Cerita ArtisHiburan

Hunny Madu Terus Bergelar Rapper Untuk Jadi Inspirasi Anak

Penyanyi rap dan hos Hunny Madu tidak melihat statusnya sebagai ibu kepada dua cahaya mata menjadi penghalang untuk meneruskan kariernya sebagai seorang rapper.

Menurut selebriti berusia 34 ini, dia mahu menjadikan kisah kerjayanya sebagai satu inspirasi untuk anak-anaknya mengejar impian mereka di masa akan datang.

“Memang diakui sebagai seorang ibu, saya kini lebih mementingkan masa bersama anak-anak. Namun begitu, bila tiba hal kerjaya, saya kena bijak bahagikan masa untuk suami, anak-anak dan karier seni.

“Kalau dulu saya boleh duduk sehingga jam 2 pagi di studio tapi sekarang dah tak boleh macam dulu. Saya kalau boleh nak cepat-cepat habis rekod dan kemudian fokus pada anak-anak pula.

“Itu semua terpulang pada kita bagaimana untuk bahagikan masa dan untuk saya, saya masih meneruskan lagi kerjaya sebagai rapper kerana ia merupakan cita-cita saya daripada dulu lagi.

“Selain itu, saya juga mahu jadikan kisah kerjaya saya ini sebagai inspirasi kepada anak-anak agar mereka turut bersemangat mengejar impian seperti mana yang dilakukan ibu mereka satu ketika dahulu,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Hasil perkahwinan dengan Khairul Azhar Abdul Wahid pada April 2010, Hunny mempunyai sepasang cahaya mata, Eva Medina, 6, dan Adam Musa yang baharu sahaja menginjak usia empat bulan.

Hunny atau nama sebenarnya, Hani Farhana Mohd Hatim ditemui pada majlis pelancaran single Sudah nyanyian kumpulan Indera di pejabat Warner Music di Mutiara Damansara, semalam.

Hunny telah dilamar oleh Indera untuk menghasilkan lirik rap sekali gus berkolaborasi dengan mereka menerusi single pengenalan band tersebut.

Hunny yang sebelum ini diketahui lebih senang menyanyi dalam bahasa Inggeris mengakui ia merupakan satu cabaran buatnya untuk menulis lirik rap dalam bahasa Melayu.

Namun, setelah mendalami melodi dan lirik lagu Sudahlah, dia hanya mengambil masa selama dua hari sahaja untuk menyiapkan lirik bahagian rap tersebut.

“Ada cabarannya bila saya perlu menulis rap dalam bahasa Melayu sebab ia ada kehalusannya yang tersendiri dan tidak begitu straight forward seperti kita menulis dalam bahasa Inggeris.

“Jadi, pengalaman menulis rap dalam bahasa Melayu ini jadi satu benda yang cukup menarik untuk saya dan saya mahu cuba teroka lagi. Mana tahu saya boleh keluar album penuh bahasa Melayu selepas ini dengan berbekalkan pengalaman berkolaborasi dengan kumpulan Indera,” katanya. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Hunny Madu

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button