• FOLLOW US

Kak Limah Malu Naik Pelamin Lagi Di Usia Cecah 60 Tahun

Pelakon Delimawati yang cukup popular dengan watak Kak Limah mengakui berasa malu menjejakkan kaki ke jinjang pelamin ketika usianya kini mencecah 60 tahun.

Namun, demi tanggungjawabnya sebagai seorang pelakon, Delimawati mengenepikan perasaan segan itu bagi menjayakan promosi gimik filem Hantu Kak Limah (HKL).

“Ketika umur macam ini naik pelamin lagi ada sedikit rasa malu tapi bila fikirkan balik ini tanggunjawab saya sebagai pelakon jadi saya kena bagi komitmen yang tidak berbelah bagi.

“Lagipun watak Kak Limah sendiri sudah cukup mempopularkan saya di kalangan mata peminat jadi apa salahnya kita ikut sahaja gimik promosi yang telah dirangka pihak penerbit,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Delimawati ditemui pada majlis pelancaran trailer Hantu Kak Limah (HKL) yang berlangsung di Restoran WowKL, Jalan Ampang semalam.

Dalam majlis itu, Delimawati disandingkan di atas pelamin dengan rakan pelakon HKL, Mr.K menerusi gimik promosi yang dianjurkan Astro Shaw dan Infinitus Films.

HKL yang diarahkan Mamat Khalid bakal ditayangkan di pawagam bermula 9 Ogos ini.

Sementara itu, setelah tujuh tahun hidup bersendirian sejak kematian suaminya, Delimawati mengakui kadang kala terdetik di hatinya untuk mencari pengganti.

Menurutnya di usia-usia begini, dia memerlukan seorang suami di sisi yang dapat menemaninya ke mana-mana sahaja dia pergi.

“Buat masa ini memang saya tidak mencari tapi kalau ada jodoh, adalah. Bukan apa di usia-usia macam ini kita nak juga ada teman berborak, teman pergi surau.

“Macam sekarang anak bongsu saya yang selalu menemani ke mana sahaja saya pergi tapi nanti dia pun akan berkahwin dalam masa terdekat ini.

“Sekarang kalau ada tawaran kerja mana-mana memang saya akan pandu sendiri kereta, kalau ke Johor, ke Johor lah saya seorang diri memandu bagi memenuhi tuntutan kerja. Kalau ada suami di sisi, sekurangnya dapatlah dia pandukan untuk saya,” katanya berseloroh.

Menurut pelakon kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini lagi, kebanyakan takut untuk mendekati dirinya kerana disebabkan statusnya sebagai seorang selebriti.

“Disebabkan saya artis, orang ingat saya “high maintenance’. Itu yang orang tak nak dekat dengan saya.

“Padahal beg tangan yang saya pakai paling mahal pun cecah RM100 lebih sahaja. Dah tua-tua ini tiada makna kata kita ‘high maintenance’,” kata ibu kepada empat anak ini lagi. – KopiPlanet.com