• FOLLOW US

Akhirnya… Hans Isaac Dilantik Sebagai Pengerusi Finas

Pelakon, penerbit dan pengarah filem, Datuk Gerald Hans Isaac dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 8 April lalu.

Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini

“Beliau (Hans Isaac) mempunyai pengalaman luas dalam bidang perfileman. Beliau telah menerima pelbagai anugerah dalam industri perfileman tempatan,” kata Gobind.

Hans merupakan Pengarah Urusan Social 360 Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang keselamatan serta insurans dan pernah menjadi anggota Lembaga Penasihat Finas serta anggota lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada 2012.

Selebriti berusia 48 tahun itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Institute of Commerce, Singapura dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel dari Kolej Stanford, Malaysia.

Gobind berkata, pelantikan Hans Isaac berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi menggantikan Datuk Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas sebagai pemangku Pengerusi Finas selama lebih empat bulan yang lalu.

“Kementerian berharap pengerusi yang baharu ini akan berkhidmat untuk meningkatkan usaha-usaha Finas bagi membangunkan industri ini,” kata Gobind.

Beliau juga berharap anggota lembaga Finas akan memberikan kerjasama yang penuh kepada pengerusi baharu dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan. – KopiPlanet.com

Bront Palarae, Syafiq Yusof Dilantik Sebagai Panel Penasihat Finas

Pelakon Bront Palarae dan pengarah Syafiq Yusof antara yang telah dilantik sebagai panel penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Media (KKMM), pelantikan tersebut dibuat berdasarkan pengalaman dalam industri perfileman.

Selain Bront dan Syafiq, turut dilantik sebagai panel penasihat adalah Ku Muhamad Haris Ku Sulong, Mohamed Harun Abdul Rahman, Wee Meng Hee, Nadira Ilana, Juhaidah Joemin, Anna Har, Adrian Teh, Mohamad Ghazali Jeman dan Shanijey Kumar Perumal.

Menerusi kenyataan yang sama, turut dinyatakan Pemangku Ketua Pengarah Finas dipegang oleh Shakib Ahmad Shakir, manakala Fairul Azida Shahabudin selaku Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Finas.

Bagi jawatan Pengerusi Finas pula, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM, Datuk Samsuni Mohd. Nor diberi tanggungjawab berkenaan dan seorang penasihat undang-undang, Affendy Ali Dally sebagai Timbalan Pengerusi.

Selain itu, turut diumumkan perlantikan ahli lembaga Finas iaitu, Rashid Karim, Hasnul Hadi Samsudin, Onn Norshal Hamzah, Mohan Rao, Salwah Shukor dan Andrew Tai.

Lembaga baharu berkenaan terdiri daripada kalangan individu yang berpengalaman luas dan berpengetahuan dalam bidang perfileman, karyawan, perakaunan dan perundangan. – KopiPlanet.com

“Kalau Diberi Peluang, Saya Akan Ubah Semua Dasar” – Hans Isaac

Penerbit dan pelakon Datuk Hans Isaac mengakui sudah bersedia sekiranya diberi tanggungjawab menggalas jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Mengakui ada menghadiri sesi temuduga untuk jawatan berkenaan bersama Menteri Komunikasi Dan Multimedia pada bulan lalu, Hans enggan mengulas sama
ada dirinya terpilih atau tidak.

“Kalau saya dipilih untuk menggalas jawatan ini, perkara utama yang akan saya lakukan adalah mengubah keseluruhan dasar FINAS. Mungkin ada orang industri yang tidak akan sukakan saya nanti.

“Misalnya, paling penting adalah mengenai kebajikan anak seni dan artis veteran. Mengenai penukaran semua dasar ini, saya lakukan adalah berdasarkan pengalaman dalam industri selama 25 tahun dengan pelbagai perkara yang telah saya lalui,” ujarnya sambil memberitahu telah membentangkan 15 manifesto kepada menteri sewaktu temu duga berkenaan.

Meluahkan dirinya pernah berasa kecewa dengan industri serta dikatakan tidak layak untuk jawatan tersebut kerana dikatakan pernah menggunakan dana FINAS untuk penerbitan teater muzikalnya, Hans menegaskan dia langsung tidak mengambil satu sen duit daripada perbadanan tersebut.

Ujar Hans, pihak peguamnya juga telah bertemu dengan penulis sebuah blog yang membuat dakwaan berkenaan dan percaya ia dilakukan oleh individu yang tidak senang dengan dirinya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada namanya sudah sah menjadi pilihan, Hans menyatakan semua pihak perlu menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM).

“Saya akui memang nama saya antara yang telah disenarai pendek bersama beberapa calon lain.

“Bagaimanapun, semua kenyataan yang saya buat ini bukan bermakna jawatan itu sah milik saya. Sebaliknya, apa yang saya nyatakan ini adalah misalnya kalau saya dipilih,” jelasnya. – KopiPlanet.com