
Terperangkap Dalam Kekeliruan Cinta & Pergolakan Emosi Tidak Stabil, Hazama Luahkan Menerusi Single Aku Bukan Narsisis
Penyanyi tersohor, Hazama, tampil dengan single terbaharu yang menyentuh jiwa berjudul “Aku Bukan Narsisis”, ciptaan dan terbitan oleh komposer terkenal Farouk Roman, dengan lirik hasil kolaborasi Hazama dan Zel Hadauan.
Lagu ini diangkat sebagai lagu tema rasmi untuk drama adaptasi novel hit Dia Bukan Syurga karya Rissa Ahdiya, yang bakal ditayangkan di Slot MegaDrama, Astro Ria bermula 19 Mei 2025.
“Aku Bukan Narsisis” merupakan luahan daripada perspektif watak lelaki bernama Tajul, yang terperangkap dalam kekeliruan cinta dan pergolakan emosi yang tidak stabil.
Lagu ini menyelami sisi psikologi seorang lelaki yang sering dilabel sebagai “narsisis” atau terlalu mengawal dalam percintaan, sedangkan hakikatnya dia sedang bergelut dengan ketakutan akan kehilangan, rasa tidak mencukupi, dan obsesi terhadap kesempurnaan dalam cinta.
“Engkau Sang mentari menghangatkan, engkau bayang-bayang mendinginkan. Engkau juga seteru, engkau juga kekasih.“
Dalam drama Dia Bukan Syurga, watak Nuha (lakonan Ezzanie Jasny) berdepan tekanan emosi dalam perkahwinannya dengan Tajul (lakonan Niezam Zaidi), seorang lelaki yang panas baran dan cemburu buta.
Lagu ini menggambarkan konflik batin Tajul seorang suami yang menyayangi tetapi pada masa yang sama melukai sekaligus mencerminkan realiti cinta yang toksik serta bagaimana ketidakmatangan emosi mampu menghancurkan sesebuah hubungan.
Disulami dengan susunan muzik yang dramatik dan vokal ekspresif Hazama, “Aku Bukan Narsisis” memberi wajah dan suara kepada watak Tajul, menjadikannya elemen penting dalam menggambarkan sisi gelap perhubungan dalam drama ini.
“Cinta ini sarat, meski zahir tak terlihat… Hingga akhir hayat”
Drama Dia Bukan Syurga arahan Rashid Sibir dan terbitan Radius One Sdn. Bhd. menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ezzanie Jasny, Niezam Zaidi, dan Nazim Othman.
Ia bukan sekadar sebuah drama cinta, tetapi turut menyentuh isu kawalan emosi, penderaan psikologi, dan trauma pasca hubungan toksik. Kisah ini memberi ruang kepada penonton untuk memahami realiti yang lebih mendalam di sebalik wajah bahagia sebuah perkahwinan.
“Aku Bukan Narsisis” boleh didengari di semua platform digital bermula 16 Mei lalu. Manakala drama penuh akan mula ditayangkan pada 19 Mei 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan On Demand, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 32 episod. – KopiPlanet.com