
Paru-Paru Rosak 75 Peratus, Fazli Zainal Pernah Terfikir Akan Meninggal Dunia Dalam Tempoh Beberapa Jam Selepas Dapat Tahu Pemergian Arwah Siti Sarah
Penyanyi popular Fazil Zainal meluahkan rasa syukurnya apabila berpeluang untuk hidup, meskipun 75 peratus paru-parunya sudah rosak akibat Covid-19.
Fazil berkata, ketika ini dia merasakan bahawa Allah telah memberikannya peluang kedua untuk meneruskan kehidupan setelah apa yang dilaluinya.
“Terus terang bila saya dalam wad, orang tag saya dekat Instagram dan kemudian terjaga serta mendapat tahu arwah Siti Sarah meninggal dunia.
“Saya pernah terfikir giliran saya hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk meninggal dunia. Ketika itu keadaan saya agak kronik sehingga terpaksa tertiarap selepas mendapar khabar pemergian arwah,” ujarnya.
Fazil berkata, doktor memberitahu bahawa ada pesakit Covid-19 yang mengalami kerosakan paru-paru 25 peratus, 50 peratus, 75 peratus dan 100 peratus.
Bagaimanapun, jelasnya dia sendiri tidak menyangka bahawa dia berada dalam kategori 75 peratus, meskipun pada mulanya dia tidak terfikir akan melalui keadaan yang teruk.
“Selain memikirkan seperti tiada harapan untuk hidup, ada satu je perkara yang saya fikir. Saya fikir lepas tak seksa kubur saya. Itu je yang saya fikir dan memang sangat takut.
“Pada masa itu saya juga mahu mohon maaf kepada semua pihak dan akan memaafkan semua orang sekiranya ada salah dan silap,” ujarnya yang dijangka akan kembali pulih dalam tempoh antara tiga enam bulan.
Dalam pada itu, Fazli yang baru sahaja keluar dari hospital setelah menjalani rawatan selama 29 hari berkesempatan untuk melancarkan single baharunya iaitu Mantan Yang Terluka.
Jelas Fazli, ia merupakan kali pertama dia bekerjasama dengan Ajai setelah menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan komposer berkenaan sejak sekian lama.
“Saya harus terus berjuang dan virus ini tidak akan menyekat hidup yang telah saya bina dan cinta saya terhadap nyanyian,” ujarnya.
Lagu Mantan Yang Terluka hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh Fedtri Yahya ini merupakan satu projek di bawah ISK Muzik (Inisiatif Seni Kreatif). Rakaman lagu telah dijalankan sekitar Julai 2020 dan klip videonya pula dirakamkan pada bulan Oktober 2020 di sebuah studio di Petaling Jaya.
ISK Muzik dengan kerjasama Universal Music Malaysia (selaku pengedar digital) bakal mengedarkan lagu dan klip video rasmi ‘Mantan Yang Terluka’ ini pada 10hb September, 2021 di seluruh digital platform termasuk YouTube. – KopiPlanet.com