• FOLLOW US

Neelofa Akui Ada Babak Intim, Tidak Bersentuh Kulit

Neelofa tampil memberikan penjelasan selepas dirinya teruk dikecam netizen gara-gara melakonkan babak intim dengan hero terbaharunya, Zul Ariffin menerusi drama Ti Amo Sweetheart 100 Hari.

Mengakui terdapat beberapa babak berpelukan dengan pelakon lelaki itu, namun Neelofa, berkata ia hanyalah kaedah camera trick semata-mata yang dilakukan oleh pengarah drama berkenaan iaitu Michael Ang.

“Memang ada babak-babak mesra melibatkan saya dan Zul dalam drama ini tapi semuanya adalah hasil kerja camera trick. Kami memang ada bersentuhan tapi semuanya berlapik, kami tak bersentuh kulit pun,” kata Neelofa kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya yang ke-29 dan pelancaran terbaharu tudung Naelofar Hijab, Belofa by NH di TREC, Kuala Lumpur semalam.

Aktres yang memiliki nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor ini turut berkata dia senang bekerjasama dengan Zul dan baginya aktor itu merupakan antara pelakon lelaki yang paling serasi digandingkan bersamanya jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain sebelum ini.

“Saya gembira berlakon dengan Zul. Masuk set sahaja kami dah tahu apa nak buat walaupun sebelum ini saya jarang pernah berjumpa atau berbual dengan dia.

“Ya, dari segi keserasian, dia pelakon lelaki yang paling senang untuk saya bekerjasama yang mana keserasian di antara kami hadir secara semula jadi dan spontan,” ujar Neelofa lagi.

Sementara itu, ketika ditanya tidakkah dia berasa rimas dengan sesetengah peminat yang mula mengusulkan tanda pagar #Zulofa sempena drama terbaharunya itu, Neelofa berkata, “Saya tidak berasa rimas dengan peminat yang memberi gelaran Zulofa sebab saya melihatnya dari sudut positif untuk mempromosikan drama ini.”

“Kami berdua sangat profesional, Zul hormat saya, saya pun hormat Zul dan kami bercinta hanya untuk dalam drama ini sahaja,” katanya.

Ti Amo Sweetheart 100 hari merupakan drama bersiri adaptasi dari novel karya Suri Ryana dan ia akan ditayangkan di saluran Astro Ria bermula bulan hadapan. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Michael Ang

Nabila Razali Tidak Tahu Cerita Dituduh Tiru Fesyen Neelofa

Penyanyi yang semakin meningkat naik namanya, Nabila Razali mendedahkan dia tidak mengetahui cerita mengenai terdapat segelintir netizen menuduhnya meniru fesyen yang digayakan pelakon dan pengacara Neelofa.

Nama penyanyi itu dihentam segelintir netizen di sebuah forum hiburan berikutan gaya pemakaian jaketnya menerusi muzik video Pematah Hati dikatakan meniru imej yang pernah digayakan Neelofa sebelum ini.

“Saya tak tahu pula orang kata saya tiru Neelofa. Gaya jaket turun itu dah lama dipakai di luar negara dan juga di Malaysia. Ramai yang dah pakai dahulu, tetapi mungkin sebab saya pakai kemudian (itu yang jadi isu).

“Saya rasa sesuatu fesyen itu tidak boleh terhad kepada seorang sahaja. Kalau macam tu, hari-hari kita kena cari fesyen baharu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran projek tudung Aliff by Sha, 5 Inspired Women di Romah Makan Terlajak Laris, Kota Damansara baru-baru ini.

Dalam projek tudung Aliff by Sha itu, Nabila bersama-sama empat wanita lain iaitu Datin Seri Nur Shahida, Uyaina Arshad, Nadia Annuar dan Joy Revfa berganding bahu dalam rekaan tudung baharu jenama tersebut.

Walaupun dikritik meniru gaya dan penampilan Neelofa, Nabila tidak menafikan hos popular itu merupakan antara salah seorang idolanya dalam berfesyen.

“Neelofa merupakan antara salah seorang idola saya. Saya sendiri pun memang seorang yang suka mencuba fesyen baharu. Walaupun memakai hijab, tetapi itu tidak menghalang saya daripada menggayakan fesyen terkini. Cumanya kena pandai sesuaikan dengan imej bertudung.

“Saya suka mencuba pelbagai gaya fesyen, itu pun dengan bantuan rakan-rakan. Kalau saya seorang mungkin tak okey juga gaya saya,” katanya berseloroh.

Sementara itu ketika ditanya tentang perkembangan seni, Nabila, 26, berkata dia kini sedang dalam proses mengumpul material untuk single kedua.

