• FOLLOW US

Neelofa Nafi Jadi Punca Kemelut Rumah Tangga Nabila-Sharnaaz

Pelakon dan pengacara, Neelofa Mohd Noor menafikan dakwaan mengatakan dirinya menjadi punca kepada kemelut rumah tangga yang dilalui kakaknya, Noor Nabila dengan pelakon Sharnaaz Ahmad.

Menurut hos program Meletop itu, tuduhan itu adalah sesuatu yang mengarut dan ia tidak benar sama sekali.

“Tuduhan itu tidak masuk akal. Saya sayang kakak dan anak saudara.

“Saya harap orang ramai terutama rakan dan keluarga memberikan sokongan dalam apa jua situasi yang mereka hadapi sekarang,” katanya kepada KopiPlanet.com

Neelofa ditemui pada majlis sidang media Anugerah Meletop Era 2019 yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur hari ini.

Neelofa yang enggan mengulas lebih lanjut tentang perkara itu bagaimanapun berharap orang ramai dapat mendoakan yang terbaik untuk kakak dan abang iparnya itu.

Desas-desus keretakan rumah tangga Nabila dan Sharnaaz mulai diperkatakan apabila aktor berkenaan sering kali berkongsi status di laman sosial, seakan-akan memberikan bayangan tentang konflik yang sedang melanda bahtera perkahwinannya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia lapan bulan. – KopiPlanet.com

Nabil Dan Neelofa Tarik Diri Bertanding Anugerah Meletop Era 2019

Pasangan hos Meletop, Nabil Ahmad dan Neelofa mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding Anugerah Meletop Era 2019 (AME 2019).

Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad menerusi sidang media pengumuman Top 5 finalis Anugerah Meletop Era 2019 yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Neelofa, dia dan Nabil sebulag suara menarik diri bagi memberi ruang kepada selebriti lain untuk bertanding.

“Kami dah enam tahun menerima pencalonan akhir Anugerah Meletop Era. Bila saya menang, banyak benda yang tidak elok saya dengar tentang kemenangan itu, jadi kali ini kami telah ambil keputusan untuk menarik diri.

“Kami sukarela ambil keputusan ini dan bukan bersandarkan tekanan daripada mana-mana pihak.

“Keputusan ini dibuat untuk beri peluang kepada selebriti lain selain saya harap selepas ini tiada lagi timbul isu tuan rumah asyik menang,” katanya kepada KopiPlanet.com

Menerusi AME 2019, Neelofa menerima pencalonan awal menerusi dua kategori iaitu Hos Meletop dan Fesyen Meletop manakala Nabil menerusi Hos Meletop.

Sementara itu, Remy Ishak, Syafiq Kyle dan Fattah Amin menerima pencalonan paling banyak apabila tercalon dalam tiga kategori iaitu Fesyen Meletop, Bintang Filem Meletop dan Pelakon TV Meletop.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan dalam AME 2019 yang akan dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 21 April ini.

Anugerah yang bertemakan Glam ini akan diacarakan oleh trio hos, Nabil, Neelofa dan Jihan Muse. – KopiPlanet.com

Neelofa Tidur Bertemankan Ikan Di Laut, Harga Bilik Cecah RM200K!

Bertuah badan pengacara dan pelakon Neelofa Mohd Noor. Masakan tidak, percutiannya kali ini ke pulau peranginan romantis Maldives itu dikhabarkan super mewah apabila selebriti itu tidur bertemankan ikan di lautan.

Difahamkan Neelofa berkesempatan menjadi selebriti pertama dari Malaysia yang merasai pembukaan hotel baharu The Muruka, Conrad Maldives Rangali Island yang dibina di bawah laut.

Menerusi laporan Bloomberg, hotel mewah itu menelan belanja lebih US$15 juta (RM62 juta) untuk dibina dan harga bilik untuk satu malam mampu mencecah sehingga RM200,000!

Neelofa juga sempat membawa para pengikutnya merasai sendiri pengalaman bermalam di lokasi indah itu menerusi Instagram Story.

