• FOLLOW US

iflix Tawar Saluran Leklu Secara Percuma, Tayang Filem Terbitan MIG

Saluran televisyen penstriman, iflix mengumumkan kerjasama saluran baharu yang dikenali sebagai Leklu yang akan menawarkan pelbagai koleksi filem terbitan Metrowealth International Group (MIG) secara percuma buat semua pelanggannya.

Leklu merupakan sebuah platform tonton yang sesuai buat seluruh isi keluarga di mana kandungan yang ditawarkan meliputi kandungan filem-filem terbitan MIG yang merangkumi genre komedi, aksi, romantik dan seram.

Peminat filem bergenre aksi komedi boleh menikmati filem Adnan Sempit, Adnan Sempit 3, Bro Nampak Motor Gua dan banyak lagi. Tidak ketinggalan, peminat filem bergenre seram juga boleh menonton lakonan pelakon kegemaran mereka dalam filem pecah panggung Jangan Pandang Belakang dan Jangan Pandang Belakang Congkak yang pernah mencipta fenomena tersendiri pada suatu masa dahulu.

Selain itu, saluran Leklu di iflix turut menawarkan filem bergenre romantik komedi seperti Isteri Untuk Dijual, lakonan Nora Danish dan Kamal Adli serta pelbagai lagi filem yang menarik dan boleh ditonton secara percuma.

Pelanggan iflix juga boleh menyemak lebih banyak program menarik yang ada di iflix seperti Tonton dari TV3, K-flix dan iflix Originals sepanjang tahun juga secara percuma. Aplikasi iflix boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan Apple Store. – KopiPlanet.com

‘Besar Kepala’ Bukan Ditujukan Kepada Sesiapa – David Teo

Selepas keluar dengan single Kacang tiga tahun lalu, kali ini Mejar (K) David Teo kembali dengan single terbaharu berjudul Besar Kepala.

Menurut David, single ciptaan sepenuhnya oleh Cat Farish itu telah dirakamkannya minggu lalu dan lebih empat jam diperuntukkan untuk menyiapkan proses rakaman single terbabit.

Menurut pemilik syarikat produksi Metrowealth (MIG) itu, single bergenre rap tersebut dicipta bukan ditujukan kepada sesiapa namun ia sebaliknya menceritakan kisah seseorang yang besar kepala sebagai mana merujuk kepada judul lagu berkenaan.

“Lagu ini tidak ditujukan kepada mana-mana pihak tapi kalau siapa makan cili dia terasa pedaslah. Besar Kepala ada mesejnya yang tersendiri, buat pendengar dengarkan lagu itu nanti dan interpretasilah sendiri mengikut pemahaman anda,” katanya ketika dihubungi KopiPlanet.com.

Lagu Besar Kepala akan dilancarkan serentak dengan muzik videonya yang masih dalam perancangan awal. Uniknya, muzik video itu nanti, David akan bergandingan dengan robot bagi mencipta satu klip video yang luar biasa.

“Muzik video Besar Kepala akan jadi sesuatu yang luar biasa sebab kali ini saya akan menari dengan robot.

“Memang saya sengaja buat muzik video lain dari yang lain agar ia kelihatan sangat luar biasa,” katanya lagi.

Sementara itu, David berkata, untuk tahun hadapan MIG akan mengeluarkan empat buah filem yang kini masih dalam peringkat penyediaan skrip. – KopiPlanet.com

Kredit Foto:  Instagram David Teo