
Yulia Kamelia Akui Berdebar Saat Dapat Kolaborasi Bersama Khai Bahar Dalam Single ‘Toksik’
Sony Music Entertainment Malaysia mempersembahkan sebuah kolaborasi istimewa yang menyatukan dua suara penuh jiwa, Khai Bahar dan Yulia Kamelia, menerusi single duet terbaharu berjudul “Toksik”. Bernaung dalam nuansa balada pop, lagu ini merupakan hasil sentuhan komposer prolifik Farouk Roman, yang terkenal dengan melodinya yang sederhana namun menikam rasa, disulam lirik jujur karya Adrianna Cinta.
Toksik hadir sebagai sebuah pengakuan emosi — tentang cinta yang memerangkap, luka yang dipendam, dan kejujuran yang akhirnya terluah. Karya ini menzahirkan kematangan muzik serta kekuatan vokal Khai Bahar dan Yulia Kamelia, yang berpadu dalam keserasian penuh emosi, mencipta sebuah pengalaman dengar yang intim dan menyentuh perasaan.
Menambah makna kepada perjalanan lagu ini, Toksik turut dipilih sebagai runut bunyi naskhah terbaharu terbitan Radius One arahan Rashid Sibir, yang bakal menemui penonton di Astro Prima.
Diterajui oleh Wanna Ali, Nazrief Nazri, Sweet Qismina, Aidit Noh serta barisan pelakon hebat lain, drama ini menjadi kanvas sempurna yang mengangkat emosi dan jiwa lagu Toksik ke dimensi penceritaan visual yang lebih mendalam.
Kolaborasi Dua Suara, Chemistry Yang Menjadi
Menurut Khai Bahar, gabungan vokalnya bersama Yulia menghasilkan keseimbangan dan chemistry yang unik. “Suara Yulia ada kelembutan, bila digabung dengan tona suara saya, kami dapat satu keseimbangan yang semulajadi. Tidak bertindih, tidak juga bersaing, sebaliknya saling melengkapi,” jelasnya.
Bagi Yulia Kamelia pula, kerjasama ini merupakan cabaran baharu yang memperkukuhkan lagi kematangannya sebagai penyanyi. “Toksik antara lagu yang sukar bagi saya dari segi teknikal, harmoni dan emosi. Saya cuba sesuaikan nyanyian saya dengan Khai, dan itu menjadi pengalaman yang sangat berharga,” ujarnya.
Pada masa sama, Yulia juga mengakui terbit perasaan berdebar dalam dirinya saat diberi peluang untuk berkolaborasi dengan Khai menerusi lagu berkenaan.
“Sudah tentu debaran itu memang ada kerana ini kali pertama kami bergandingan bersama, apatah lagi Khai juga adalah sebuah nama besar.
“Namun begitu, semuanya berjalan dengan lancar ketika sesi rakaman berlangsung. Malah, memang mudah untuk bekerjasama dengan Khai,” ujarnya.
Lagu ini menggambarkan hubungan di mana dua jiwa saling mencintai, namun cara mencintai itu sendiri menjadi punca luka. Bukan kerana benci, tetapi kerana cinta yang terlalu kuat sehingga memudaratkan diri sendiri.
Menurut Khai Bahar, lagu ini terasa sangat dekat dengan realiti banyak hubungan moden. “Bagi saya, hubungan toksik adalah apabila dua orang saling menyayangi, tapi cara mereka mencintai itu menyakitkan. Kadang-kadang bukan salah sesiapa, cuma sudah tidak sehaluan.”
Sementara Yulia Kamelia menekankan sisi emosinya pula: “Hubungan toksik bukan semestinya penuh marah atau benci. Kadang-kadang ia cinta yang sangat mendalam, sehingga kita rasa tidak boleh hidup tanpa dia… tapi dalam masa yang sama, kita hilang diri sendiri.”
Kedua-duanya percaya bahawa lagu ini hadir sebagai cerminan realiti, keindahan yang menyakitkan, perpisahan yang masih penuh kasih dan sayang, serta cinta yang tidak dapat diselamatkan lagi.
Proses Rakaman: Menghayati Luka, Menyampaikan Kejujuran
Khai Bahar mengakui bahawa demo Toksik sudah cukup untuk membuatkannya terikat dengan lagu ini. “Bila pertama kali dengar demo, saya terus rasa lagu ini ada jiwa yang kuat. Melodinya simple tapi menikam perasaan. Saya tahu saya hendak nyanyikan lagu ini.”
Untuk menghayati emosi lagu ketika proses rakaman, Khai meletakkan dirinya dalam situasi seseorang yang cuba bertahan tetapi semakin terluka. “Saya cuba tarik emosi itu dalam kawalan supaya penyampaiannya lebih jujur,” tambahnya.
Bagi Yulia Kamelia pula, dia merasakan hubungan yang mendalam dengan lagu Toksik sejak pertama kali mendengar demo. “Setiap bait liriknya penuh makna. Melodi lagu ini juga kuat dan mudah diingati,” katanya.
Untuk menjiwai lagu ini, Yulia menyelami setiap perkataan seolah-olah ia pengalaman yang pernah dilalui. “Saya letakkan diri saya dalam lagu ini seolah-olah saya sedang berada dalam hubungan toksik tersebut.
Sentuhan Farouk Roman & Lirik oleh Adrianna Cinta
Sebagai komposer Farouk Roman mengekalkan identiti baladanya yang kuat — ringkas, minimalis tetapi meninggalkan impak mendalam dan melodi yang mudah diingati manakala Adrianna Cinta merupakan penulis lirik bagi lagu ini. Lirik emosi yang mengisahkan realiti hubungan yang rapuh, menjadikan Toksik sebuah lagu yang dekat dengan perasaan ramai.
Harapan Khai Bahar & Yulia Kamelia
Melalui Toksik, kedua-dua penyanyi berharap lagu ini dapat menjadi ruang untuk pendengar merasa difahami.
Khai Bahar: “Kalau ada yang sedang terluka, saya harap mereka rasa ditemani. Kadang-kadang muzik boleh menadi cara untuk lepaskan rasa yang sudah lama kita simpan atau pendam.”
Kongsi Yulia Kamelia pula: “Saya harap Toksik menjadi cermin untuk mereka yang pernah atau sedang berada dalam hubungan macam ini. Bukan untuk menghakimi tapi untuk bantu mereka sedar, sembuh dan jadi lebih kuat.”
Dengarkan “Toksik” Di Semua Platform Digital
Single “Toksik” oleh Khai Bahar dan Yulia Kamelia kini boleh mula distrim di semua pelantar digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.



