
Sertai Syarikat Rakaman Antarabangsa, Zaki Yamani Kini Bernaung Di Bawah Sony Music Malaysia
Penyanyi muda yang semakin mencipta nama dalam industri muzik tanah air, Zaki Yamani, kini secara rasmi melangkah ke fasa baharu dalam kerjayanya apabila menyertai syarikat rakaman antarabangsa, Sony Music Malaysia.
Perkara tersebut diumumkan menerusi sebuah Majlis Menandatangani Perjanjian (Signing Ceremony) yang berlangsung hari ini, melibatkan Zaki Yamani dan Sony Music Malaysia.
Majlis tersebut turut menyaksikan perjanjian berkenaan dimeterai bersama Mr Kenny Ong, Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara.
Penyertaan Zaki bersama Sony Music Malaysia menandakan satu langkah penting dalam perjalanan seninya. Menerusi kerjasama ini, Zaki bakal mendapat peluang untuk terus mengembangkan bakat, meneroka ruang baharu dalam muzik serta memperluaskan jangkauan kerjayanya ke pasaran yang lebih luas, khususnya di rantau Asia Tenggara.
Sebagai sebahagian daripada perancangan seterusnya, Zaki juga bakal bekerjasama dengan beberapa penerbit muzik terkenal dari Indonesia bagi menghasilkan karya-karya baharu.
Kerjasama merentas sempadan ini bakal membuka ruang kepada Zaki untuk meneroka pendekatan muzik yang lebih luas, di samping membawa sentuhan serantau dalam projek-projeknya yang akan datang.
Perkembangan ini juga selari dengan usaha Sony Music Malaysia untuk membina perjalanan kerjaya Zaki secara lebih menyeluruh, bukan sahaja dalam memperkukuhkan kedudukannya sebagai seorang penyanyi di Malaysia, malah memperkenalkan muzik dan identitinya kepada pendengar di rantau ini.
Majlis istimewa tersebut turut diserikan dengan kehadiran para peminat serta ahli Fan Club Zaki Yamani yang hadir bagi memberikan sokongan dan bersama-sama meraikan satu lagi detik penting dalam perjalanan kerjaya seninya.
Menurut Zaki, beliau amat bersyukur dan teruja kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Sony Music, sebuah syarikat rakaman antarabangsa yang mempunyai jaringan dan pengalaman luas dalam industri muzik.

“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Sony Music. Saya melihat peluang ini sebagai satu langkah penting dalam perjalanan kerjaya saya.
“Insya-Allah, saya akan terus belajar, membina dan mengembangkan kerjaya nyanyian saya serta memberikan yang terbaik buat para peminat dan industri muzik,” kata Zaki Yamani.
Dengan penyertaannya bersama Sony Music Malaysia, Zaki berharap dapat terus menghasilkan karya-karya berkualiti, mencabar dirinya untuk meneroka sesuatu yang baharu serta membawa perjalanan seninya ke peringkat yang lebih tinggi.
Langkah ini bukan sekadar membuka lembaran baharu buat Zaki Yamani, tetapi menjadi permulaan kepada perjalanan yang lebih besar dalam memperkenalkan muzik dan bakatnya kepada khalayak yang lebih luas, dari Malaysia ke pentas serantau. – KopiPlanet.com
![Photo of Kris Dayanti, Ruth Sahanaya & Titi DJ Kembali Bersama Di Malaysia Menerusi ‘3DIVA LIVE IN MALAYSIA 2026 [TIMELESS]’](https://www.kopiplanet.com/wp-content/uploads/2026/09/IMG_6138-390x220.jpeg)


