
3 Dongeng Rakyat Digabungkan Dalam Filem Televisyen Suatukala
Berdasarkan kajian daripada pelajar sekolah rendah, Astro mengambil inisiatif menerbitkan filem televisyen (FTV) Suatukala, yang memaparkan tiga cerita dongeng masyarakat nusantara iaitu Badang, Merah Putih dan Malin Kundang.
Menurut Naib Presiden Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, tujuan filem cereka dongeng itu dihasilkan adalah bagi memberikan pendedahan kepada kanak-kanak yang mana kebanyakan mereka kurang mengenali tiga kisah tersebut.
“Menerusi kajian yang pihak kami lakukan, tiga cerita ini kurang dikenali oleh pelajar sekolah rendah, jadi ambil ambil pendekatan menerbitkan filem televisyen ini untuk diberikan pendedahan kepada mereka.
“Selain sarat dengan nilai positif dan kekeluargaan, Suatukala juga kami selitkan dengan elemen moden agar ia kelihatan relevan dengan peredaran zaman,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pra-tonton Suatukala di TGV Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Suatukala dibintangi barisan pelakon seperti Kamal Adli, Dynas Mokhtar, Sweet Qismina, Amir Raja Lawak, Sharifah Shahirah, Liza Othman, Rykal Iskandar, Wafiy Ilhan, Harith Haziq, Qistana Raisah, Firdaus Ghufran dan Arel Azimi.
Suatukala bakal menemui penonton bermula 15 Mac ini di Astro First Eksklusif di saluran 480 dengan bayaran RM15.90 untuk tempoh 48 jam tayangan.
Suatukala membariskan tiga cerita pendek yang menampilkan tiga pengarah serta syarikat produksi yang berbeza.
“Kami buat kelainan dengan menggunakan khidmat tiga pengarah berlainan bagi memberikan sentuhan berbeza untuk setiap cerita.
“Penonton bakal melihat gaya pengarahan, jalan cerita dan struktur plot yang pelbagai dalam satu latar atau tema yang sama,” katanya.
Untuk cerita Badang ia diarahkan Nik Amir Mustapha, Merah Putih oleh Shamyl Othman dan Malin Kundang diarahkan oleh Edison Cheam. – KopiPlanet.com