
Tidak Sambung Belajar Lepas Dapat Tawaran Jadi Penyanyi, Aiman Tino Teruja Dapat Pengalaman Bergelar Pelajar Kolej
Viu, platform penstriman OTT pan-serantau terkemuka PCCW, dengan kerjasama NIVEA, dengan bangganya mempersembahkan 100 Days To Ask Your Crush Out, sebuah siri pendek baharu yang penuh warna-warni, meraikan semangat remaja serta debaran cinta pertama.
Salah seorang pelakonnya, Aiman Tino berkata, dia tertarik untuk membintangi drama berkenaan kerana peranan yang diberikan iaitu sebagai seorang pelajar kolej.
“Saya senang membawa watak Razif ni kerana saya suka dengan karakter yang dibina dalam dirinya hingga ia telah membuatkan saya rasa teringat waktu muda dan saya boleh rasakan pengalaman menjadi budak kolej.
“Sebenarnya, saya tak pernah masuk mana mana kolej selepas saya ditawarkan menjadi penyanyi pada umur 18 tahun dan watak Razif ni juga memberi satu pengalaman untuk saya rasa jadi student walaupun hanya dalam cerita,” ujarnya.
Menurut Aiman, watak berkenaan juga membantu saya mengeluarkan sisa-sisa nakal dalam dirinya yang tak pernah diperlihatkan di mana-mana.

Dalam pada itu, Aiman yang sememangnya dikenali ramai sebagai seorang penyanyi juga menyatakan bersedia untuk membawakan apa sahaja watak.
“Jika ada tawaran berlakon watak yang berbeza, saya sedia untuk belajar memperluaskan watak-watak baharu dan akan cuba sedaya upaya sampaikan kena dengan karakter dan emosi watak tersebut,” ujarnya.
Siri romantik 30 episod ini diterbitkan khas untuk generasi muda yang gemar menonton secara maraton, dengan episod baharu ditayangkan setiap hari secara eksklusif di Viu.
Selain Aiman, drama bersiri 100 Days To Ask Your Crush Out turut dibintangi beberapa pelakon lain yang sedang meningkat naik seperti Aniq Suhair dan Harissa Adlynn.
Mengangkat tema keyakinan diri, ekspresi diri dan cinta pertama, siri ini menjanjikan pengalaman menonton yang menyentuh hati dan penuh warna. – KopiPlanet.com
Siri ini meneruskan kejayaan siri pendek berjenama Viu Malaysia sebelum ini termasuk Tiada Seperti Leyla (Garnier), Persis Boneka (Safi), dan Andartu Kosmopolitan (Efferty), sekali gus menegaskan komitmen Viu dalam menyampaikan penceritaan yang menghiburkan, dekat di hati serta inovatif untuk penonton Malaysia.