Rancangan TVTV

TV AlHijrah Tampilkan Program Ramadan & Syawal Bertemakan ‘Suburkan Iman, Sebarkan Ihsan’

TV AlHijrah, stesen penyiaran Islam negara yang konsisten mengangkat agenda dakwah, ilmu dan pembangunan ummah, menampilkan rangkaian program khas sepanjang Ramadan dan Syawal 1447H/2026M yang dirangka secara menyeluruh, berimbang serta berteraskan nilai keimanan dan ihsan.

Dengan membawa tema “Suburkan Iman, Sebarkan Ihsan”, kandungan yang disusun bukan sahaja bertujuan mengimarahkan ibadah, malah memperkukuh institusi keluarga, menyemai keprihatinan sosial serta menyatukan masyarakat. Pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan masyarakat berteraskan nilai kemanusiaan, hormat, ihsan dan kesejahteraan bersama.

Rangkaian program Ramadan 1447H disusun sebagai satu ekosistem penyiaran yang menjadikan Ramadan sebagai madrasah tarbiah, membimbing penonton melalui proses pengukuhan iman, pembaikan akhlak dan penyucian jiwa. Secara keseluruhan, lebih 20 program khas merangkumi ratusan jam siaran disediakan sepanjang Ramadan dan Syawal, menjadikan TV AlHijrah antara platform penyiaran Islam paling komprehensif pada musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, perancangan kandungan Ramadan dilakukan lebih awal dengan analisis menyeluruh bagi memastikan setiap program kekal relevan, segar dan tidak berulang.

“Setiap tahun kita cuba tampilkan kelainan dari segi pendekatan dan susunan program. Sejurus selesai Ramadan tahun sebelumnya, pasukan kami terus membuat analisis apa yang berkesan kita perkasakan, yang kurang memberi impak kita perbaiki atau gantikan. Ramadan mempunyai corak tontonan yang berbeza, jadi strategi penyiarannya juga tidak boleh sama seperti bulan biasa,” katanya.

Menurut beliau, struktur kandungan Ramadan disusun mengikut rentak kehidupan umat Islam sepanjang bulan ibadah daripada sahur, waktu bekerja, persiapan berbuka hingga ke malam pengisian rohani dengan teras ilmu berasaskan Al-Quran dan hadis.

“Asas kandungan kita adalah ilmu yang berteraskan al-Quran dan hadis. Kita bayangkan TV AlHijrah itu ‘bernafas’ seperti seorang insan berpuasa pagi, tengah hari, petang dan malam semuanya ada pengisian yang sesuai dengan emosi dan keperluan rohani ketika itu,” jelasnya.

Antara program teras Ramadan adalah Islah Ramadan, yang menyampaikan refleksi harian bagi menyuburkan kefahaman dan penghayatan ibadah, serta Tadarus On The Go yang mengajak masyarakat mengimarahkan malam Ramadan dengan bacaan Al-Quran secara konsisten dan mudah diakses. Usaha membudayakan Al-Quran turut diperkukuh menerusi Quran Challenge, yang mencetuskan minat terhadap tajwid, hafazan dan taranum sebagai asas pembinaan masyarakat Qurani.

Penghayatan 10 malam terakhir Ramadan diperkasakan melalui Malam Seribu Bulan, yang menekankan munajat dan muhasabah rohani, manakala Jalan Taubat membimbing penonton memahami makna taubat yang sebenar dengan penekanan kepada amalan pengganti yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tradisi siaran khas Khatam Ramadan diteruskan sebagai simbol kesatuan ummah menerusi bacaan Al-Quran secara langsung selama 12 jam bersama qari, qariah dan personaliti tanah air.

Dimensi dakwah dan keprihatinan sosial turut menjadi tunjang penyiaran Ramadan TV AlHijrah menerusi program seperti Assalamualaikum Sahur dan Assalamualaikum Asar, yang menemani umat Islam pada waktu-waktu utama Ramadan dengan pengisian ibadah, kesedaran kebajikan serta semangat berkongsi rezeki.

Nilai ihsan dizahirkan secara praktikal melalui Hijrah Prihatin Bubur Lambuk dan program berjenama Ehsan, yang menekankan kebersamaan serta tanggungjawab membantu golongan memerlukan, selari dengan semangat membantu dan memastikan tiada golongan tercicir sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Elemen penceritaan dan refleksi kehidupan masyarakat diperkaya melalui Ini Kisahku, Peristiwa Penghuni Neraka, serta drama bersiri Luka Dalam Rindu, yang mengangkat tema keinsafan, kesabaran dan tanggungjawab kekeluargaan sebagai cerminan realiti masyarakat. Pengisian santai yang membina turut disajikan menerusi Dapur Nenek, yang menghidupkan nostalgia masakan warisan sebagai medium merapatkan hubungan keluarga menjelang berbuka puasa.

