Selebriti versatil, Kelly Azman sekali lagi mencuri perhatian warga net apabila tampil dengan sebuah cover lagu terbaharu berjudul “Cukup Sampai Sini”, nyanyian asal penyanyi popular, Nabila Razali.
Perkongsian video nyanyian tersebut di media sosial Kelly Azman nyata mengundang pelbagai reaksi daripada netizen sehingga menjadi antara topik bualan dalam kalangan pengguna media sosial.
Lebih menarik, Kelly mengakui berasa amat terharu apabila ada segelintir netizen mencadangkan namanya untuk menjadi wakil Malaysia ke pertandingan nyanyian Eurovision Asia 2027.
Bagaimanapun, bagi Kelly, cadangan tersebut dianggap sebagai satu gurauan dan usikan daripada netizen yang memberikan sokongan terhadap dirinya.
“Sejujurnya, saya rasa sangat terharu apabila ada yang mencadangkan nama saya untuk mewakili Malaysia ke pertandingan Eurovision Asia 2027.
“Namun begitu, saya anggap perkara itu sebagai gurauan netizen sahaja. Apa pun, saya hargai setiap sokongan dan komen yang diberikan,” katanya.
Dalam masa sama, Kelly juga tidak terlepas daripada menerima pelbagai kritikan dan kecaman daripada sesetengah netizen berhubung persembahan cover lagu berkenaan.
Namun, Kelly memilih untuk mengambil pendekatan positif dan tidak terlalu memikirkan komen negatif yang diterima kerana apa yang dilakukan hanyalah sekadar hiburan serta ruang untuk dirinya berkarya dan berkongsi minat dalam bidang nyanyian bersama para pengikutnya.
Lebih menggembirakan, pemilik lagu asal, Nabila Razali turut meninggalkan komen di ruangan media sosial Kelly Azman sebagai tanda sokongan terhadap cover yang dihasilkan itu.
Perkara tersebut pastinya memberikan satu penghargaan tersendiri buat Kelly apabila hasil nyanyiannya turut mendapat perhatian daripada penyanyi asal lagu berkenaan.
Mengulas mengenai perancangan akan datang, Kelly berharap agar terus diberikan peluang dan ruang untuk menghasilkan lebih banyak cover lagu popular dalam pelbagai genre.
Kelly juga menganggap setiap komen, kritikan dan sokongan yang diterima sebagai sebahagian daripada perjalanan seninya untuk terus mencuba sesuatu yang baharu.
Bagi Kelly Azman, yang penting adalah keberanian untuk berkarya, menghiburkan orang ramai dan terus melakukan apa yang diminati. – KopiPlanet.com




