• FOLLOW US
Filem, Terkini

Filem Nyonya Ronggeng Angkat Budaya Masyarakat Baba & Nyonya

Di kala kebanyakan syarikat produksi lebih gemar membina replika model bangunan dalam filem terbitan mereka, penerbit filem Nyonya Ronggeng, ZLK Productions mencipta sejarah tersendiri apabila melaburkan sebanyak RM2.8 juta bagi membina semula rumah agam berkonsepkan kaum Baba & Nyonya.

Banglo yang berlokasi di Jalan Inai, Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu dijangka siap pada hujung bulan ini turut menampilkan dekorasi kaum tersebut bagi menampilkan mood yang melatari filem itu nanti.

Penerbitnya, Datuk Seri Dr. K.C Lee, banglo itu dibina bagi menampilkan budaya Baba & Nyonya mengikut acuan sebenar menerusi medium filem agar filem tempatan dapat membuka mata masyarakat luar tentang kebudayaan masyarakat majmuk di negara ini.

“Pembinaan banglo di tengah-tengah ibu kota itu masih lagi dalam proses pembinaan dan setakat ini kerja-kerja sudah 70 peratus siap. Selepas ini kami akan fokuskan kepada barangan perabot antik yang akan diambil daripada pembekal dari Melaka dan Pulau Pinang bagi menampilkan ciri realistik kaum Baba & Nyonya.

“Selepas filem ini habis, rumah yang digunakan ini akan dijadikan sebagai sebuah restoran yang akan menghidangkan kepelbagaian menu masakan masyarakat Baba & Nyonya selain sebagai salah satu tarikan untuk pelancong yang datang ke Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pada majlis pra pelancaran Nyonya Ronggeng di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur semalam.

Filem yang menelan kos produksi secara keseluruhan sebanyak RM6 juta itu akan diarahkan oleh Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin. Nyonya Ronggeng bakal diterajui aktres YingLi Tan yang pernah memenangi gelaran Miss Malaysia Queen of Tourism 1996 bersama aktor Steve Yap. YingLi juga merupakan penerbit bersama bagi filem ini.

Bakal memulakan penggambaran pada September ini, pihak produksi masih lagi menjalankan sesi ‘casting’ bagi mencari pelakon dari luar negara dari Jepun, China dan Thailand bagi melengkapkan jalan cerita filem ini.

Filem Nyonya Ronggeng mengisahkan pengorbanan seoang wanita bernama Rose, keturunan Baba dan Nyonya yang ingin menumpang kasih sayang dari seorang jejaka. Namun kehadirannya mendatangkan kebencian kepada ahli keluarga lelaki-lelaki yang dicintai, hanya kerana dia seorang penari ronggeng.

Kisah Rose bermula apabila ibu bapanya dibunuh dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai Sook Ching di Singapura, Rose yang masih kecil dijaga dan dibesarkan oleh seorang pemilik pentas ronggeng.

Perjalanan hidup Rose dipaparkan secara berkala, dengan latar belakang beberapa kejadian dari tahun 1942 hingga penghujung 1970-an seperti pembunuhan beramai-ramai Sook Ching, kemerdekaan Tanah Melayu 31 Ogos 1957 dan Tragedi 13 Mei 1969. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend