Cerita ArtisHiburan

Zaki Amani Ajak Pendengar Selami Sebuah Perjalanan Cinta Menerusi Single Baharu ‘Akur’

Ada cinta yang berakhir dengan pertengkaran. Ada yang pergi tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal. Dan ada juga cinta yang akhirnya hanya mampu diterima dengan satu kata “Akur”

Menerusi single terbaharunya, “Akur”, Zaki Yamani mengajak pendengar menyelami sebuah perjalanan tentang cinta, perubahan hati dan keberanian menerima sebuah pengakhiran yang tidak pernah diminta.

Bukan sekadar sebuah lagu tentang patah hati, “Akur” membawa persoalan yang mungkin pernah terlintas dalam fikiran sesiapa sahaja yang pernah ditinggalkan; bagaimana seseorang yang pernah begitu dekat, akhirnya boleh menjadi begitu jauh? Dan lebih menyakitkan, apabila hati mula bertanya: “Apa kurang ku di matamu?”

Dicipta oleh Amzar Razqa dan Bunga, dengan lirik hasil tulisan Bunga, Zaki Yamani dan Amzar Razqa, “Akur” tidak memilih untuk menceritakan perpisahan melalui kemarahan atau rasa dendam.

Sebaliknya, lagu ini memilih ketenangan. Tentang seseorang yang masih mempunyai rasa, tetapi akhirnya sedar bahawa tidak semua cinta perlu dipertahankan sehingga kita kehilangan diri sendiri.

AKUR BUKAN BERERTI MENYERAH

Bagi Bunga, perkataan “Akur” menjadi jiwa kepada keseluruhan lagu kerana ia membawa makna yang lebih dalam daripada sekadar menyerah atau melupakan. 

“Dalam lagu ‘Akur’, perkataan ‘akur’ membawa maksud menerima sesuatu keputusan dengan reda, walaupun hati sebenarnya masih terasa berat untuk melepaskan.

“Ada perkara yang kita tahu perlu kita terima, bukan kerana kita sudah tidak sayang, tetapi kerana kita sedar bahawa tidak semua yang kita mahu akan kekal menjadi milik kita, ” jelas Bunga.

Daripada keseluruhan lirik “Akur”, satu baris yang paling dekat dengan hati Bunga adalah: “Kau yang ku rasa sempurna, kau juga yang berubah.” Baris yang ringkas, tetapi membawa satu kenyataan yang barangkali sukar diterima hati manusia boleh berubah.

“Bagi saya, cinta itu tentang dua hati yang memilih untuk bersatu. Tetapi pada masa yang sama, hati manusia juga boleh berubah dalam sekelip mata.

“Seseorang yang pernah kita anggap sempurna boleh berubah, begitu juga perasaan yang pernah kita sangka akan kekal selamanya, ” katanya.

Namun di sebalik rasa kecewa itu, “Akur” tidak mengajak pendengarnya membenci. Sebaliknya, menerusi baris “Biar tenang ku undur”, lagu ini memilih sebuah perpisahan yang masih meninggalkan ruang untuk menghargai segala yang pernah berlaku.

“Bagi saya, rasa hormat. ‘biar tenang ku undur’ menggambarkan satu bentuk perpisahan yang masih ada.

“Ada masanya kita perlu memilih untuk mengundur dengan tenang. Walaupun sakit untuk menerima, kita tidak boleh lupa bahawa orang itu juga pernah membahagiakan kita. 

“Jadi, biarlah yang tinggal selepas kita mengundur hanyalah perasaan dan kenangan yang pernah kita lalui bersama, ” tambah Bunga.

INDAH PADA BUNYINYA, PEDIH PADA RASANYA

Menariknya, kesedihan dalam “Akur” tidak hanya dibawa melalui lirik. Amzar Razqa sengaja membina melodi lagu ini dengan pendekatan yang sedikit berbeza, membawa emosi sedih melalui penggunaan major chord.

Pertembungan antara melodi yang indah dan cerita yang menyakitkan itu menjadi antara karakter utama “Akur”.

