• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Impak Hantu Kak Limah, Dalimawati Tercalon Top 5 ABPBH 2019

Mengakui terkejut tercalon dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 32(ABPBH 32), pelakon senior Dalimawati, 61, tidak menafikan ia adalah impak daripada wataknya sebagai Kak Limah menerusi filem arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah.

Dalimawati berkata dia sangat bersyukur di saat usianya yang semakin meningkat, peminat masih lagi tidak melupakan namanya dalam industri.

“Melihat senarai calon akhir, macam tidak percaya nama saya turut tercalon. Syukur Alhamdulillah, di usia begini nama saya masih kekal diingati malah mendapat undian daripada peminat. Jika melihat pada nama-nama calon itu, saya rasa Erra merupakan saingan paling kuat,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Dalimawati ditemui pada majlis pengumuman senarai pencalonan akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian 32 (ABPBH 32) yang berlangsung di Tamu Hotel, Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Dalimawati dan Erra, kategori Pelakon Filem Wanita Popular turut mencalonkan Hannah Delisha, Mira Filzah dan Uqasha Senrose.

Susulan pencalonannya itu, Dalimawati turut mengucapkan penghargaannya kepada Mamat Khalid yang banyak membuka ruang dan peluang kepada pelakon veteran sepertinya agar sentiasa mendapat tempat di layar perak.

“Saya sangat berterima kasih dengan Mamat Khalid yang percayakan bakat saya dan memberi ruang untuk saya terus menggembangkan bakat saya. Saya tidak nafikan watak Kak Limah menjadi sebab lakonan saya mendapat tempat sekali gus saya tercalon dalam anugerah ini.

“Saya tetap bersyukur masih ada pihak produksi yang memanggil saya untuk melakonkan watak bersesuaian dengan usia saya,” katanya.

ABPBH 32 akan berlangsung pada 22 September ini, bersiaran langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Majlis itu mengangkat tema ‘Melangkaui Sempadan’ bagi memeriahkan anugerah yang mengangkat populariti selebriti tanah air. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend