
Permintaan Tinggi, Haiza Terus Setia Dengan Lagu Dangdut
Penyanyi dan penyampai radio Kool FM, Haiza mengakui masih kekal dengan genre dangdut berdasarkan permintaan tinggi ketika diundang membuat persembahan.
Ujar Haiza, sebelum ini dia pernah merakamkan lagu berentak pop balada, namun ia kurang mendapat sambutan pendengar.
“Nama saya pun memang dah dikenali dengan lagu dangdut dan itulah genre yang selalu mendapat permintaan kalau membuat persembahan.
“Bukan tak pernah cuba genre lain, cuma lagu berkenaan pun tidak diketahui ramai. Itu yang menyebabkan saya kembali merakamkan lagu dangdut,” jelasnya.
Haiza berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran lagu dangdut Young And Gentelman yang berlangsung di Red Box Garden hari ini.
Sebelum ini, Haiza pernah merakamkan lagu berentak pop balada berjudul Tentang Cinta pada tahun 2016 hasil ciptaan Asian.
Bercerita mengenai single terbaharunya ciptaan Aizat Amdan dan Mel Ramlan itu, Haiza memberitahu ia bukanlah petanda untuk dia meninggalkan dunia penyiaran radio.
Malah, dia sendiri menyedari lagunya sukar untuk diputarkan di stesen radio lain memandangkan statusnya sebagai seorang penyampai radio.
“Apabila merakamkan lagu baharu, bukan bermakna saya nak berhenti jadi penyampai radio, lagipun saya baru sahaja menyambung kontrak selama tiga tahun dengan Kool FM.
“Kalau saya berhenti jadi penyampai radio pun, tiada jaminan untuk lagu-lagu saya akan diputarkan di stesen-stesen radio ya yang lain,” ujarnya.
Jelasnya, keputusan untuk menghasilkan lagu baharu adalah disebabkan jiwanya yang masih lagi mendalam terhadap bidang nyanyian. – KopiPlanet.com