Selepas suatu tempoh menyepi daripada perhatian umum, Uchop Ahmad kembali membawa sebuah kisah yang dekat dengan kehidupannya sendiri menerusi single Aku Tekad.
Kali ini, kepulangannya turut membawa satu hasrat peribadi untuk menunjukkan kepada anak lelakinya bahawa cabaran hidup boleh dihadapi dengan usaha, keberanian dan kesungguhan meneruskan cita-cita.
Di sebalik ketiadaannya, Uchop memilih untuk memberikan perhatian kepada keluarga, khususnya menemani anak lelakinya yang berdepan tekanan emosi ketika melalui pengalaman dalam industri seni.
Bagi Uchop, masa yang diberikan untuk menyokong anaknya merupakan sesuatu yang amat bermakna.
“Ketika anak saya melalui waktu yang sukar, saya mahu berada di sisinya. Saya mahu beri dia ruang, sokongan dan kekuatan sebagai seorang bapa. Bagi saya, tempoh itu bukan masa yang sia-sia kerana keluarga juga memerlukan saya,” katanya.
Pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada dorongan untuk Uchop kembali melangkah. Melalui tindakannya sendiri, beliau mahu memberikan semangat kepada anaknya untuk terus percaya pada kemampuan diri.
“Saya mahu anak saya melihat bahawa tiada apa yang datang dengan mudah dalam kehidupan. Ada masanya kita jatuh dan hilang keyakinan, tetapi kita perlu cuba bangun semula.
“Saya juga masih berusaha mengejar cita-cita saya. Mudah-mudahan usaha ini memberi dia kekuatan untuk meneruskan impiannya,” jelasnya.
Aku Tekad menggambarkan perjalanan Uchop mengharungi kehidupan, memikul tanggungjawab dan mencari semula keyakinan sebagai seorang penyanyi. Lagu ini menjadi luahan seorang lelaki yang masih menyimpan impian serta keberanian untuk mencuba sekali lagi.
Peluang bersama Aryan Putra Entertainment (APE), dengan sokongan pasukan A*CAP (Archive Capital), memberikan sinar baharu kepada perjalanan seninya. Kepercayaan dan semangat yang diterima sepanjang pelaksanaan projek ini mendorong Uchop untuk kembali bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh.
“Bukan mudah untuk terus bergerak dalam industri apabila kita tidak mempunyai sokongan sebuah label. Peluang melalui projek khas ini membuka jalan untuk saya kembali. Apabila ada pasukan yang percaya dan sanggup sama-sama mengusahakannya, saya rasa lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik.”
“Saya tekad untuk tidak mempersia-siakan peluang dan usaha kali ini. Saya mahu buktikan bahawa kemampuan serta semangat saya untuk menyanyi masih ada,” ujarnya.
Masih mengekalkan genre rock balada yang sebati dengan jiwanya, Uchop turut menerima pendedahan baharu dalam aspek imej, persediaan dan pelaksanaan projek secara lebih tersusun.
Pengalaman bekerja bersama APE dan A*CAP membuka ruang untuk beliau terus belajar serta memahami pendekatan yang dapat membantu perkembangan kerjayanya.
“Walaupun sudah mempunyai pengalaman, masih banyak perkara yang saya boleh pelajari. Kali ini saya mendapat pendedahan tentang imej dan bagaimana sesebuah projek dirancang serta dilaksanakan.
“Saya hargai proses itu kerana pada usia ini pun, kita masih perlu terbuka untuk belajar dan memperbaiki diri,” ujarnya.
Kisah di sebalik Aku Tekad turut diterjemahkan melalui muzik video arahan Esham Shahlin, yang mengolah perjalanan kehidupan Uchop dengan menyentuh pengalaman peribadi, keluarga dan persahabatan.
“Usaha Esham merungkai perjalanan hidup saya dalam sebuah muzik video sangat saya hargai. Ada kisah permulaan saya, kehidupan, keluarga dan kawan-kawan.
Apabila semuanya diterjemahkan dalam sebuah cerita, ia menjadi sesuatu yang boleh saya lihat semula untuk mengingatkan diri tentang perjalanan yang sudah saya lalui dan sebab saya perlu terus berusaha,” katanya.
Melalui “Aku Tekad”, Uchop kembali dengan semangat untuk membina langkah seterusnya. Berbekalkan pengalaman hidup serta sokongan pasukan yang percaya pada kebolehannya, beliau berharap karya ini turut menyentuh mereka yang sedang mencari kekuatan untuk bangkit semula. – KopiPlanet.com




