
Drama berjudul Pesan Dari Tuhan telah dinobatkan sebagai Drama Terbaik dalam acara Anugerah Skrin 2017 (ASK 2017) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.
Drama yang diarahkan oleh Eirma Fatima itu berjaya mengatasi beberapa drama lain yang turut tercalon, antaranya seperti Kapcai Ayah, Terima Kasih Ramadan, Mak Tak Bagi Balik dan Menantu Material.
Selain dinobatkan Drama Terbaik ASK 2017, drama yang diterbitkan oleh Rumah Karya Cipta Sdn. Bhd. itu turut memenangi beberapa kategori yang lain iaitu Pengarah Terbaik (Eirma Fatima) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Remy Ishak).
Sementara itu, filem Hanyut yang diarahkan oleh U Wei Hj Saari pula dinobatkan sebagai Filem Terbaik ASK 2017 dengan mengatasi filem-filem lain yang turut tercalon seperti Rock Bro, Interchange, Adiwiraku dan Desolasi.
Di samping terpilih sebagai Filem Terbaik ASK 2017, Hanyut turut memenangi empat lagi kategori seperti Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Khalid Salleh), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Diana Danielle), Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik (U Wei Hj Saari).

Untuk acara ASK 2017, antara barisan artis yang menjadi penyampai anugerah adalah Zizan Razak, Saiful Apek, Raja Ilya, Rozita Che Wan, Zul Ariffin dan Datuk Yusof Haslam.
Selain itu, beberapa barisan artis juga turut membuat persembahan iaitu. Salam Musik, Stacy, Nora, Ayda Jebat, Hael Husaini, Black dan Jaclyn Victor. – KopiPlanet.com
Senarai Pemenang ASK 2017
*Kategori Drama
Drama Terbaik – Pesan Dari Tuhan (Rumah Karya Cipta Sdn. Bhd.)
Pelakon Lelaki Terbaik – Hasnul Rahmat (Kapcai Ayah)
Pelakon Wanita Terbaik – Fasha Sandha (Terima Kasih Ramadan)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Remy Ishak (Pesan Dari Tuhan)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Azizah Mahzan (Terima Kasih Ramadan)
Pengarah Terbaik – Eirma Fatima (Pesan Dari Tuhan)
Drama Rantaian Terbaik – My Sweet Lavender (Orangetree Production)
*Kategori Filem
Filem Terbaik – Hanyut (Tanah Licin Sdn. Bhd.)
Pelakon Lelaki Terbaik – Khir Rahman (Rock Bro)
Pelakon Wanita Terbaik – Sangeetha Khrisnasamy (Adiwiraku)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Khalid Salleh (Hanyut)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Diana Danielle (Hanyut)
Lakon Layar Terbaik – U Wei Hj Saari (Hanyut)
Pengarah Terbaik – U Wei Hj Saari (Hanyut)
Apa Kata Pemenang
“Saya tak sangka menang lagi lepas FFM. Lagi-lagi ada idola saya, Sharifah Amani dalam pencalonan yang sama. Apapun saya gembira orang dapat menerima mesej baik yang terkandung dalam filem Adiwiraku.” – Sangeetha Khrisnasamy (Pelakon Wanita Terbaik Filem – Adiwiraku)
“Tak sangka langsung menang sebab watak saya bawa ini pernah tercalon dalam beberapa anugerah. Tapi secara peribadi saya happy dengan kemenangan ini. Bukan maksud kata saya terbaik, tapi gembira sebab ini adalah pencapaian peribadi terbaik pernah saya menang.” – Khir Rahman (Pelakon Lelaki Terbaik Filem – Rock Bro)
“Menang anugerah terbaik membuatkan saya harus bekerja lebih keras lagi selepas ini. Itu yang ayah saya pesan. Sebagai pelakon kami tak mengejar trofi, sebaliknya hanya melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Apa pun saya berterima kasih atas anugerah ini.” – Hasnul Rahmat (Pelakon Lelaki Terbaik Drama – Kapcai Ayah)
“Saya tak jangka langsung akan menang sebab tercalon sekali dengan idola saya iaitu Vanidah Imran dan Ellie Suriaty. Tapi saya bersyukur dengan kemenangan ini kerana ia merupakan trofi pertama saya terima daripada penilaian juri profesional.” – Fasha Sandha (Pelakon Wanita Terbaik Drama – Terima Kasih Ramadan)



