Cerita ArtisHiburan

Akhirnya… Hans Isaac Dilantik Sebagai Pengerusi Finas

Pelakon, penerbit dan pengarah filem, Datuk Gerald Hans Isaac dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 8 April lalu.

Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini

“Beliau (Hans Isaac) mempunyai pengalaman luas dalam bidang perfileman. Beliau telah menerima pelbagai anugerah dalam industri perfileman tempatan,” kata Gobind.

Hans merupakan Pengarah Urusan Social 360 Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang keselamatan serta insurans dan pernah menjadi anggota Lembaga Penasihat Finas serta anggota lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada 2012.

Selebriti berusia 48 tahun itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Institute of Commerce, Singapura dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel dari Kolej Stanford, Malaysia.

Gobind berkata, pelantikan Hans Isaac berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi menggantikan Datuk Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas sebagai pemangku Pengerusi Finas selama lebih empat bulan yang lalu.

“Kementerian berharap pengerusi yang baharu ini akan berkhidmat untuk meningkatkan usaha-usaha Finas bagi membangunkan industri ini,” kata Gobind.

Beliau juga berharap anggota lembaga Finas akan memberikan kerjasama yang penuh kepada pengerusi baharu dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button