
Seperti dijangka, lagu Hasrat yang dinyanyikan Amir Jahari menepati ramalan apabila karya itu mengungguli acara kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang melabuhkan tirainya di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.
Kemenangan itu melayakkan lagu ciptaan Amir Jahari itu sendiri berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.
Naib juara AJL38 menjadi milik lagu Sutera nyanyian Aisha Retno menerusi karya ciptaan Aisha Retno & MFMF membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.
Menduduki tempat ketiga adalah lagu Jangan Mati Rasa Itu nyanyian Aina Abdul melalui lagu ciptaan Aina Abdul serta menggondol hadiah trofi dan wang tunai RM30,000.
Selain itu, vokal luar biasa dan persembahan memukau ketika mendendangkan lagu Jangan Mati Rasa Itu turut membawa tuah buat Aina Abdul apabila diumumkan pemenang trofi Vokal Terbaik dengan hadiah trofi dan wang tunai RM12,000.
Kategori Persembahan Terbaik dimenangi lagu Sutera sekali gus berjaya meraih RM12,000 bersama (penaja) berserta trofi, manakala Anugerah Penyanyi Pilihan Popular AJL38 turut dimenangi oleh Aina Abdul menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi.
Untuk rekod, bakat muda dilihat banyak menguasai kebanyakan daripada 12 lagu yang dipertandingkan pada AJL38 kali ini.
Pentas acara bertemakan Muzikaverse itu juga buat pertama kalinya menggunakan teknologi pencahayaan Light Emitting Diode (LED) sebanyak 90 peratus.
AJL38 diacarakan oleh Sherry Alhadad bergandingan bersama Alif Satar manakala acara karpet Merah AJL38, dihoskan Fizzy Ali dan Fizza Frizzy serta bersiaran di TV3 dan strim melalui Tonton. – KopiPlanet.com
Keputusan Anugerah Juara Lagu 38
JUARA – Hasrat (Amir Jahari)
NAIB JUARA – Sutera (Aisha Retno)
KETIGA – Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)
VOKAL TERBAIK – Aina Abdul (Jangan Mati Rasa Itu)
PERSEMBAHAN TERBAIK – Aisha Retno (Sutera)
Kredit Foto: Instagram TV3