Bermula hanya dengan modal keyakinan, akaun syarikat milik seorang sahabat dan bayaran RM250 bagi setiap transaksi, Larenme PR & Media kini berkembang menjadi sebuah agensi dengan lebih 15 kakitangan selepas dua tahun beroperasi.
Kisah di sebalik penubuhan agensi milik Pengarah Eksekutif, Asyraf Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif, Nazrin Kamal itu dikongsikan pada majlis ulang tahun kedua Larenme yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), baru-baru ini.
Lebih menarik, majlis berkenaan turut menyaksikan pengenalan lima bakat yang kini diwakili Larenme bagi urusan kerjasama jenama, endorsmen dan kolaborasi komersial iaitu Syed Saddiq, SpaceDollah, Dzulfaqar, Papa Ayie dan Boss James.
Bermula dengan RM250
Menurut Asyraf, idea menubuhkan Larenme tercetus selepas beliau kerap menghubungkan syarikat milik kenalan dengan influencer dan selebriti yang dikenalinya.
Apabila melihat jenama yang dibawa semakin mendapat kepercayaan, Asyraf menyedari peluang tersebut boleh dikembangkan menjadi sebuah perniagaan.
Namun, ketika itu timbul persoalan mudah tetapi penting, iaitu ke mana bayaran daripada klien perlu disalurkan.
Lalu, beliau menghubungi sahabat baiknya sejak lebih 10 tahun, Nazrin Kamal, yang ketika itu mempunyai sebuah syarikat berdaftar.
“Aku nak guna account company kau boleh?”
Itulah antara ayat yang menjadi titik mula kepada kerjasama mereka.
Tawaran awal Asyraf cukup mudah. Bagi setiap transaksi yang masuk, Nazrin akan menerima RM250.
Nazrin bersetuju
Namun, apa yang bermula dengan RM250 akhirnya berkembang menjadi perbincangan mengenai pegangan saham syarikat secara sama rata.
“Tapi RM250 jadi RM500. RM500 entah macam mana jadi 30 peratus. Sedar-sedar, kami dah duduk bincang perjanjian pemegangan saham 50/50,” kata Asyraf yang mencetuskan tawa tetamu.
“Kalau dia boleh tukar RM250 jadi 50 peratus syarikat, memang saya nak dia duduk sebelah saya bila berunding dengan klien,” selorohnya.
Mesyuarat pertama di cigar lounge
Nazrin pula berkongsi sisi lain perjalanan awal mereka yang disifatkan cukup berbeza daripada kebiasaan.
Mesyuarat pertama mereka berlangsung di cigar lounge di The Majestic Hotel Kuala Lumpur, lengkap dengan komputer riba, pembentangan dan unjuran aliran tunai.
Malah, pada peringkat awal, mereka sering mengambil gambar selfie sambil mengangkat ibu jari selepas selesai bertemu klien.
Bukan untuk dimuat naik ke media sosial, sebaliknya sekadar menjadi bukti kepada isteri masing-masing bahawa mereka benar-benar keluar bekerja dan bukan sekadar melepak.
“Asyraf pemikir, saya pelaksana. Kadang-kadang dia telefon saya pukul 2 pagi kongsi idea dan harap boleh siap esok pagi,” kata Nazrin sambil ketawa.

Daripada empat kepada lebih 15 pekerja
Larenme yang ditubuhkan secara rasmi sebagai Larenme Sdn Bhd pada 2024 bermula dengan hanya empat kakitangan.
Nama Larenme pula diambil daripada gabungan nama Melayu yang diberikan sentuhan bunyi Perancis bagi menampilkan identiti lebih antarabangsa.
Kini, agensi berkenaan menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai kategori klien termasuk syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menariknya, klien pertama mereka, MommyHana, masih kekal bersama Larenme sehingga hari ini.
Antara pencapaian lain ialah kejayaan Larenme menganjurkan konsert KRU untuk kira-kira 3,000 ejen Prudential BSN Takaful di bawah satu bumbung pada Januari lalu.
Selain perkhidmatan liputan media, kempen media sosial, podcast dan pengurusan acara, Larenme kini turut mengembangkan perniagaan menerusi bahagian pengurusan kerjasama jenama untuk bakat.
Agensi itu turut menjalin kerjasama strategik dengan Nuffnang, Commerce.Asia, Mantayay dan Enrichment.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pengasas Commerce.Asia merangkap Pengerusi MDEC, Ganesh Kumar Bangah.
Daripada ‘anak Dato’ K’ kepada pembuka pintu
Bagi Asyraf, perkembangan Larenme bukan sekadar mengenai pertumbuhan sebuah syarikat, sebaliknya mempunyai makna peribadi yang lebih besar.
Katanya, sepanjang kehidupan, beliau sering dikenali melalui individu lain di sekelilingnya.
“Dulu anak Dato’ K. Kemudian bapak Arif. Bila Mutyara berjaya, saya dikenali sebagai suami Tya.
“Ada orang ingat saya kerja dengan Tya,” katanya berseloroh.
Namun, kini Asyraf mahu Larenme menjadi platform yang membolehkan lebih ramai individu mendapat peluang dan dikenali menerusi usaha sendiri.
“Dulu saya nak orang cakap, ini Asyraf punya. Tapi hari ini, saya nak Larenme jadi tempat orang lain pula dikenali.
“Ramai orang dah buka pintu untuk saya. Larenme ialah cara saya buka pintu itu untuk orang lain,” katanya.
Kenali lima bakat Larenme
Larenme kini mewakili lima bakat bagi urusan kerjasama jenama, endorsmen dan kolaborasi komersial.
Syed Saddiq – Sahabat Asyraf sejak awal usia 20-an. Persahabatan mereka bermula ketika menghadiri majlis berbuka puasa dan kedua-duanya pernah bergurau mengenai ‘ponteng’ tarawih bersama.
SpaceDollah – Pengarah Kreatif Larenme yang dikenali dengan idea-idea kreatif dan luar kotak. Menurut Asyraf, setiap idea Dollah bermula di “level 15”, manakala tugasnya adalah membawa idea tersebut turun ke “level 8” supaya lebih praktikal.
Dzulfaqar – Bakat yang mendapat perhatian Asyraf selepas beliau sendiri mengakui, “Bro, I’m a fan.” Larenme melihat Faqar sebagai antara pencipta kandungan yang berpotensi besar untuk terus berkembang dalam industri tempatan.
Papa Ayie – Dikenali menerusi kandungan yang santai dan bersahaja sehingga mampu mempengaruhi keputusan pembelian penonton tanpa disedari.
“Tiga hari lepas tengok, tiba-tiba anda terfikir, ‘Eh, kenapa aku beli benda ni?’ Saya gelar dia ilmu hitam,” kata Asyraf.
Boss James – Bakat yang dikenali kerana komitmen penuh dalam setiap perkara yang dilakukannya.
Dengan pertambahan bakat dan rangkaian kerjasama yang semakin meluas, Larenme kini memasuki fasa baharu untuk mengembangkan peranannya dalam industri PR, media dan pengurusan bakat di Malaysia. – KopiPlanet.com



