
Yana Samsudin, Suami Lebih Selesa Bergilir-Gilir Jaga Anak
Pelakon Yana Samsudin mengakui berasa terkesan dengan pelbagai kisah melibatkan pengasuh lebih-lebih lagi apabila kisah menyayat hati menimpa Allahyarham Adam Rayqal yang berlaku baru-baru ini.
Menurut ibu kepada Aisy Mateen, 2, ini, dia memang tidak mempercayai orang luar untuk menjaga anaknya dan lebih selesa bergilir-gilir menjaga cahaya mata sulungnya itu bersama suami, Fadzil Zahari.
“Saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada adik Adam Rayqal. Tak sangka ada manusia yang sanggup buat begitu pada anak kecil yang tak tahu apa-apa.
“Perkara-perkara macam ini buat kita makin susah nak percaya orang luar jaga kita. Macam sekarang saya memang tidak ada pengasuh sebab saya dan suami bergilir-gilir jaga anak,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Yana, 34, ditemui pada majlis rumah terbuka Media Prima di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Yana, biarpun kini dia lebih senang bergilir-gilir menjaga Aisy dengan bantuan suami, namun tidak menolak akan mempertimbangkan khidmat bantuan pengasuh pada masa akan datang.
“Saya tidak menolak untuk mendapatkan bantuan pengasuh di kemudian hari, tetapi saya hanya akan hantar sekiranya Aisy sudah boleh bercakap. Senang sekiranya kalau ada benda tidak kena, dia sekurang-kurangnya sudah pandai mengadu kepada kita,” ujar pelakon kelahiran Yong Peng, Johor ini.
Sementara itu, ketika ditanya tidakkah dia merindui bidang lakonan, Yana berkata buat masa ini dia lebih senang dengan kerja pengacaraan, namun tidak sesekali melupakan cabang seni lakon yang memperkenalkannya ke dalam industri.
“Saya kini banyak tertumpu pada kerja pengacaraan, namun kalau ada kelapangan memang saya tidak menolak mana-mana tawaran berlakon yang diberikan,” katanya yang baharu sahaja muncul dengan telefilem raya berjudul Lamaran Perfect yang ditayangkan pada 1 Syawal lalu. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Yana Samsudin