• FOLLOW US
Event, Hiburan

7,000 Peminat Banjiri Konsert Dewa 19, Dul Jaelani Jadi Tumpuan

Konsert Reunion Dewa 19 feat Ari Lasso & Once Mekel Live in KL berjaya mencatatkan kehadiran lebih 7,000 peminat setia mereka dalam konsert yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam malam Sabtu.

Walaupun tanpa kehadiran pengasasnya, Ahmad Dhani yang kini dipenjarakan 18 bulan di Jakarta, Indonesia, konsert itu tetap berlangsung meriah dengan sorakan peminat tegar mereka yang digelar Baladewa.

Kehadiran anak ketiga Dhani iaitu Dul Jaelani, 18, yang menggantikan posisinya sebagai pemain keyboard ternyata menjadi tumpuan pada konsert tersebut.

Ketika Ari Lasso menyampaikan lagu tribute kepada Dhani, Dul tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata saat klip video pesanan daripada bapanya dimainkan di layar skrin gergasi.

Menerusi video itu, Dhani memohon peminat agar terus mendoakan dia kuat dalam menghadapi segala dugaan yang dilaluinya.

“Kepada semua Baladewa, saya memohon agar dapat mendoakan saya dan berharap saya dapat kembali bersama yang lain,” katanya.

Konsert yang bermula tepat jam 8.40 malam itu dibuka tirainya dengan persembahan ‘opening act’, kumpulan Andra & The Backbone yang memainkan sembilan lagu popular mereka termasuk Sempurna dan Main Hati.

Selesai Andra & The Backbone membuat persembahan, konsert diteruskan dengan segmen pertama bersama Ari Lasso.

Ari Lasso menyanyikan 10 buah lagu seperti Satu Hati, Restoe Bumi, Manusia Biasa, Takkan Ada Cinta dan Persembahan Dari Syurga.

Kerancakan konsert kemudiannya diteruskan dengan kemunculan Once Mekel yang terus menggamatkan suasana di stadium dengan lagu Panggeran Cinta.

Baladewa turut dilihat ‘sing a long’ lagu-lagu hits seperti Pupus, Dewi, Arjuna dan Angin sehingga bergema satu stadium.

 

Menutup persembahan, Once sekali lagi menjemput Ari Lasso muncul di pentas untuk berduet empat lagu tambahan, Roman Picisan, Kangen, Kamulah Satu-Satunya dan Separuh Nafas. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend