Cerita ArtisHiburan

Valerayy Bawa Pendengar Selami Sisi Paling Rapuh Dalam Diri Menerusi Single Castles And Carriages

Kenali Valerayy, penyanyi dan penulis lagu baharu dari Malaysia yang bakal mencuri perhatian dengan kisah-kisah jujurnya yang diterjemahkan menjadi muzik. Bintang yang bernama sebenar Rachel V. Anthony melancarkan single sulungnya yang menyentuh hati berjudul “Castles and Carriages”, pada 25 Julai 2025.

Ia adalah sebuah lagu yang indah namun sarat dengan kisah luka sekaligus menjadi pembuka jalan buat EP pertamanya yang berjudul Castles.

Dikenali dengan vokal lembut dan lirik yang penuh kejujuran, Valerayy membawa pendengar menyelami sisi paling rapuh dalam dirinya — bagaikan helaian dari diari peribadi.

“Ia satu pengalaman yang benar-benar saya nantikan. Rasa macam tak percaya saya dapat tulis dan nyanyi lagu saya sendiri untuk anda.

Kadang-kadang rasa sunyi dan keraguan dalam diri tu datang, tapi sekarang saya belajar untuk terima bahawa itu semua perkara biasa,” kongsi Valerayy.

Lagu “Castles and Carriages” mencabar ilusi dongeng, dengan bijaknya membungkus patah hati dalam tajuk yang kelihatan indah dan bersifat fantasi.

“Saya memang mahu elemen dongeng dimasukkan dalam EP ini. Saya rasa seolah-olah tertipu untuk mempercayai watak ‘putera raja’ dan pengakhiran yang bahagia.

“Perkataan seperti ‘istana’ atau ‘kereta kuda’ memberikan gambaran yang penuh harapan, tetapi di sebaliknya tersembunyi kisah yang penuh kesakitan,” ujarnya.

EP Castles, yang disiapkan dalam hanya sebulan selepas satu lonjakan kreativiti yang didorong oleh A&R / penerbit eksekutifnya, Hayze, merupakan projek yang sangat katartik bagi Valerayy.

Setelah bergelut dengan kebuntuan menulis selama hampir setahun, dia kembali kepada penulisan lagu sebagai satu bentuk pelepasan emosi.

“Saya telah memendam terlalu banyak perasaan. Saya masih cuba memproses semuanya dan saya akui sekarang melarikan diri daripada kesakitan itu.”

Lebih daripada sekadar muzik, Valerayy mahu EP ini menjadi ruang untuk perkongsian dan penyembuhan bersama.

“Lagu-lagu ini umpama helaian diari saya yang saya akhirnya berani kongsi. Saya bukan jenis yang mudah berkongsi, dan itu kadang-kadang membuat saya rasa sunyi. Tapi bila saya tahu saya tak keseorangan, ia banyak membantu saya.

“Biasanya saya akan lepak dan bermalam dengan kawan-kawan rapat sambil mencurahkan semuanya… jadi saya bayangkan EP ini macam satu babak ‘sleepover’ besar, di mana kita semua boleh menangis sama-sama dan saling menyokong — walaupun kisah hidup kita berbeza,” ujarnya.

Castles and Carriages bukan sekadar permulaan kerjaya Valerayy — ia adalah pengenalan kepada seorang artis yang berani untuk menunjukkan sisi lembut di dunia yang sering menuntut kekuatan luar.

Castles and Carriages” tersedia di semua platform penstriman utama pada 25 Julai 2025. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button