Memang indah tidur malam Neelofa bila bertemankan ikan serta kejernihan biru air laut yang saujana mata memandang. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Neelofa

Isu Barang Fake: Kalau Tak Mampu, Saya Tidak Akan Beli – Neelofa

Pelakon dan pengacara, Neelofa Mohd Noor menegaskan dia tidak akan sesekali memakai barangan tiruan sekiranya tidak mampu untuk memiliki sesuatu jenama mewah yang diminatinya.

Menurut usahawan ini lagi, jika tidak mampu untuk memiliki sesuatu barangan berjenama dia akan menanam impian agar satu hari dia akan dapat memiliki barang yang diidamkannya itu.

“Kalau saya tiada duit untuk beli barang berjenama, saya memang tidak akan beli langsung. Saya memang tidak akan beli sama ada ia gred A atau gred B sekali pun.

“Sebaliknya saya jadikan ia sebagai satu motivasi agar satu hari nanti saya boleh beli juga barang yang diinginkan itu.

“Macam sekarang pun saya masih lagi simpan impian nak membeli-belah tanpa memikirkan banyak kali sama ada harga barang itu mahal atau tidak,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Neelofa ditemui pada kempen kebajikan sosial A Cup Of Kindness anjuran Starbucks di Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini.

Menerusi kempen tersebut, setiap jualan segelas air Ruby Red Grape dan Apricot Peach Yogurt pada hari ini, 0.50 sen daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang dipilih oleh Neelofa.

Walaupun menentang orang yang memakai barangan tiruan, Neelofa tidak bersetuju dengan pendekatan digunakan satu akaun Instagram mendedahkan selebriti tempatan yang menggayakan barangan tiruan.

“Ia satu pendekatan yang kasar untuk mendidik masyarakat dan ia sesuatu yang mengaibkan dan memalukan individu yang didedahkan itu.

“Tapi saya rasa ini masanya kita kena ubah cara pemikiran masyarakat agar tidak memakai barangan tiruan.

“Saya memang tidak sokong individu yang memakai barang tiruan. Macam saya sendiri pun terkilan bila nampak orang pakai tudung tiruan Naelofar walhal saya jual tak lebih RM100 pun sehelai,” ujarnya lagi.

Laman Instagram, StreetwearBustaMy sebelum ini pernah mendedahkan beberapa artis tempatan memakai barangan tiruan berjenama mewah.

Antara artis yang pernah dikantoikan adalah seperti Haqiem Rusli, Aiman Tino, Janna Nick, Emma Maembong dan Fathia Latiff. – KopiPlanet.com

Netizen Tak Restu Jika Syed Saddiq Ada Hubungan Dengan Neelofa

Sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menerusi kerusi Parlimen Muar, nama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 26, terus menjadi bualan ramai netizen lebih-lebih lagi di kalangan perempuan.

Disebabkan fenomena YB muda itu, baru-baru ini beliau telah dijemput menjadi tetamu program Meletop di Astro Ria yang dikelolakan Neelofa dan Nabil Ahmad.

Selepas rancangan itu berakhir, netizen mula memberikan ‘amaran’ agar jangan sesekali menimbulkan tanda pagar #SaddiqLofa.

Ini susulan Saddiq memuat naik gambarnya dengan Neelofa dan Nabil beserta kapsyen, ‘Nampak tak biru yang lebih muda ;), thanks for the amazing show’, di laman sosial Instagram dan Twitter miliknya.

Selepas itu berduyun-duyun pengguna Twitter melarang jejaka kacak itu daripada terus hanyut dibuai cinta selebriti tempatan.

Sebagai contoh, seorang netizen @brgsjks menulis, “Ok Saddiq balik sekarang Saddiq, negara memerlukan anda. Banyak lagi kerja yang kau kena settlekan ok lupakan Neelofa dan kalau dia text kau malam ini, jangan reply sebab aku taknak ada Saddiqlofa. Never.”

@Hanisyuhaida pula ‘mengizinkan’ YB kesayangannya itu dengan mana-mana wanita tetapi tidak dengan Neelofa dan Elfira Loy.