“Melodi ‘Akur’ memang saya bina dengan niat untuk memberikan rasa yang lebih sedih, tetapi saya memilih untuk menggunakan major chord.

“Bagi saya, kombinasi itu menghasilkan satu perasaan yang unik, sesuatu yang kedengaran indah, tetapi dalam masa yang sama menyakitkan,” jelas Amzar.

Menurutnya, sejak awal proses penciptaan, dia mahu pendengar bukan sahaja mendengar kisah dalam lagu tersebut, tetapi turut merasakan konflik seseorang yang terpaksa menerima sesuatu yang bertentangan dengan kehendak hatinya.

“Saya mahu pendengar merasakan bagaimana rasanya apabila kita terpaksa akur dengan sesuatu perkara yang sebenarnya kita tidak mahu.

“Kita terpaksa menerima satu keadaan yang mungkin akan sentiasa meninggalkan kesan dalam hidup, walaupun kita tahu kita tidak mampu mengubahnya, ” katanya.

Emosi itu semakin terasa menerusi bahagian bridge, “Bagaimana harus ku cuba lagi untuk kita bersama” seolah-olah menjadi suara terakhir daripada hati yang masih mahu bertahan sebelum akhirnya memilih untuk melepaskan.

Bagi Amzar, mesej di sebalik bahagian tersebut sebenarnya lebih luas daripada sekadar kisah percintaan.

“Jangan pernah berputus asa. Dalam apa juga keadaan, kita perlu belajar untuk bersabar, memaafkan dan berundur dengan cara yang lebih tenang.

“Pada akhirnya, kita hidup di dunia ini bukan kerana manusia lain, tetapi kerana Allah SWT,” katanya.

Amzar turut melihat “Akur” sebagai sebuah karya yang boleh ditafsirkan mengikut pengalaman hidup setiap pendengar.

“Setiap manusia mempunyai tafsiran dan pengalaman yang berbeza. Bagi saya, ‘Akur’ bukan semata-mata tentang perpisahan dengan pasangan. Ia juga boleh membawa maksud akur dengan ketentuan dan perkara yang telah Allah SWT tetapkan untuk kita.

“Kadang-kadang melepaskan bukan bermaksud kita kalah. Sebaliknya, ia adalah cara kita menerima bahawa ada perkara yang memang tidak mampu kita ubah,” jelasnya.

SISI ZAKI YAMANI YANG LEBIH MATANG

Bagi Zaki, cabaran terbesar dalam membawakan “Akur” adalah mencari keseimbangan antara menyampaikan kesedihan dan memastikan setiap emosi yang dilontarkan kekal jujur.

Dia tidak mahu kesedihan dalam lagu ini kedengaran seperti dipaksa. Sebaliknya, Zaki memilih untuk menyampaikan setiap bait dengan lebih terkawal, seolah-olah mewakili seseorang yang sedang cuba menerima kenyataan meskipun hatinya masih belum benar-benar bersedia untuk melepaskan.

“Memang mencabar untuk membawa emosi ‘Akur’ kerana saya tak mahu terlalu memaksa rasa sedih itu. Saya cuba sampaikan dengan sejujur mungkin. 

“Bagi saya, apabila kita benar-benar kecewa, kadang-kadang kita tak perlu pun terlalu menunjukkan kesedihan itu. Ada rasa yang lebih kuat apabila kita pendam dan cuba terima dengan tenang,” kata Zaki.

Antara baris yang cukup kuat dalam lagu ini adalah “Apa kurang ku di matamu?”, sebuah persoalan ringkas yang membawa beban emosi cukup besar.

Bagi Zaki, di sebalik ayat itu sebenarnya tersembunyi satu persoalan yang lebih peribadi, masih tak cukup untuk awak?”

Kenapa saya? Saya rasa ramai pernah berada dalam situasi apabila kita sudah cuba memberikan yang terbaik dalam sesuatu hubungan, tetapi akhirnya kita tetap bukan orang yang dipilih. Masa itu kita mula tertanya-tanya apa yang kurang pada diri kita.

