• FOLLOW US
Filem, Review

Tiada Tajuk Bukan Sekadar Komedi, Selit Unsur Agama Sebagai Pedoman

Tajuk: Tiada Tajuk
Tarikh Tayangan: 4 April 2019
Durasi: 1 jam 40 minit
Genre: Komedi/Islamik
Pengarah: Mawi
Pelakon: Mawi, Hazama, Along Cham, Joey Daud, Amira Othman, Kamarul Hj. Yusof, Johan As’ari, Anas Tahir.
Klasifikasi: P13

Bertitik tolak daripada kejayaan telefilem Rock Sangkut yang ditayangkan lima tahun lalu, kali ini Asmawi Ani atau Mawi membuat percubaan berani apabila mengangkat kesinambungan nakshah itu ke dalam versi filem menerusi Tiada Tajuk.

Jarang sekali filem di Malaysia mengetengahkan genre komedi Islamik, menurut Mawi dia bukan ingin berdakwah menerusi Tiada Tajuk sebaliknya hanya ingin menyampaikan apa yang tersirat di hati melihatkan pada keadaan akhir zaman ketika ini.

Selain itu, Mawi turut memasukkan elemen ‘perlian’ terhadap sesetengah masyarakat yang terlalu mengangkat darjat seseorang artis daripada yang sepatutnya.

Walaupun diselitkan dengan unsur humor, namun nilai dan pengajaran itu sampai kepada ‘siapa yang makan cili, dia terasa pedas’.

Secara keseluruhannya, filem ini tiada cacat cela dan sinematografinya juga cantik mata memandang.

Walaupun lebih terkenal sebagai seorang penyanyi, tapi siapa sangka Hazama turut mempunyai bakat yang cukup besar dalam bidang lakonan.

Lakonan Hazama sebagai Abadi cukup menyakinkan malah cukup menyentuh perasaan tatkala dia menasihati dua lagi rakannya iaitu Kuswadi (Along Cham) dan Rumi (Joey Daud).

Sementara itu, Mawi turut mencuba membawakan kelainan apabila dia sendiri memegang watak antagonis, Suci bagi mempelbagaikan lagi sisi karakternya dalam bidang lakonan.

Memainkan watak penyanyi senior yang sombong dan munafik, Mawi berjaya membawa wataknya dengan baik termasuk juga daripada ekspresi muka yang menuntutnya kelihatan angkuh.

Walaupun lebih banyak unsur jenaka namun yang pasti babak seram melibatkan watak Rumi cukup terkesan dan ia kelihatan ‘real’ sehingga boleh menaikkan bulu roma sesiapa yang melihatnya. Kudos untuk itu, Mawi!

Tiada Tajuk mula ditayangkan hari ini di 100 pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei.

Ia diterbitkan oleh Mawi World Entertainment. Tiada Tajuk mengisahkan tiga sahabat baik berasal dari kampung, dianggap sebagai kutu rayau yang mana bercita-cita untuk menjadi artis terkenal. Banyak dugaan yang mereka lalui sepanjang perjalanan meraih impian tersebut. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend