Cerita ArtisHiburan

Ziha Salleh Buat Kemunculan Semula… Pertaruhkan Single Baharu Romansa Bergenre ‘City Pop’

Penyanyi dan pelakon berbakat, Ziha Salleh membuat kemunculan semula di pentas muzik dengan single terbaharu berjudul Romansa, menampilkan sentuhan genre city pop yang segar dan penuh emosi.

Kali terakhir muncul dengan single Cinta Malam Purnama pada 2023, Ziha berkolaborasi dengan penyanyi dan komposer berbakat Indonesia, Allan Andersn dalam merealisasikan projek Romansa.

Karya ini bukan sekadar lagu cinta, tetapi sebuah perjalanan peribadi yang lahir daripada persahabatan rapatnya bersama Allan.

Pertemuan semula mereka selepas bertahun tidak berjumpa telah mencetuskan idea untuk menghasilkan lagu yang memadukan nostalgia, kejujuran dan keberanian meluahkan isi hati.

“Lagu ini tercipta hasil daripada perbualan kami selepas bertahun-tahun tidak bersua. Tanpa sebarang perancangan awal, perbualan tersebut berkembang menjadi satu projek muzik yang sangat peribadi buat kami berdua,” jelas Ziha yang menyifatkan pengalaman itu penuh sentimental.

Peralihan daripada irama etnik kepada city pop juga menjadi tumpuan memandangkan single Ziha yang diterbitkan pada 2022, Adat Kasih pernah membawa pulang trofi Lagu Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik 23 (AIM 23).

Mengulas perkara ini, Ziha mempunyai alasan tersendiri muncul dengan genre baharu dalam Romansa serta mahu mencabar dirinya sebagai penyanyi serba boleh.

“Saya sayang irama etnik, malah ia pernah beri saya kejayaan besar di AIM 23. Tapi sebagai anak seni, saya rasa penting untuk terus mencabar diri. Lagu city pop ini satu eksperimen dan minat yang dah lama saya simpan.

“Cuma jangan risau, irama tradisional tetap dekat di hati saya, insya-AAllah kalau ada rezeki, saya akan kembali dengan lagu berirama etnik,” ujar Ziha.

Bagi Ziha, Romansa adalah tentang rindu yang mendalam, keraguan dalam cinta dan keinginan untuk bersama seseorang yang istimewa. Dengan susunan muzik berjiwa, vokal yang tulus, dan elemen retro yang memikat, lagu ini diharap mampu menyentuh hati pendengar.

Menariknya, Romansa juga mencerminkan fasa kematangan hidup Ziha sebagai seorang wanita bekerjaya yang menggalas pelbagai tanggungjawab.

Memikul peranan sebagai penyanyi serta ibu dan isteri dalam satu masa yang sama, Ziha mengambil ‘cuti rehat’ sebelum kembali aktif kerana mahu memastikan anak sulungnya selesa memulakan persekolahan rendah pada 2024.

“Selepas Cinta Malam Purnama pada 2023, saya memang ambil masa sedikit kerana anak sulung mula masuk sekolah rendah pada 2024.

“Sebagai ibu, saya nak pastikan dia betul-betul selesa dengan suasana baharu sebelum saya fokus sepenuhnya pada muzik semula. Bila hati dah tenang, barulah saya rasa bersedia untuk kembali berkarya,” katanya.

Romansa telah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital pada 1 Ogos dan Ziha berharap lagu ini diberikan ruang oleh stesen radio tempatan untuk sampai kepada pendengar yang menghargai karya seni yang tulus.

“Saya percaya dengan rezeki dan perjalanan yang telah Allah SWT aturkan. Setelah 11 tahun dalam industri hiburan tanah air, saya masih ingin menyumbang sesuatu yang bermakna,” tambahnya.

Strim lagu Romansa nyanyian Ziha Salleh di semua platform penstriman digital utama.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button