HiburanSelebriti

13 Tahun Dalam Dunia Masakan, Anis Nabilah Akhirnya Keluar Buku Resipi

Setelah hampir 13 tahun terlibat dalam dunia masakan, chef selebriti Anis Nabilah akhirnya berjaya menyempurnakan impiannya untuk menerbitkan sebuah buku resipi masakan khas buat mereka yang sentiasa mengikut perkembangan dirinya.

Anis atau nama sebenarnya, Anis Nabilah Umaruddin, 34, kini tampil dengan buku masakan Comford Food for Thermomix by Chef Anis Nabilah dengan kerjasama Thermomix.

Buku masakan yang mengandungi 25 resipi yang direka khas untuk penggemar hidangan moden ini bermatlamat untuk menjadikan makanan Malaysia diakses dengan lebih mudah oleh semua orang.

“Buku ini sangat istimewa buat saya kerana ia merupakan kompilasi hidangan kegemaran saya, dibuat dengan cepat dan mudah dengan menggunakan Thermomix. Beberapa hidangan kegemaran saya yang wajib dicuba termasuklah Murtabak Lasagna, Ayam Rose, Sup Kupang Safron, Rendang Daging dan banyak lagi.

“Ini merupakan ‘first baby’ saya selepas hampir 13 tahun saya melibatkan diri dalam bidang masakan dan saya amat berbangga dengan kelahiran ‘baby’ ini. Penantian saya untuk terbitkan buku berbaloi kerana semua resipi ini merupakan antara menu istimewa keluarga saya yang saya mahu peminat sendiri cuba dan rasakan kemeriahan rasa yang saya masukkan dalam resipi-resipi yang dikongsi.

“Saya ambil masa yang lama untuk keluar dengan buku ini sebab saya tak nak orang hanya buat buku ini sebagai koleksi mereka di dapur sebaliknya saya nak mereka cuba sendiri menu yang disediakan, sebab itu ia ambil masa yang lama untuk berikan mereka resipi yang mudah dan senang dibuat namun ia tetap mempunyai nilai sentimental buat mereka bila mencubanya nanti,” kata Anis kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis demo masakan bersama Thermomix yang diadakan di Hotel Eastin, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Petah bercakap serta mempunyai rupa paras yang cantik tidak hairanlah chef kecil molek ini turut pernah disapa beberapa produser untuk membintanginya drama terbitan mereka.

Mengulas mengenai tawaran yang diterimanya, Anis berkata, “Orang selalu tanya saya tak nak berlakon ke, bukan apa saya cuma tak tahu adakah saya mempunyai bakat berlakon itu atau tidak. Niat saya masuk industri memang untuk ajar orang memasak.”

“Saya sangat cintakan dunia masakan, kalau saya stress, saya masak, kalau saya happy pun saya masak. Perkara itu yang buat saya nak share dengan orang ramai.

“Sebelum ini ada juga orang bertanya dengan saya, yang saya dah lama dalam industri tapi tiada pengikut berjuta di laman sosial. Saya memang tidak kisah mengenai hal itu sebab saya bukan penyanyi atau pelakon. Saya bukan nak kejar populariti, tapi Alhamdulillah kalau saya popular itu bermakna saya dapat mengajar ramai orang lagi (dengan resipi masakan).

“Kalau mereka ikut resipi saya tapi tak jadi pengikut saya kat Instagram atau mana-mana medium media sosial, tidak mengapa.. sekurang-kurangnya saya dapat mengajar orang (memasak),” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button