
Tam Spider Masak Makanan Untuk Isteri Sedang Berpantang
Penyanyi Tam Spider yang baharu sahaja menimang cahaya mata perempuan Khamis lalu teruja berkongsi cerita yang dia sendiri menjaga ketat pemakanan isterinya, Aida Mustafa, 36, sepanjang tempoh berpantang.
Menurut Tam atau nama sebenar Rustam Mustafa, dia sendiri akan memasak menu-menu untuk wanita berpantang bagi memastikan kelancaran proses berpantang isteri tercinta.
“Sepanjang dua bulan ini memang saya pantau aktiviti berpantang isteri. Makanan pun saya masak sendiri sebab saya tahu serba sedikit asas-asas memasak. Senang cerita memang saya jaga ketat pemakanan isteri sepanjang tempoh dia berpantang.
“Yang menarik, saya dan anak-anak pun ikut ‘berpantang’ sekali kerana kami semua makan menu yang sama saya masak lauk-lauk isteri berpantang,” katanya berseloroh kepada KopiPlanet.com ketika ditemui selepas berakhir konsert akhir Mentor Otai di Sri Pentas 2, Shah Alam semalam.
Dalam pada itu, vokalis kumpulan Spider itu turut memberitahu dia ingin menamakan anaknya iu dengan nama Aminah.
“Tiada sebab-sebab tertentu kami pilih nama Aminah. Mungkin sebab anak-anak saya sebelum ini nama pangkal mereka bermula dengan huruf A, jadi saya teruskan tradisi itu.
“Saya pilih Aminah sebab ia satu nama yang unik dan klasik selain membawa makna yang baik. Setakat ini saya panggil ‘baby’ sebagai Cik Minah iaitu nama timangannya,” ujar Tam.
Mengakui kekok selepas lima tahun tidak mengendong bayi, Tam berkata pengalaman menjaga Aminah sememangnya berbeza memandangkan ini kali pertama dia menjaga anak perempuan.
“Tidak dinafikan saya sedikit kekok, lagi-lagi ini anak perempuan pertama tapi lama-lama saya dah biasa. Dulu biasa tengok kawan-kawan timang anak perempuan, kali ini bila tiba rezeki saya ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Tam dan isteri berkahwin pada 8 November 2009 dan dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Afiq, 8, dan Muhammad Aqil, 5. Tam turut mempunyai seorang anak lelaki menerusi perkahwinan pertamanya, Muhd Aliff, 24. – KopiPlanet.com