DramaTV

Yusof Haslam Nafi Drama Kuasa Berkisar Tentang Kisah Kehidupan Keluarganya

Penerbit Skop Production, Datuk Yusof Haslam menafikan sekiranya ada tanggapan yang mengatakan drama Kuasa berkisarkan tentang ahli keluarganya.

Yusof berkata, apa yang dipaparkan dalam drama bersiri sepanjang lapan episod itu hanyalah sekadar rekaan semata-mata, meskipun ia adalah idea asal anak perempuannya iaitu Shamin Yusof.

“Kalau ikutkan sepatutnya saya memang akan berlakon dalam Kuasa, tetapi disebabkan sibuk dengan jadual penggambaran Gerak Khas Undercover, tempat saya digantikan dengan pelakon lain.

“Sekiranya saya berlakon dalam drama ini, memang ada yang akan mengatakan ia kisah tentang keluarga saya. Namun apa yang dipaparkan semuanya adalah rekaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi preview dan sidang media drama berkenaan yang berlangsung pada minggu lalu.

Kuasa merupakan sebuah drama siri premium terbitan Astro Shaw dan Skop Productions mengetengahkan kisah fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan yang hidup penuh dengan glamor, kemasyhuran, kerakusan kuasa dan pengkhianatan.

Ia menceritakan kehidupan sebuah keluarga penerbit terkemuka yang amat berpengaruh dan hidup dalam kemegahan, bersama tiga orang anak yang bakal mewarisi legasinya. Setiap ahli keluarga mempunyai agenda masing-masing demi menguasai empayar.

Drama berkenaan menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Ridzuan Hashim, Ning Baizura, Nazim Othman, Nadia Brian, Dazrin Kamarudin, Izzy Reef, Nia Atasha, Alicia Amin, Syanie Hisham dan Azri Iskandar.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya berasa sangat gembira apabila dapat berpeluang sekali lagi bekerjasama dengan rakan penerbit Skop Productions.

“Kami percaya bahawa jalan cerita yang segar dan kualiti produksi yang tinggi, mampu memberi kepuasan berbeza kepada penonton.

“Begitu juga dengan Kuasa yang mana tema utamanya adalah kekeluargaan yang merupakan subjek universal, tetapi isu yang dikupas berlegar tentang industri perfileman, kerakusan kuasa, sabotaj dan kemasyhuran,” jelasnya.

Drama Kuasa bakal menemui penonton mulai 11 April pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 atau strim di platform Astro GO atau On Demand. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button