tampil membuat kelainan daripada kebanyakan kelab motor berkuasa tinggi lain, Wings Motor Gang Society (WMGS) menggunakan elemen dan semangat kemelayuan dengan memakai tanjak sepanjang melakukan konvoi beramai-ramai.

Bertanjak dan memakai baju Melayu menjadi identiti WMGS selain ingin memartabatkan jati diri dan asal usul orang Melayu.

Presiden WMGS, Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kelab mereka menyalahi undang-undang apabila tidak mengenakan topi keledar ketika melakukan konvoi.

Walaupun hanya memakai tanjak, WMGS sama sekali tidak akan berkompromi mengenai soal keselamatan apabila setiap konvoi persatuan itu pasti akan diiringi polis trafik yang memberikan kerjasama kepada mereka.

“Salah ke pakai tanjak dengan baju melayu naik motor? Lagipun kami tidak menyalahi undang-undang jalan raya.

“Setiap konvoi yang kami lakukan akan ada polis trafik bersama dan kami menanggalkan helmet serta bertanjak mengikut jarak yang ditetapkan dengan kebenaran pihak berkuasa. Ada jarak dan kawasan dibenarkan dengan kawalan anggota polis trafik.

“Kami tidak sesekali mengambil mudah soal keselamatan kerana kami sentiasa mengikut spek yang telah ditetapkan undang-undang jalan raya,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis pelancaran WMGS di Tadom Hill Resort, Banting baru-baru ini.

Pelancaran itu dibuat pada hari ke-465 penubuhan kelab itu sejak ia ditubuhkan pada 6 September 2016.

Menurut Awie, setakat ini WMGS telah berjaya mengumpul seramai 100 ahli yang mana terdiri daripada warganegara Malaysia termasuk dari negara jiran seperti Thailand, Brunei dan Singapura.

“WMGS merupakan sebuah kelab motor berkuasa besar yang dianggotai sepenuhnya oleh ahli-ahli Bumiputera yang mendokong tiga perkara utama iaitu Silahtuhrahim, Ekonomi dan Kebajikan.

“Penubuhan WMGS bertujuan untuk menaikkan martabat Bumiputera selaras dengan motto kami iaitu ‘Ride & Respect’, yang mana bertujuan menanamkan perasaan persaudaraan di antara sesama ahli dengan komuniti masyarakat,” katanya.

Sejak ditubuhkan hampir dua tahun lalu, WMGS telah menjalankan pelbagai aktiviti termasuk Bikes Week di dalam dan luar negara, menyalurkan sumbangan ke rumah-rumah kebajikan, mengadakan program berbuka puasa serta kutipan sumbangan dan derma untuk mereka yang memerlukan.

WMGS membuka keahlian kepada kaum Bumiputera yang berminat dalam bidang permotoran serta mempunyai motosikal berkuasa tinggi iaitu 700 cc dan ke atas.

Untuk yuran pendaftaran sebanyak RM550 dikenakan yang mana merangkumi yuran tahunan pertama dan baju vest. Yuran tahunan untuk ahli adalah sebanyak RM180 setahun.

Dengan mendattar sebagai ahli WMGS, pelbagai keistimewaan bakal diperoleh antaranya, setiap ahli akan diberikan kad keahlian, bantuan kewangan, bantuan kerosakan motosikal dan diskaun alat ganti motosikal. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button