EventHiburan

Tertarik Dengan Tajuk ‘Korupsi’, Dr. Maza Terima Lamaran Ogy Berlakon Teater

Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza buat julung kalinya akan berlakon dalam sebuah pementasan teater komedi seram berjudul Korupsi Dewan Semandung.

Menariknya, menerusi pementasan ini Dr. Maza bakal digandingkan dengan beberapa pelawak hebat tanah air yang turut serta dalam naskhah terbitan Ogy Ventures Network yang dimiliki oleh seniwati Fauziah Datuk Ahmad Daud.

Menurut pendakwah tersebut, antara sebab utama beliau menerima lamaran untuk membintangi teater ini adalah disebabkan tertarik dengan judul ‘Korupsi’ yang memberi pelbagai maksud pengertian.

“Sebenarnya bidang seni sastera tidak lari jauh dengan saya sebab saya merupakan graduan bidang sastera. Malah ketika menuntut di United Kingdom dulu saya sering didedahkan dengan pementasan teater.

“Bila dilamar Ogy, saya terus bersetuju disebabkan perkataan ‘Korupsi’ yang digunakan dalam tajuk pementasan ini. Korupsi ini luas maksudnya jadi dengan cara ini juga kita boleh berdakwah kepada masyarakat di luar sana.

“Dalam teater ini, saya melakonkan watak sebagai diri saya sendiri dan akan memberikan pandangan seperti biasa yang saya lakukan dalam ceramah-ceramah saya sebelum ini.

“Saya bukan terima tawaran berlakon ini sebab nak tayang muka, sebaliknya kalau ia mampu memberikan mesej dan kesedaran kepada masyarakat umum, itu sebab utama kenapa saya terima tawaran ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media teater Korupsi Dewan Semandung yang berlangsung di Seri Nilam, Istana Budaya, Kuala Lumpur hari ini.

Teater arahan Khir Rahman itu turut dibintangi Abam Bocey, Mark Adam, Shahrul Shiro, Vicha, Azrul, Tauke, Sharif Zero, Joey, Tapai, Chi Wan, Chemat dan pendatang baharu, Hanna Halim.

Sementara itu, Ogy selaku penerbit melihat kebolehan Dr. Maza dalam memberikan nasihat daripad sudut humor bijak menarik perhatiannya untuk melamar figura popular tersebut.

“Saya sebenarnya suka tengok video ceramah dan motivasi beliau. Sejak tiga tahun lepas saya dah lama perhatikan beliau (untuk beri tawaran lakonan) dan hanya hujung tahun lepas perkara itu terlaksana bila saya hantar offer kepada beliau.

“Lama juga saya tunggu jawapan balas daripada beliau dan akhirnya baru dua minggu lalu, Dr. Maza beri kata akhir yang beliau bersetuju untuk sertai teater ini.

“Pastinya dengan penglibatan beliau, teater ini akan memberikan satu warna yang berbeza apabila kita dapat berhibur sambil berdakwah mengikut platform seni,” ujar Ogy.

Korupsi Dewan Semandung akan dipentaskan selama tiga hari iaitu pada 28, 29 Februari dan 1 Mac ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Tiket berharga RM58, RM78, RM88, RM148, RM178, RM208 dan RM258 boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button