Keunikan Ramadan 2026 turut diserlahkan melalui kerjasama Rare TV dan TV AlHijrah dalam Rare AlHijrah: Kembara Wahyu, yang membawa penonton menelusuri perjalanan agung Nabi Musa AS di Mesir.

Seiring perubahan landskap media dan peralihan audiens ke platform digital, TV AlHijrah turut memperkenalkan inisiatif digital berskala besar menerusi platform Langit Dakwah, yang memfokuskan kandungan dakwah eksklusif untuk media sosial dan platform digital.

“Kita sedar realiti hari ini khususnya golongan muda lebih dahulu mencari maklumat dakwah di platform digital berbanding televisyen. Sebab itu kita lancarkan Langit Dakwah sebagai platform digital khusus bukan sekadar potongan program TV, tetapi kandungan yang memang dibangunkan khusus untuk Facebook, TikTok, Instagram, YouTube dan platform digital lain,” kata Namanzee.

Platform itu akan dilancarkan secara besar-besaran sepanjang Ramadan dengan format kandungan ringkas, padat dan mesra digital seperti segmen dakwah satu hingga tiga minit menerusi konsep Ramadan Quick Drop.

“Pendekatannya lebih ringkas dan terus kepada mesej gaya ‘quick dakwah’ yang dekat dengan budaya tontonan digital masa kini. Kita mahu dakwah turut hidup dan berkembang dalam ekosistem media sosial,” tambahnya.

Mengulas sasaran capaian, beliau berkata TV AlHijrah menyasarkan peningkatan sekurang-kurangnya 10 peratus prestasi tontonan dan capaian keseluruhan merentasi platform TV dan digital, selepas mencatat kedudukan Top 3 tontonan mingguan pada awal Ramadan tahun lalu.

“Kini ukuran kejayaan bukan lagi TV semata-mata. Kita nilai secara menyeluruh merangkumi TV, aplikasi dan semua platform digital. Aplikasi AlHijrah Plus kini mencecah sekitar 270,000 muat turun, dan tahun ini kita tambah pelaburan khusus untuk kandungan digital,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan pendekatan editorial TV AlHijrah kekal berteraskan etika penyiaran, nilai positif dan mesej membina.

“Sebagai penyiar, kita berpegang kepada etika penyiaran. Kita memberi fokus kepada mesej yang membina, nilai ihsan dan keharmonian masyarakat. Kita tidak mengejar sensasi semata-mata, sebaliknya kandungan yang memberi manfaat dan membentuk insan yang lebih baik,” katanya.

Memasuki Syawal 1447H, TV AlHijrah meneruskan kesinambungan tema dengan penekanan kepada penyatuan dan kemaafan melalui pendekatan “Eratkan Kasih, Bertaut Sayang.” Program khas Salam Lebaran Raya membawakan ucapan Aidilfitri dari perantauan yang diserikan dengan takbir dan lagu-lagu raya sebagai simbol kesatuan hati umat Islam.

Pengisian Syawal diperkaya dengan telefilem istimewa seperti Menantu Datuk Nikah Kahwin dan Surat Dari Syurga, yang mengangkat kisah kekeluargaan, penerimaan dan keinsafan. Program Jom Dengar Cerita Raya pula mendidik adab berhari raya dalam kalangan kanak-kanak, manakala Ini Kisahku Raya mengingatkan penonton tentang makna sebenar sebuah keluarga melalui kisah mereka yang menyambut Syawal dalam keterbatasan tetapi penuh harapan.

Keseluruhan rangkaian program Ramadan dan Syawal 1447H/2026M ini menekankan kesinambungan nilai Ramadan sebagai medan pembinaan iman dan Syawal sebagai ruang penyatuan serta pengukuhan kasih sayang.

Melalui pendekatan penyiaran yang berteraskan dakwah, nilai kemanusiaan dan kesejahteraan sosial, TV AlHijrah kekal komited menjadi medium penyiaran Islam yang berwibawa, relevan dan dekat di hati rakyat.

TV AlHijrah mengajak seluruh umat Islam untuk bersama mengimarahkan siaran khas Ramadan dan Syawal 1447H/2026M serta menjadikan musim ini sebagai ruang memperkukuh iman, menyemai ihsan dan membina ummah yang berilmu, berakhlak serta berkasih sayang. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button