Cerita ArtisHiburan

Tidak Berbaju & Bartatu, Syafeek Ikhwan Nafi Gimik Murahan Promosi Single Baharu

Penyanyi, Syafeek Ikhwan muncul dengan single terbaharu berjudul ‘Pernah Mati-Matian’, sebuah karya ciptaan sepenuhnya oleh beliau sendiri.

Lagu yang dilancarkan pada penghujung November ini membawa pendengar menyelami sisi paling jujur dan emosional seorang artis yang pernah berusaha sepenuh hati dalam sebuah hubungan, namun akhirnya dibiarkan kecewa.

Menurut Syafeek, lagu ini pada awalnya ingin didedikasikan kepada bekas kekasih ketika mereka masih bersama, namun hubungan tersebut berakhir sebelum lagu sempat disiapkan.

Walaupun begitu, beliau tetap memilih untuk meneruskan proses penghasilan lagu tersebut sebagai memenuhi permintaan terakhir insan itu, biarpun bukan lagi dalam konteks yang bahagia.

Syafeek mendedahkan bahawa ‘Pernah Mati-Matian’ tercetus daripada pengalaman benar mengenai fasa di mana beliau cuba membantu seseorang yang berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil.

Sepanjang tempoh itu, Syafeek berusaha sedaya upaya untuk menjadi sistem sokongan yang terbaik. Namun, sebaik sahaja individu tersebut pulih, kehadiran orang lain membuatkannya tersisih dan dilupakan.

Kisah itu akhirnya diterjemahkan dalam bentuk lagu yang membawa kelukaan, tetapi dalam masa sama menjadi terapi untuk dirinya.

Isu visual yang dikongsikan Syafeek yang memperlihatkan dirinya tidak berbaju, bertatu dan berada dalam sebuah bathtub turut menarik perhatian ramai. Menjelaskan perkara tersebut, Syafeek menegaskan ia bukan gimik murahan. 

Sebaliknya, ia merupakan penyampaian artistik yang menggambarkan detik paling rapuh serta keadaan ‘hilang diri sendiri’ yang pernah dilaluinya.

“Apabila seseorang berada dalam fasa paling gelap hidupnya, tiada apa lagi yang boleh disorok. 

“Visual itu ialah metafora kepada keadaan saya pada waktu itu. Ia perlu raw dan jujur supaya audiens benar-benar merasai apa itu ‘Pernah Mati-Matian’,” jelasnya.

Syafeek turut menambah bahawa tatu yang kelihatan hanyalah elemen seni semata-mata dan bukannya tatu sebenar, selain menegaskan bahawa beliau sentiasa sedar dan menjaga batas sebagai seorang Muslim. 

Pemilihan bathtub pula bukanlah keputusan yang dibuat sekadar mahu menimbulkan sensasi.

Syafeek menyifatkan ruang tersebut sebagai simbol fasa dirinya yang berasa tenggelam, hanyut, lemas dan hampir hilang identiti.

Malah, melodi lagu ini sendiri disempurnakan ketika beliau mengasingkan diri di dalam bilik mandi selama lebih tiga jam. 

Ia merupakan kenangan dan akhirnya memberi inspirasi utama kepada keseluruhan karya.

Mengulas tentang kecaman yang diterima di media sosial, Syafeek mengakui bahawa reaksinya kini jauh lebih matang berbanding beberapa tahun lalu.

Gambar promosi lagu tersebut telah pun mencapai hampir 100,000 engagement di platform X, sesuatu yang dianggapnya sebagai bukti bahawa karya itu mula mendapat perhatian.

“Orang berhak memberi pandangan. Saya hanya mahu pastikan lagu ini sampai kepada pendengar. Fasa saya terkesan dengan hentaman netizen sudah berlalu.

“Dengan sokongan keluarga dan peminat setia ‘GengSyafeek’, saya lebih kuat sekarang,” katanya.

Buat masa ini, Syafeek memilih untuk memberi fokus kepada promosi audio terlebih dahulu, sebelum visualiser rasmi dilepaskan dalam masa terdekat. 

Visualiser tersebut, menurutnya, hampir menyerupai muzik video dari segi intensiti penceritaan.

Ditanya mengenai kehidupan peribadi, Syafeek menjelaskan bahawa ‘Pernah Mati-Matian’ tidak mempunyai kaitan dengan lagu-lagu terdahulu kerana ia berkisarkan individu yang berbeza.

Meskipun terbuka hati untuk mengenali insan baru, beliau kini lebih berhati-hati dalam soal perhubungan.

Syafeek berharap lagu ini diberikan peluang oleh pendengar kerana percaya bahawa genre galau masih mempunyai tempat yang kuat dalam industri muzik tempatan.

“Saya harap ramai yang dapat mendengarkan ‘Pernah Mati-Matian’ walau sekali. InsyaAllah selepas itu ia akan masuk ke playlist wajib mereka. 

Buat insan yang pernah menjadi inspirasi lagu ini, saya berharap dia tahu bahawa karya ini lahir daripada kisah kami berdua, ” katanya menutup bicara. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button