• FOLLOW US

Sambutan Hangat… Pengarah Sahkan Bakal Hasilkan Sambungan Filem Pusaka

Berdasarkan sambutan hangat yang diterima daripada penonton, filem bergenre seram terbitan Astro Shaw iaitu Pusaka akan mempunyai kesinambungan.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pengarahnya, Razaisyam Rasyid yang menyatakan memang sudah ada perancangan untuk menghasilkan sekuel filem berkenaan.

“Apa yang boleh saya katakan filem Pusaka akan ada sambungan. Persetujuan secara verbal bersama pihak penebit juga sudah dibuat dan kini ia masih dalam proses pembangunan skrip.

“Untuk jalan ceritanya pula, ia adalah kesinambungan kepada filem yang pertama dan mungkin akan mengekalkan sebahagian besar pelakon asal,” ujarnya.

Razaisyam berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pratonton drama berjudul Sembilan yang berlangsung di MBO The Starling Mall semalam.

Berkenaan sambutan hangat dengan kutipan sebanyak RM13 juta yang diraih, Razaisyam sendiri mengakui agak terkejut dengan penerimaan penonton.

Ujarnya, pendekatan berbeza yang dilakukan untuk filem berkenaan dilihat antara menjadi faktor utama Pusaka dapat menarik minat penonton ke pawagam.

“Untuk filem ini ia agak berbeza dengan filem-filem seram lain apabila saya menggabungkan elemen seram dan penyiasatan bagi menghasilkan sebuah jalan cerita yang menarik.

“Bagaimanapun, saya juga tidak menafikan populariti barisan pelakon utama dalam filem Pusaka juga turut memainkan peranan yang penting,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Buang Imej Budak Baik, Sweet Qismina Pilih Warna ‘Daring’ Untuk Rambut

Sering dikaitkan dengan imej budak baik (girl next door), pelakon Sweet Qismina akhirnya menukar gaya rambutnya dengan mewarnakan mahkotanya itu dengan warna oren kemerah-merahan.

Menurut Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina, 22, dia bukan sengaja mahu menukar imej sebaliknya ia dilakukan atas tuntutan kerja semata-mata.

“Saya tampil dengan imej rambut baharu berwarna oren kemerah-merahan kerana tuntutan kerja untuk satu watak drama. Bagi saya drama atau filem, saya akan bagi komitmen 100 peratus untuk menjayakan sesuatu karakter itu. Disebabkan itu saya warnakan rambut untuk disesuaikan dengan watak antagonis yang akan saya lakonkan nanti.

“Sejujurnya saya sendiri tidak selesa dengan warna terang sebegini sebab kalau sesiapa tahu saya macam mana, mereka akan tahu yang saya paling kurang pun akan warnakan rambut dengan warna natural seperti coklat gelap. Tapi saya anggap ini semua sebagai cabaran untuk saya.

“Mungkin inilah masa untuk orang nampak sisi lain saya iaitu kelihatan lebih matang dan dewasa,” kata Sweet kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis gala pratonton filem Pusaka yang berlangsung di MBO The Starling, Damansara Utama, baru-baru ini.

Menurut Sweet, dia tidak kisah dengan kecaman netizen terhadap imej baharunya itu kerana mengetahui peminatnya memahami tuntutan kerjanya yang memerlukannya untuk tampil sedemikian.

“Saya sedar dengan kecaman-kecaman yang bakal dihadapi daripada netizen tapi saya percaya peminat tahu yang saya buat begini demi kerja. Asalkan peminat tahu niat saya warnakan rambut ini untuk lakonan semata-mata itu dah okay bagi saya.

“Macam Adam (Adam Lee) pula, dia pada mulanya tengok saya pelik tapi dia faham sebab kami sama-sama pelakon dan dia tahu itu merupakan salah satu cabaran bergelar pelakon yang mana kita kena bersedia bertukar penampilan untuk disesuaikan dengan karakter yang ingin dibawakan,” katanya lagi.

Sweet dan Adam baru-baru ini mengesahkan mereka kini dalam fasa percintaan namun enggan terlalu menghebah-hebahkan perkara itu kepada umum.

Sweet kini tampil dengan filem seram berjudul Pusaka yang turut dilakonkan Syafiq Kyle, Mimi Lana, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Faizal Hussein, Aleza Shahdan dan Aloy Paradok. Pusaka akan ditayangkan pada 31 Oktober ini. – KopiPlanet.com