Cerita ArtisHiburan

Pernah Rasa Karier Akan Berkubur, Haqiem Rusli Tekad Terus Bangkit

Pernah berhadapan dengan pelbagai kontroversi, penyanyi Haqiem Rusli, 22, bersyukur kemunculannya masih lagi diterima baik oleh peminatnya.

Pemilik nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli ini berkata, dia pernah berasa karier seninya akan berkubur di sebalik cerita hangat yang melanda dirinya sebelum ini termasuk kisah kemurungannya.

“Saya dah belajar daripada kesilapan lalu. Isu-isu lepas yang terjadi pada diri saya telah banyak membentuk siapa saya pada hari ini. Secara jujurnya, saya pernah merasakan karier seni akan terkubur bila terpalit kisah kontroversi.

“Namun, saya bersyukur orang dah boleh terima saya balik dan beri peluang kedua. Itu yang menyebabkan saya bertekad untuk terus bangkit atas sokongan peminat yang masih menerima saya,” katanya.

Haqiem ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Ikon Selebriti Jelajah Agroprenuer Muda 2020 (JAM 2020) yang diadakan di Wisma Tani, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Presint 4, Putrajaya semalam.

Haqiem turut menambah, dia kini bersikap lebih matang dalam menjalani kehidupannya dengan mengelak daripada berkawan dengan individu yang memberikan aura negatif terhadapnya.

“Sekarang ini saya hanya nak berfikiran positif dan saya tidak lagi berkawan dengan individu-individu yang beri aura negatif.

“Ramai juga rakan-rakan dalam industri yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat kepada saya, orang sebegitu memang sangat saya hormati,” ujarnya lagi.

Muncul dengan single terbaharu berjudul Bangkit, menurut Haqiem lagu itu diinspirasikan berdasarkan kisahnya sebelum ini yang sering dikecam di kalangan rakan artis dan warga net.

“Sekarang saya nak fokus buat lagu-lagu yang beri mesej nasihat dan bermanfaat kepada sesiapa yang mendengarnya.

“Sebagai contoh lagu Bangkit memang mengisahkan tentang diri saya yang sebelum ini sering dikecam. Memang saya akui, kita tak boleh nak tutup mulut netizen.

“Cuma saya nak beri nasihat buat rakan-rakan artis, sekiranya ada di kalangan kita yang mengalami masalah, janganlah kita ‘bash’ mereka pula. Tak kisahlah kalau mereka salah atau tidak, saya langsung tidak pernah muat naik status perli-memerli (mana-mana artis).

“Bila seseorang ditindas kita kena bagi semangat. Bukan nak kata saya baik, tetapi bila kawan kena kecam kita kena tolong. Kita sama-sama cari makan, buat apa nak saling mendengki,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button