
Pengasas kepada syarikat MRF Consultant Sdn. Bhd., YM Dato’ Seri Paduka Diraja Dato’ Sri Siti Nur Atiqah Dato’ Seri Baba mahu menuntut agar segala fitnah yang dilemparkan terhadap pihaknya dihentikan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, tuntutan ini dibuat setelah Siti Nur Atiqah didapati tidak terlibat dengan kesalahan jenayah dan tidak disabitkan dengan mana-mana jatuh hukuman yang dikenakan terhadapnya.
“Siti Nur Atiqah telah memberi kerjasama yang sangat baik dan akur dengan segala arahan yang berkuatkuasa sepanjang prosiding mahkmah berjalan.
“Sehubungan itu, beliau meminta agar mereka yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab seperti menyebar fitnah, menghina serta menghasut untuk barhenti dengan perbuatan yang dimaksudkan serta-merta,” ujar kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu dibuat oleh peguam merangkap jurucakap MRF Consultant, Jaspal Singh yang dibacakan dalam satu sesi sidang media yang berlangsung hari ini.
Dalam kenyataan itu lagi, Siti Nur Atiqah telah memberikan tempoh yang panjang kepada pihak-pihak yang berkaitan agar bertemu dengannya bagi permohonan maaf, namun tiada yang tampil berbuat demikian.
“Bermula dari kenyataan ini dikeluarkan, MRF telah bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya kepada mana-mana pihak yang masih lagi tidak memadamkan posting sama ada gambar, kenyataan melalui pelbagai media akan diambil tindakan sama dari pihak MRF.
“Beliau juga turut menuntut permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak yang berkepentingan agar membersihkan namanya yang sebelum ini menanggung kerugian yang besar,” ujarnya.
Dalam pada itu, MRF turut menyatakan bahawa pihaknya bersetuju untuk melaksanakan semula projek Rumahku Syurgaku dengan peraturan yang baharu serta pemantauan pihak berkuasa. – KopiPlanet.com