Pelakon filem Kudrat 1968: High Council, Zarif Ghazi menafikan sebarang dakwaan berhubung salah laku yang dikaitkan terhadap dirinya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak pengurusannya pelakon itu menegaskan tidak pernah melakukan sebarang perbuatan yang didakwa.
“Pertama sekali, pihak pengurusan Zarif Ghazzi mengambil maklum dan memandang serius isu serta dakwaan yang sedang diperkatakan melibatkan artis di bawah pengurusan kami.
“Untuk makluman, Zarif dengan tegas menafikan sebarang dakwaan salah laku yang dikaitkan atau yang mungkin ditafsirkan sebagai merujuk kepada dirinya, sama ada secara langsung, tidak langsung mahupun melalui sebarang bentuk innuendo,” jelas kenyataan berkenaan.
Menerusi kenyataan itu, pihak pengurusan menegaskan Zarif sentiasa berpegang kepada konsep profesionalisme, integriti dan sentiasa hormat dalam setiap urusan beliau sepanjang penglibatan beliau dalam industri seni hiburan.
Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat dan wakil peguam telah dilantik bagi mendapatkan nasihat serta meneliti tindakan perundangan yang bersesuaian.
Baru-baru ini, nama pelakon berkenaan telah dikaitkan dengan satu posting oleh Puteri Balqis mendedahkan rasa kurang senang terhadap sikap seorang pelakon lelaki yang didakwa bersikap sombong dan sengaja bergesel dengannya tanpa sebab ketika menjalani penggambaran.
Dalam pada itu, pihak pengurusan sentiasa menjunjung tinggi prinsip profesionalisme, rasa hormat dan keselamatan setiap individu dalam industri seni dan hiburan.
“Kami menyeru semua pihak, termasuk pihak media dan masyarakat, agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi, maruah dan hak mana-mana individu yang terlibat.
“Buat masa ini, kami menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan saluran perundangan yang sewajarnya. Sehubungan itu, pihak kami tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara yang masih dalam penelitian,” jelasnya.
Pada masa sama, pihaknya menghargai perhatian dan sokongan semua pihak serta berharap agar proses sewajarnya diberikan ruang untuk berjalan secara adil dan profesional. – KopiPlanet.com