Sebelum ini, nama Saddiq turut dikaitkan dengan pelakon Emma Maembong selepas aktres itu memuat naik video mereka di Instagramnya sebaik kemenangan berpihak pada pemuda tersebut.

Namun, menerusi kenyataannya kepada KopiPlanet.com, Emma menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan Saddiq sebaliknya sudah lama mengenali jejaka itu sejak dua tahun lalu.

“Orang kecam sebab muat naik gambar Syed Saddiq dan ramai juga yang tuduh saya cuba nak mengurat beliau, sedangkan kami dah lama kenal sejak dua tahun lalu. Perkenalan kami sebenarnya bermula apabila pengurus saya yang minat sangat dengan Syed Saddiq.

“Dia selalu cerita pasal Syed Saddiq dan lepas itu saya ada DM (direct message) beliau untuk minta tolongnya buat video ucapan hari jadi. Namun, beliau beri saranan untuk kami berjumpa agar boleh berikan kejutan kepada pengurus saya dan sejak dari itu kami mula berkawan sehingga hari ini,” kata Emma. – KopiPlanet.com

Neelofa Dapat Idea Setelah Kerap Jadi Mangsa Buli Siber

Sering menjadi mangsa buli siber di laman sosial telah mencetuskan idea buat pengacara popular, Neelofa untuk  menjalankan Kempen Tanggungjawab Sosial Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu.

Menurut Neelofa, sebagai seorang selebriti dia sememangnya sudah lali dihentam di media sosial. Namun, jika kecaman dilemparkan kepada ahli keluarganya, dia tidak sesekali akan berdiam diri dan akan bersuara bagi mempertahankan haknya.

“Kempen ini merupakan hasil cetusan idea daripada saya dan selepas berbincang dengan Datuk Hans Isaac, kami setuju untuk mengadakan kempen ini secara besar-besaran agar ia dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya buli siber.

“Saya tabik dengan hasil kerja Hans yang hanya mengambil sedikit sahaja masa untuk menganjurkan kempen ini dengan sokongan daripada para selebriti yang turut bersama-sama berganding bahu dengan kempen ini,” ujarnya.

Neelofa ditemui pada majlis pelancaran Kempen Tanggungjawab Sosial Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu di KLPac, Kuala Lumpur semalam.

Ujarnya,  sebagai seorang selebriti dia sering kali dikritik di media sosial dan mengakui sudah lali dengan perkara tersebut.

Bagaimanapun, tegas Neelofa dia sesekali tidak akan berdiam diri sekiranya buli siber terjadi terhadap ahli keluarganya dan dia akan bangkit bersuara.

“Itulah juga tujuan kempen ini iaitu untuk menggalakkan individu tahu hak-hak yang mereka boleh lakukan sekiranya menjadi mangsa buli siber dan penyebaran maklmat palsu,” katanya.

 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai isu sebuah billboard yang menggunakan namanya untuk tujuan pengiklanan, Neelofa mengambil pendekatan enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu memberi sebarang publisiti dan akan mengambil tindakan terhadap pihak berkenaan.

“Kita jangan popularkan orang yang saja-saja buat benda itu untuk tarik perhatian orang ramai. Lagi cakap pasal tersebut, lagi buat mereka popular. Jadi, lebih baik saya tidak bercakap langsung mengenai hal berkenaan.

“Saya memang akan ambil tindakan, tetapi tidak mahu mengulas lanjut mengenainya. Saya perlu hadapi secara profesional dan tidak akan bercakap mengenai isu ini lagi,” tegasnya.

Minggu lalu hangat diperkatakan mengenai satu poster billboard di sebuah lebuh raya yang secara terang-terangan menggunakan nama pengacara popular, Neelofa dalam iklan mereka.

