Cerita ArtisHiburan

Akim & The Majistret Tampilkan Kelainan Menerusi Stereotype

Vokalis kumpulan Akim & The Majistret (ATM), Akim Ahmad  mengakui kumpulannya tampil dengan kelainan menerusi single terbaharu mereka berjudul Stereotype yang berentak rancak.

Akim mengatakan mereka memang sengaja mencari kelainan dalam single terbaharu kerana mahu memperlihatkan sisi lain kumpulan itu yang ingin keluar daripada zon selesa mereka.

“Sebenarnya lagu Stereotype ini kami cipta untuk dinyanyikan penyanyi wanita, tetapi bila fikir balik kenapa kami sendiri tak cuba nyanyikan lagu ini untuk buat kelainan kepada band. Akhirnya, kami sama-sama bersetuju merekodkan lagu ini untuk single terbaharu.

“Tidak dinafikan lagu ini ada sedikit kedengaran macam lagu-lagu yang sering dinyanyikan isteri saya, Stacy. Kami pun memang dah merancang untuk Stacy rakam lagu ini dengan versinya pula selepas ini,” kata Akim kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran single Stereotype di The Bee, Publika, Kuala Lumpur semalam.

Lagu Stereotype merupakan hasil ciptaan Zimi dan Akim, yang mana masing-masing menggunakan nama pena sebagai Lah dan Hang Nadim.

Menurut Akim, dia mengakui lirik Stereotype berkisarkan tentang dirinya sendiri yang sentiasa merasakan dirinya betul dalam semua perkara.

“Kalau dengar liriknya itu, semua saya tulis pasal diri saya yang sentiasa merasakan diri ini betul. Cuma itu dululah kerana sekarang saya dah lain,” katanya berseloroh.

Dalam majlis itu juga telah dilancarkan muzik video Stereotype yang telah dirakamkan di Pulau Jeju, Korea pada Januari lalu.

Video yang mengambil inspirasi daripada muzik K-pop itu memaparkan aksi bersahaja kesemua ahli kumpulan itu bergaya ala penyanyi dari negara Asia Timur itu.

Sementara itu, ketika ditanya adakah mereka risau sekiranya dikecam oleh peminat K-pop kerana menghasilkan muzik video seakan-akan penyanyi kelahiran negara Kimchi itu, Akim berkata mereka sudah bersedia menerima segala kecaman mengenai perkara tersebut.

“Seperti yang semua tahu, penggambaran muzik video ini dilakukan di Korea Selatan. Jadi, secara tidak langsung pengaruh muzik dari sana turut kami masukkan dalam muzik video ini.

“Kita tidak boleh menidakkan pengaruh muzik K-pop yang bukan sahaja menjadi fenomena di negara kita, sebaliknya di seluruh dunia. Mana tahu dengan mencuba aliran muzik baharu ini kami dapat tarik peminat K-pop untuk meminati band kami pula,” kata Akim lagi.

Band yang pernah popular dengan lagu Mewangi dan Potret ini telah ditubuhkan pada tahun 2014. Selain Akim, ATM turut dianggotai Zimi, Freddy, Gjie, Hafeez, Rajwan dan Faoq. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button