“InsyaAllah… single terbaharu ini akan dikeluarkan pada tahun ini juga. Kalau ikutkan saya nak dapatkan khidmat Hael lagi, namun masing-masing sibuk buat masa ini. Saya selesa bekerja dengan Hael sebab dia tahu lagu jenis macam mana yang sesuai dengan saya,” katanya.

Single pertama Nabila, Pematah Hati dihasilkan oleh Hael Husaini yang juga merupakan rakan seperjuangannya dalam program realiti Akademi Fantasia 2013. – KopiPlanet.com

Neelofa, Nabil Hos Acara Anugerah MeleTOP Era 2018

Neelofa dan Nabil Ahmad sekali lagi telah diberi tanggungjawab untuk mengemudi Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME 2018) yang akan berlangsung pada 8 April ini bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Untuk edisi kali kelima ini, sebanyak 16 kategori dipertandingkan dengan 20 pencalonan awal oleh  para selebriti yang terdiri daripada penyanyi, pelakon, pengacara dan pelawak.

Antara kategori yang dipertandingkan seperti Bintang Filem MeleTOP, Hos MeleTOP, Penyanyi MeleTOP, Si Cilik MeleTOP dan Couple MeleTOP.

Menurut Ketua Strategi Kandungan & Inovasi Astro, Namanzee Harris, penganjuran hiburan berskala besar seperti AME mampu memacu industri hiburan ke tahap yang lebih baik.

“AME bukanlah acara hiburan tempelan, sebaliknya penganjurannya bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang selama ini giat berkarya, baik untuk kepuasan diri, mahupun para peminat.

“Pengiktirafan yang diberi ini juga dilihat mampu memberi semangat kepada penggiat seni bagi menghasilkan karya yang lebih bermutu agar kerjaya seni mereka berkembang seiring dengan kemenangan yang dicapai,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media AME 2018 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur hari ini.

Yang menariknya, AME 2018 akan membawakan persembahan istimewa daripada artis luar negara yang masih dirahsiakan identitinya.

Selain Nabil dan Neelofa, AME 2018 akan turut dihoskan seorang lagi pengacara yang masih tidak didedahkan identitinya sehingga sidang media kedua AME 2018 pada Mac ini.

Sebelum ini, Johan pernah bergelar hos AME tiga tahun berturut-turut bermula dari tahun 2015.

Sementara itu, Nabil dan Neelofa berkata mereka akan memberikan yang terbaik dalam penganjuran kali ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Ini merupakan tahun kelima kami hoskan AME. Tak susah nak cari keserasian memandangkan kami selalu bekerjasama,” kata Nabil.

Bagi undian fasa pertama, peminat boleh mengundi untuk menyenarai pendek calon menerusi www.anugerahmeletopera.com.my yang dibuka mulai 22 Januari hingga 23 Februari.

AME 2018 akak dipancarkan secara langsung di Astro Ria (104), Astro Prima (105), Ria HD (123) dan Maya HD (134). – KopiPlanet.com

10 Selebriti Tempatan Paling Berpengaruh Di Instagram

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi bagi tahun 2017 melabuhkan tirainya sebelum kita mengucapkan Hello New Year 2018.

Dalam zaman serba canggih ini, laman sosial menjadi antara ‘senjata’ utama terutama sekali buat para selebriti bagi meluaskan pengaruh dan empayar mereka.

Penggunaan laman sosial seperti Instagram juga dilihat mampu merapatkan hubungan di antara seseorang artis dengan peminat mereka.

Jom kita intai senarai 10 selebriti paling banyak pengikut di Instagram sepanjang tahun ini!

1. Neelofa (5.3 juta)

Pelakon dan usahawan berasal dari Kelantan ini berjaya menjadi selebriti paling berpengaruh di Instagram apabila setakat ini sudah berjaya mengumpul sebanyak 5.3 juta pengikut di laman perkongsian gambar itu sekali gus Neelofa bergelar individu paling banyak followers di Malaysia.

2. Nora Danish (5.1 juta)

Kini sedang hamil enam bulan, Nora Danish masih lagi mengukuhkan kedudukannya antara selebriti paling popular di Malaysia dengan 5.1 juta pengikut di Instagram.

3. Zizan Razak (4.5 juta)

Pelawak dan pengacara popular ini menjadi selebriti lelaki paling berpengaruh di Malaysia dengan jumlah pengikut sebanyak 4.5 juta. Menerusi Instagramnya, Zizan gemar berkongsi perkembangan terkini kerjayanya dan terbaharu dia kini sedang sibuk dengan penggambaran filem Polis Evo 2.

