
Fattah Amin Buat Kejutan Lamar Amira Othman… Bakal Nikah Pada 14 September Ini
Teka-teki mengenai hubungan antara pelakon Fattah Amin dan Amira Othman akhirnya terjawab apabila pasangan berkenaan bakal melangsungkan perkahwinan.
Perkara tersebut terungkai ketika Fattah membuat kejutan istimewa dengan melamar Amira di majlis pelancaran single terbaru Amira dan adiknya, Irfan Haris berjudul Rasa & Takdir.
“Mesti ramai yang pelik saya ada di majlis pelancaran Rasa & Takdir. Sebenarnya hari ini saya dan Amira, ada berita baik untuk diumumkan yang nak kongsi dengan semua.
“Seperti semua orang tahu kami adalah rakan sekerja dan selepas beberapa lama berkenalan, kami insyaAllah ingin bertukar status dari rakan sekerja kepada rakan serumah,” katanya
Pada majlis berkenaan, pelakon berkenaan turut memberikan kunci kepada Amira sebagai simbolik.
Pasangan itu turut mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga pada 14 September nanti bersempena ulang tahun kelahiran Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35.
Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama aktres Fazura pada 27 November 2017 dan disahkan bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun.
Sementara itu, mengenai lagu Rasa & Takdir’, ia bukan sekadar sebuah lagu pop balada moden, tetapi juga sarat dengan mesej yang menyentuh tentang kehidupan.
“Lagu ini menggambarkan bagaimana manusia sering berdoa agar diberikan jalan terbaik, walaupun kadang-kadang jawapan yang hadir tidak dijangka.
“Ia mengingatkan kita bahawa setiap perjalanan hidup sudah tertulis dengan sempurna oleh Tuhan, dan setiap rasa yang dilalui adalah sebahagian daripada takdir,” ujarnya. – KopiPlanet.com