“Sebab itu bagi saya, ‘Akur’ lebih kepada melepaskan bukan kerana kita sudah tidak cinta, tetapi kerana kita sedar kita sudah tidak lagi dipilih. Sampai satu tahap, kita kena belajar menerima walaupun bukan itu pengakhiran yang kita mahukan, ” jelasnya.

Jika perlu menggambarkan keseluruhan perjalanan emosi “Akur” dalam tiga rasa, Zaki memilih keliru, kecewa dan reda.  Tiga rasa itu bergerak seiring dengan perjalanan lagu, bermula dengan hati yang masih mencari jawapan, berdepan kekecewaan apabila menyedari sebuah hubungan sudah berubah, sebelum akhirnya memilih untuk menerima.

“Pada awalnya kita keliru dan banyak persoalan bermain dalam fikiran. Kemudian datang rasa kecewa apabila kita sedar keadaan sudah tidak sama. Tetapi akhirnya, kita sampai kepada reda.

“Bagi saya, itulah ‘Akur’. Bukan bermaksud kita terus hilang rasa atau melupakan semuanya, tetapi kita memilih untuk menerima dan terus berjalan,” katanya.

“Akur” sekali gus membuka satu lagi lembaran dalam perjalanan muzik Zaki, memperlihatkan perkembangan seorang penyanyi muda yang semakin selesa membawa karya dengan penceritaan dan emosi yang lebih mendalam.

MEMBERI RUANG UNTUK ZAKI TERUS BERKEMBANG

Bagi Sony Music Entertainment Malaysia, “Akur” bukan sahaja sebuah single baharu, tetapi menjadi sebahagian daripada perjalanan Zaki dalam membentuk identiti dan kematangan muziknya sebagai seorang artis.

Kenny Ong, Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara berkata, di Sony Music, pihaknya percaya perkembangan seorang artis bukan hanya diukur melalui sebuah lagu atau satu pencapaian, tetapi melalui keberanian mereka untuk terus berkembang, mencuba sesuatu yang berbeza dan membina identiti muzik sendiri. 

“Kami melihat potensi yang besar dalam diri Zaki dan ‘Akur’ merupakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan tersebut. Kami berharap karya ini dapat membuka ruang kepada lebih ramai pendengar untuk mengenali Zaki bukan sekadar sebagai seorang penyanyi muda, tetapi sebagai seorang artis yang mempunyai suara, karakter dan perjalanan muziknya sendiri,” ujar beliau.

Turut bersama dalam perjalanan karya ini adalah A Cap Records, yang melihat “Akur” sebagai sebuah lagu yang dekat dengan pengalaman dan perasaan pendengar.

Kimmy Khir, Pengasas A Cap Records

‘Akur’ bukan sekadar sebuah lagu, tetapi sebuah perjalanan. A Cap menjadi jambatan yang menghubungkan Zaki Yamani dengan ilmu, pengalaman dan jaringan bersama Sony Music Malaysia.

Setelah menyaksikan sendiri semangat dan keberaniannya berkarya, kami AKUR , Zaki sememangnya dilahirkan untuk ini. It’s your time to fly high!

Pada akhirnya, “Akur” bukan sebuah lagu yang meminta seseorang melupakan. Ia juga tidak menjanjikan bahawa luka akan hilang dalam sekelip mata.

Sebaliknya, ia hadir menemani mereka yang sedang belajar menerima bahawa ada manusia yang hanya ditakdirkan singgah, ada kenangan yang akan terus tinggal, dan ada persoalan yang mungkin tidak akan pernah menemukan jawapan.

Kerana kadang-kadang, cinta tidak berakhir apabila rasa itu hilang. Ia berakhir apabila kita akhirnya sedar bahawa sudah tiba masanya untuk mengundur.

Bukan dengan kebencian. Bukan kerana kalah. Tetapi dengan tenang. Dan akhirnya, akur. 

“Akur” nyanyian Zaki Yamani boleh didengarkan di semua platform penstriman digital. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button