Billboard itu menyentuh tentang isu selebriti itu dengan sebuah kelab hiburan yang menjadi topik panas industri hiburan dua bulan lalu. – KopiPlanet.com

 

“Saya Akan Sokong Apa Sahaja Yang Dibuat Neelofa” – Hans

Biarpun sudah banyak kali menjelaskan kepada umum bahawa hubungan di antara mereka hanyalah sebagai rakan biasa, namun masih ramai meragui status sebenar di antara pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac dengan pelakon dan hos popular, Noor Neelofa Mohd. Noor.

Kemesraan di antara mereka kembali dikaitkan apabila gambar kedua-duanya sedang menjamu selera di Genting Highlands baru-baru ini menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat dan netizen.

Menjawab mengenai status hubungan mereka, Hans menjelaskan mereka hanya berkawan dan saling menyokong kerjaya masing-masing, biarpun kini tidak lagi menjalin hubungan istimewa.

“Saya dah banyak kali jelaskan yang kami memang berkawan sahaja. Saya memang sentiasa menyokong apa sahaja yang dibuat Neelofa termasuk kariernya.

“Kalau dia ada buat silap sikit (dalam kerjaya), saya memang akan tegur dia. Bukan Neelofa sahaja, semua rakan-rakan memang saya akan tegur (kalau mereka ada buat silap),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran Kempen Tanggungjawab Sosial Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu di KLPac, Kuala Lumpur hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak. Turut hadir ialah barisan artis yang menyertai kempen tersebut seperti Neelofa, Nora Danish, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Maya Karin, Kavita Sidhu, Caprice dan Joe Flizzow.

Sementara itu, Neelofa turut menjelaskan dia dan Hans sehingga kini masih kekal berkawan kerana kedua-duanya saling bersikap profesional dan menghormati antara satu sama lain.

“Antara sebab kenapa saya boleh bekerjasama dengan Hans ialah kerana kami sangat profesional dalam kerjaya masing-masing. Malah, Hans juga hormatkan saya dan begitu juga saya yang sangat menghormatinya sebagai seorang artis senior.

“Katakanlah orang nampak saya keluar bersama dengan Hans selepas ini, kami memang tiada masalah untuk keluar makan berdua. Malah, memang sudah banyak kali kami keluar makan bersama sebelum ini,” ujar pelakon berusia 29 tahun itu sambil mengharapkan tidak timbulnya sebarang salah faham. – KopiPlanet.com

 

Neelofa Anggap Farah Nabilah, Fazura Beri Saingan Hebat

Pengacara dan pelakon, Noor Neelofa Mohd. Noor mengakui terdapat saingan buat dirinya sebelum dinobatkan sebagai pemenang kategori Top Top MeleTOP (Wanita) dalam acara Anugerah MeleTOP 2018 (AME 2018) yang berlangsung semalam.

Menurut Neelofa, antara artis yang memberikan saingan buat dirinya adalah Farah Nabilah yang memenangi kategori Artis Baharu MeleTOP dan Fazura menerusi Bintang Filem MeleTOP.

“Kedua-duanya memberikan saingan hebat, misalnya Farah Nabilah apabila ada beberapa drama lakonannya yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Fazura pula bukan nama asing lagi dalam industri hiburan tanah air, apatah lagi apabila dia memenangi kategori Bintang Filem MeleTOP,” ujarnya ketika ditemui KopiPlanet.com semalam sebaik berakhirnya AME 2018.

Selain memenangi kategori utama iaitu Top Top MeleTOP (Wanita), Neelofa juga turut memenangi anugerah bagi kategori Pelakon TV MeleTOP dan Fesyen MeleTOP.

Dalam pada itu, biarpun sering dikritik berhubung beberapa isu yang timbul sebelum ini, Neelofa bersyukur kerana masih mendapat sokongan yang hebat daripada peminat-peminatnya.

Ujarnya, ia membuktikan para peminatnya telah berusaha dengan keras dan bersungguh-sungguh sehingga dia meraih kejayaan yang dikecapi pada malam AME 2018.

“Kalau ada yang kata saya melabur banyak duit untuk undi diri sendiri, bagi saya itu semua adalah rezeki daripada Allah.

