
Kedatangan kumpulan dari United Kingdom, Blue ke Kuala Lumpur semalam ternyata meninggalkan memori manis buat peminat setia kumpulan boyband tersebut.
Sorakan 3,000 peminat menghangatkan lokasi konsert yang berlangsung di Dewan Wawasan, Menara PGRM Cheras, Kuala Lumpur.
Pentas dibuka tepat jam 8.30 malam dengan persembahan Opening Act daripada DJ Jakeman dan Kidd Santhe yang bersiaran selama satu jam.
Jakeman dan Kidd Santhe memainkan seleksi lagu-lagu hits artis popular Barat sezaman dengan Blue seperti Britney Spears, Backstreet Boys, The Hanson, Spice Girls dan N’Sync bagi menghangatkan lagi adrenalin peminat yang sudah tidak sabar menantikan aksi Lee Ryan, Duncan James, Simon Webbe dan Anthony Costa.
Tepat jam 9.30 malam, pentas digelapkan bagi menambahkan elemen kejutan sebelum keempat-empat jejaka itu tampil dengan lagu pembukaan, Sorry Seems To Be The Hardest Word.
Kerancakan konsert kemudian diteruskan dengan lagu Bubblin dan Fly By sebelum Simon menuturkan kata-kata penghargaan buat peminat yang turun pada persembahan mereka kali ini.
“Terima kasih kepada peminat di Malaysia. Kami sangat berbesar hati diberi sekali lagi kesempatan menghiburkan anda di sini.
“Sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan kalian sejak dahulu lagi merupakan sebab kami masih lagi berdiri di sini,” kata Simon.
Sorakan peminat terus bergema apabila mereka kemudiannya mempersembahkan lagu Too Close, If You Come Back dan Hurt Lovers.
Sebelum diteruskan dengan seleksi lagu-lagu popular mereka, Lee pula sempat berkongsi cerita mengenai Malaysia yang merupakan sebuah negara yang cukup dekat di hatinya.
“Kalau anda semua nak tahu, saya mencacah tatu pertama ketika berkunjung ke Malaysia beberapa tahun lalu.
“Anda semua merupakan peminat terbaik yang kami pernah ada. Terima kasih di atas sambutan mesra yang diberikan terhadap kami,” katanya.
Blue selepas itu tampil dengan baki daripada 17 lagu yang dinyanyikan mereka pada malam itu seperti Paradise, Flexin, Guilty, We’ve Got Tonight, Curtain Falls, Breathe Easy, One Love, Best In Me dan menutup persembahan dengan lagu yang memperkenalkan mereka di seluruh dunia iaitu All Rise.
Konsert Blue Live in KL ini dianjurkan KC & Friends dengan kerjasama Terry And The Cuz.
Antara selebriti tempatan yang turut berhibur pada konsert itu seperti Izara Aishah, Farah Nabilah dan Ezzaty Abdullah.
Kali terakhir Blue menghiburkan peminat di sini ialah pada tahun 2004.
Blue sebelum ini mengambil keputusan untuk merehatkan diri pada 2005 sebelum kembali mewarnai semula dunia hiburan pada 2011. – KopiPlanet.com