Cerita ArtisHiburan

Bakal Bergelar Penyanyi, Lagu Haneesya Hanee Tidak Perli Mana-Mana Pihak

Bakal tampil dengan sebuah lagu duet berkolaborasi dengan sebuah band tempatan, pelakon dan model Haneesya Hanee berkata dia bersedia untuk meneroka bidang baharu bagi menimba pengalaman.

Mula menceburi bidang seni lakonan selepas menyertai pertandingan pencarian Dewi Remaja, Haneesya, 19, mengharapkan percubaannya untuk bergelar penyanyi mendapat respon positif daripada peminatnya.

“Saya akan tampil dengan lagu duet kolaborasi bersama sebuah band. Buat masa ini, saya tidak boleh kongsikan nama band ini, tunggu sahaja single kami yang akan dilancarkan dalam masa terdekat ini.

“Pada awalnya memang saya tidak yakin untuk menyanyi, namun kumpulan ini beri galakan. Malah, mereka kata lagu ini dihasilkan kerana mereka mendapat inspirasi daripada kisah jatuh bangun saya dalam industri.

“Yang penting lagu yang bakal keluar ini, kami tidak memerli mana-mana pihak termasuk satu kumpulan lain. Bagi saya dalam mencari rezeki, kita janganlah gunakan kejatuhan seseorang sebagai sumber rezeki kita sebab tidak tahu keberkatan rezeki kita jika kita berbuat demikian,” katanya.

Haneesya berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan barisan peserta Miss Pink Lady Asia (MPLA) musim kedua yang berlangsung di Forest Valley Hall, Cheras, baru-baru ini.

Menerusi pertandingan pencarian model profesional dari lapan buah negara Asia itu, Haneesya akan bersaing dengan peserta dari Indonesia, Thailand, Myammar, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan India.

Mengulas mengenai penyertaannya itu, Haneesya berkata, pada mulanya dia sedikit keberatan untuk menyertai program ini memandangkan formatnya hampir sama dengan program realiti yang pernah disertainya sebelum ini.

“Mungkin ini satu cabaran untuk diri saya sertai semula dan memaafkan diri atas apa yang terjadi sebelum ini. Saya berharap tahun 2020 adalah tahun yang terbaik buat saya. Lagipun semua orang tahu saya memulakan karier sebagai model.

“Tidak mengenepikan minat dalam bidang lakonan, namun tidak dinafikan ‘passion’ saya lebih ke arah modelling  dan MPLA ini konsepnya lebih kurang America’s Next Top Model. Cabarannya lebih hebat dan ke arah bidang modelling yang profesional dan sebab itu jugalah saya berani untuk menyertainya,” ujarnya.

Juara MPLA musim kedua bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000, naib juara sebanyak RM8,000 dan tempat ketiga (RM5,000).

Selain Haneesya, dua lagi model iaitu Adeline Lim dan Elysha Arnold turut mewakili Malaysia. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Haneesya Hanee

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button