“Lagipun saya tak perlu nak melabur kerana percaya dengan sokongan kuat yang diterima daripada peminat,” tegasnya. – KopiPlanet.com

Foto: Instagram MeleTOP

Khai Bahar, Neelofa Menang Top Top MeleTOP AME2018

Penyanyi Khai Bahar dan pengacara Neelofa telah dinobatkan sebagai pemenang kategori Top Top MeleTOP (Lelaki & Wanita) dalam acara Anugerah MeleTOP Era 2018 yang berlangsung malam tadi.

Ternyata acara AME2018 memberi tuah kepada Khai Bahar yang memenangi tiga kategori, termasuk Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP menerusi lagu Bayang.

Selain itu, AME 2018 juga menjadi malam gemilang buat Neelofa yang menang menerusi empat kategori.

Selain Top Top MeleTOP, Neelofa turut memenangi kategori Pelakon TV MeleTOP, Fesyen MeleTOP dan Drama MeleTOP (Red Velvet).

Lain-lain kategori pula menyaksikan pelawak Jep Sepahtu memenangi dua kategori iaitu Couple MeleTOP dan Sepahtu Reunion Love 2017.

Artis-artis lain yang turut tidak pulang dengan tangan kosong antaranya Zizan Razak (Artis Lawak MeleTOP), Johan (Penyampai Radio MeleTOP), Farah Nabilah (Artis Baharu MeleTOP), Nabil Ahmad (Hos MeleTOP) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza & Faizal Tahir (Grup/Duo MeleTOP). – KopiPlanet.com

***Keputusan Penuh Pemenang AME 2018

Lagu MeleTOP – Bayang (Khai Bahar)

Couple MeleTOP – Sari Yanti & Jep Sepahtu

Artis Lawak MeleTOP – Zizan Razak

Filem MeleTOP – JRevolusi

Si Cilik MeleTOP – Arif Jiwa Asyraf

Penyampai Radio MeleTOP – Johan

Hos MeleTOP – Nabil Ahmad

Pelakon TV MeleTOP – Neelofa

Grup/Duo MeleTOP – Datuk Seri Siti Nurhaliza & Faizal Tahir

Program MeleTOP – Sepahtu Reunion Live 2017

Drama MeleTOP – Red Velvet

Fesyen MeleTOP – Neelofa

Penyanyi MeleTOP – Khai Bahar

Artis Baharu MeleTOP – Farah Nabilah

Program Radio MeleTOP – Johara Pagi Era

Bintang Filem MeleTOP – Nur Fazura

Top Top MeleTOP (Lelaki) – Khai Bahar

Top Top MeleTOP (Wanita) – Neelofa

Adik Neelofa, Ameera Khan Dikecam Sebab Perlekeh Jenama Telefon Pintar

Selain Neelofa, adik-beradiknya juga turut menjadi perhatian peminat hiburan tempatan.

Terbaharu, Ameera Khan atau nama Instagramnya, Little Miss Khan kembali diperkatakan ramai apabila dia dikatakan memperlekehkan satu jenama telefon pintar popular.

Menerusi video yang dikongsikan Ameera di laman sosialnya itu, dia diminta memilih antara dua jenama telefon pintar gergarsi dunia dan sebelum menjawab, dia sempat meng-ewww kan jenama telefon yang tidak diminatinya itu.

Kebanyakan netizen yang sudah melihat video itu bengang dengan sombong yang dipamerkan remaja berusia 18 tahun itu.

Ada di antara netizen turut menggesa pihak pengurusan tertinggi jenama itu agar mengambil tindakan terhadap adik Neelofa kerana jawapannya yang jelas merendahkan jenama telefon berkenaan.

Setakat artikel ini ditulis, video tersebut sudah ditonton lebih 58,000 kali selain mendapat lebih 1,700 dislike manakala hanya 682 sahaja yang meminati video yang dikongsikannya itu.

Ameera merupakan antara adik selebriti paling popular di Malaysia apabila jumlah pengikutnya di Instagram kini sudah mencecah seramai 860,000 orang. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Ameera Khan