FilemTerkini

Town Mall Inspirasi Kejadian Gangguan Makhluk Halus Di Tapak Pembinaan

Filem bergenre seram sememangnya sentiasa mendapat tempat di kalangan pemggemar filem tempatan. Terbaharu, sebuah filem seram, Town Mall bakal menemui penonton bermula 25 Jun ini di saluran Astro First (480).

Mengikut perancangan, Town Mall sepatutnya ditayangkan pada 26 Mac lalu di pawagam seluruh negara sebelum dunia dikejutkan dengan pandemik Covid-19.

Town Mall menampilkan inspirasi daripada kisah benar yang diadaptasi daripada novel bergenre seram terlaris karya Hasrudi Jawawi terbitan Buku Prima.

Dibintangi pelakon terkenal tanah air, Datuk Seri Eizlan Yusof, Reen Rahim, Intan Ladyana, Nynaa Harizal, Adam Shahz, Dato’ Jalaluddin Hassan, Erry Putra, Hafizuddin Fadzil, Nor Albaniah, Ku Faridah dan Faradhiya.

Lebih istimewanya, filem ini merupakan naskhah pertama Eizlan yang turut menggalas tanggungjawab sebagai pengarah filem.

Penerbit dari Produksi Enuja Production, Zainuddin Mohd Ismail menzahirkan rasa penuh keterujaan kerana filem Town Mall akhirnya bakal menemui penonton.

“Saya selaku penerbit bersama barisan kru dan pelakon tidak sabar untuk menunggu reaksi penonton kelak. Sokongan daripada pihak Astro Shaw yang membuka ruang buat penerbit untuk menayangkan filem dalam tempoh sekarang ini, memberikan saya lebih keyakinan dan percaya potensi filem ini untuk mendapat sambutan positif.

“Saya berharap kehadiran filem ini mampu menjadi pencetus dan mencipta penanda aras baru dalam adaptasi filem daripada novel seram, kerana sebelum ini amat jarang kita lihat naskhah-naskhah novel seram diangkat ke layar perak,” katanya.

Filem Town Mall mengisahkan tentang sebuah projek pembinaan yang telah terbengkalai selama 10 tahun akibat gangguan halus.

Kemudian sebuah syarikat pembinaan terkenal cuba menyambung semula kerja-kerja dengan harapan bangunan itu akan menjadi sebuah pusat beli-belah terkemuka.

Pengurus projek, Rusdi ditugaskan untuk memantau projek baharu itu. Pada awalnya pembinaan itu berjalan dengan lancar, sehingga suatu hari kejadian sama dari 10 tahun lalu berlaku semula. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button