Cerita ArtisHiburan

Jayakan Iklan Raya PERKESO, Buka Mata Ezzaty Abdullah Tentang Realiti Golongan Pekerja Gig

Berpeluang terbabit dalam menjayakan iklan raya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah membuka mata pelakon Ezzaty Abdullah mengenai realiti golongan pekerja gig yang dilihat kebanyakannya mengabaikan kebajikan diri untuk kelangsungan hidup.

Ezzaty berkata, dengan pembabitannya menerusi iklan berjudul ‘Janji Ibu’ itu juga memberikan perspektif buat dirinya berkenaan dengan kepentingan perlindungan sosial dalam dunia pekerjaan.

“​Saya membawakan watak Mawar, seorang ibu tunggal dan memiliki dua orang anak yang terlalu fokus membantu orang lain sehingga terlupa dirinya sendiri sebenarnya paling memerlukan bantuan.

“Sebenarnya saya pernah ada pengalaman melihat seorang rider kemalangan dan terfikir dia pastinya sangat perlukan bantuan dalam apabila berhadapan keadaan sedemikian.

“Jadi, saya berasakan kalau rider berkenaan ada caruman seperti PERKESO ini pasti dapat meringankan sedikit bebannya,” katanya.

Ezzaty berkata demikian ketika ditemui semasa sesi ramah mesra bersama media sewaktu menjalani penggambaran iklan berkenaan baru-baru ini.

Selain Ezzaty, iklan Janji Ibu itu turut menampilkan gandingan pelakon hebat iaitu Syafie Naswip bersama pelakon muda, Umar Shakur.

Menerusi iklan tersebut, ia membawakan kelainan apabila mengangkat martabat golongan pekerja gig dan wanita sebagai tunjang utama keluarga.

Dalam pada itu, pelakon berkenaan juga menegaskan tentang kepentingan caruman PERKESO yang seharusnya menjadi tanggungjawab majikan terhadap golongan pekerja.

“Macam saya sendiri yang memiliki perniagaan spa, saya juga mencarumkan PERKESO buat pekerja-pekerja saya. Malah, saya rasa sebagai seorang artis pun perlu buat caruman juga,” jelasnya.

Untuk iklan ‘Janji Ibu’, PERKESO, membawakan pendekatan penceritaan yang lebih dekat dengan nadi kehidupan masyarakat. Iklan ini menekankan kepentingan perlindungan sosial dalam menjamin keutuhan sesebuah institusi keluarga.
 
Melalui penghasilan karya ini, PERKESO ingin menyampaikan mesej jelas bahawa keselamatan sosial adalah satu keperluan asas yang menjamin kelangsungan hidup pekerja dan keluarga mereka.

Nantikan kisah penuh emosi iklan raya PERKESO yang akan menemui penonton Mac ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button