4. Datuk Seri Siti Nurhaliza (4.4 juta)

Penyanyi kesayangan ramai yang kini sedang menunggu masa untuk melahirkan cahaya mata sulungnya pada Mac ini mempunyai pengikut sebanyak 4.4 juta. Ternyata pengaruh Datuk Seri Siti Nurhaliza ini masih berbisa dan kebanyakan pengikutnya terhibur dengan perkongsian foto-foto menarik di laman Instagramnya itu.

5. Scha Alyahya (4 juta)

Mommy hot ini sering kali menjadi perhatian di kalangan peminat fesyen yang menggemari fashion sense-nya yang tersendiri. Setakat ini Scha telah mengumpul sebanyak 4 juta pengikut di laman diari bergambarnya itu.

6. Awal Ashaari (3.5 juta)

Jika Scha dengan 4 juta pengikut, Awal juga tidak lari jauh daripada isterinya apabila mengumpul 3.5 juta followers. Instagram Awal penuh berwarna-warni dengan perkongsian gambar OOTD (outfit of the day), aksi dan keletah lucu anaknya, Lara Alana serta aktiviti kerjanya.

7. Rozita Che Wan (3.4 juta)

Pelakon serba cantik ini berjaya menjadi selebriti ketujuh paling ramai pengikut iaitu sebanyak 3.4 juta. Che Ta sering berkongsi gambar percutian di luar negara bersama ahli keluarganya yang sentiasa menjadi perhatian para peminatnya lebih-lebih lagi yang meminati wajah comel anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana.

8. Nur Fazura (3.4 juta)

Pelakon yang baharu sahaja bergelar isteri kepada aktor Fattah Amin ini mempunyai sebanyak 3.4 juta pengikut di laman Instagramnya. Fazura ketika ini berbulan madu di kota London bersama suaminya.

9. Nelydia Senrose (3.3 juta)

Nelydia Senrose setakat ini berjaya mengumpul 3.3 juta pengikut di Instagramnya. Selalu memuat naik foto pelbagai babak lakonannya, pengikut setia pelakon ini sering kali terkesima dengan kecantikan semula jadi yang dimiliki pelakon berusia 23 tahun itu.

10. Yana Samsudin (3.2 juta)

Walaupun agak jarang menghiasi kaca televisyen pada tahun ini, namun nama Yana Samsudin terus kekal popular apabila berjaya mengumpul 3.2 juta pengikut. Selain sibuk menguruskan anak sulungnya Aisy Mateen, Yana turut aktif meniaga jenama tudungnya sendiri, Ayana Hijab. – KopiPlanet.com

Dengarnya…. Kecoh Di Set Lokasi MeleTOP

Tidak dinafikan malam semalam agak kecoh mengenai sebuah program hiburan MeleTOP yang dihoskan oleh pengacara Nabil Ahmad dan Neelofa.

Drama ‘menarik’ bermula apabila pelakon sensasi Fattah Amin telah diundang sebagai tetamu dan bergandingan dengan Fahrin Ahmad untuk mempromosikan drama My Coffee Prince yang kini sedang ditayangkan di Astro.

Malah, pihak MeleTOP sendiri sudah mempromosikan tentang kehadiran Fattah menerusi laman sosial. Jadi, sudah tentu ia menimbulkan keterujaan penonton rancangan tersebut.

Tup… tup… tiba-tiba pihak MeleTOP umumkan pada saat-saat akhir bahawa pelakon yang baru berumah tangga itu tidak dapat hadir kerana ada urusan diluar jangkaan.

Bagaimanapun, apa yang peliknya apabila beberapa pihak yang berada di studio memberitahu bahawa Fattah sudah pun hadir dan mikrofon juga sudah pun siap dipasang.

Malah, lebih menghangatkan lagi ‘drama’ berkenaan apabila ada yang turut memberikan bukti bergambar bahawa Fattah sememangnya sudah berada di studio.

Entahlah… Cik Kopi sendiri pun susah nak cakap kerana tidak berada di tempat kejadian. Namun, sudah ada hint-hint yang menujukkan memang seperti ada berlaku sedikit kekecohan.

Pada masa sama, Cik Kopi tertarik dengan satu status yang dimuat naik oleh individu yang dipercayai pengurus Neelofa. Dalam status tersebut menyatakan Fattah yang enggan Neelofa untuk muncul dalam segmen pertama progam berkenaan.

Kalau benarlah seperti apa yang didakwa, nampak seperti Fattah yang tidak profesional dalam hal ini. Lagipun, apa salahnya kalau berkongsi set secara profesional.

Industri hiburan kat Malaysia ni pun tak besar mana, pusing-pusing tetap akan jumpa orang yang sama.

Cik Kopi: Buang yang keruh, ambil yang jernih. Cik Kopi pun relaks jer masih berhubung dengan bekas bakal kekasih sekarang ni. Tak perlu nak musuh-musuh pun.