
Mula Tunjuk Minat, Siti Nordiana Beri Galakan Anak Jadi Penyanyi
Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana tidak menghalang sekiranya anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 12, ingin mengikut jejak langkahnya bergelar penyanyi.
Menurut Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, 36, anaknya sudah menunjukkkan minat terhadap bidang nyanyian dan sentiasa memberikan galakan untuk Rayyan berani ke hadapan dengan bakat yang dimilikinya itu.
“Rayyan memang suka menyanyi tapi dia sedikit pemalu dan disebabkan itu saya sering beri galakan untuk dia menyanyi.
“Saya tengok dia sering menyanyi dan ada bakat dalam bidang nyanyian dan saya tidak akan menghalang langsung sekiranya dia ingin terjun dalam bidang yang sama seperti ibunya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pengumuman Top 5 Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) yang berlangsung di Envi Skydining, Menara TA One, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Rayyan merupakan anak hasil perkongsian hidup Nana bersama bekas arwah suami, pelakon Mohd Faizal Yusof yang meninggal dunia pada 1 Januari 2011 akibat serangan jantung.
Sementara itu, mengulas mengenai pencalonannya dalam empat kategori AME2020, Nana berkata dia tidak sangka akan menerima pencalonan sebanyak itu namun berterima kasih kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan terhadap karier seninya.
“Saya tak sangka akan tercalon dalam empat kategori AME2020, terharu sebab peminat masih menyayangi diri saya. Memang dari awal pembabitan saya dalam bidang seni, memang sudah ada yang setia mengikuti perkembangan kerjaya saya dan Alhamdulillah lepas sertai GegarVaganza musim kedua, saya dapat lebih ramai lagi peminat baharu.
“Saya sentiasa hargai sokongan mereka dan ada di antaranya yang beritahu saya, mereka idolakan saya sebab mereka kata saya seorang yang kuat dan tabah malah ada yang minta tips daripada saya.
“Saya memang jaga hati peminat dan mereka sentiasa di hati saya. Peminat serta pihak media yang banyak membantu dalam perjalanan seni saya selama ini,” katanya lagi.
Menerusi AME2020, Nana tercalon dalam kategori Penyanyi MeleTOP, Lagu MeleTOP, Artis Versatil MeleTOP dan Grup/Duo MeleTOP bersama Khai Bahar.
AME2020 yang bertemakan Yang Epik, Yang Legend akan dihoskan Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Alif Satar. Anugerah ini akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada 12 April ini. – KopiPlanet.com