
Dilabel Penyanyi Otai, Zamani Tak Kisah Bermula Dari Bawah Semula
Walaupun dirinya sudah dilabelkan sebagai penyanyi otai atau lagenda, Zamani menyatakan dia tidak kisah sama sekali untuk bermula dari bawah dengan menyertai sesebuah pertandingan bagi mencabar dirinya.
Menurut penyanyi berusia 45 tahun itu, dia melihat penyertaannya dalam program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) itu sebagai salah satu caranya untuk mencabar diri dan keluar daripada zon selesa.
“Hasrat saya mahu terus maju dan mencabar diri. Kalau saya takut kena komen dengan juri, sampai situ sahajalah tahap kita, tiada apa yang boleh nak dipelajari lagi.
“Ia tidak menjadi masalah untuk saya bermula dari bawah semula. Malah, saya lihat peluang ini untuk menjadi lebih versatile dengan membawakan lagu-lagu penyanyi lain. Saya tak cakap saya boleh, tetapi yang penting kita mencuba,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Vokalis kumpulan Slam yang popular sekitar era 90-an itu ditemui pada majlis pengenalan peserta GV5 yang diadakan di Palace of Golden Horses, Seri Kembangan semalam.
Sementara itu, Zamani menyatakan dia tidak merasa tertekan biarpun ramai membuat ramalan bahawa dia boleh memenangi gelaran juara GV5.
Sebaliknya, penyanyi berkenaan hanya memanjatkan doa agar dirinya diberikan kesihatan yang baik pada malam pertandingan itu nanti.
“Saya nak cuba sertai pertandingan ini kerana ia satu benda baharu bagi saya. Itu pendapat orang kalau mereka ramalkan saya boleh jadi juara dan saya berterima kasih dengan pendapat mereka. Namun, kita belum tengok lagi persembahan peserta-peserta lain yang pada saya semuanya bagus-bagus belaka.
“Yang penting, pada setiap minggu malam pertandingan nanti kesihatan saya berada dalam keadaan baik agar dapat memberikan persembahan terbaik buat peminat semua,” ujarnya lagi yang akan mendendangkan lagu berhantu Slam, Gerimis Mengundang pada minggu pertama konsert itu nanti.
Selain Zamani, GV5 turut disertai bintang seperti Shafie Rio, Amelina, Maya, Dia Fadilla, Hetty Sarlene, Noryn Aziz, Safura Yaacob, Farahwahida dan peserta berkumpulan/duo iaitu Elite, Forteen dan Billy Zulkarnain.
GV5 masih mengekalkan hos terdahulu iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse. Ia akan bersiaran pada setiap Ahad bermula 30 September ini pada jam 9 malam dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). GV5 akan bersiaran secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (124).
Format permarkahan 100 peratus bergantung kepada juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim.
Juara GV5 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi, naib juara (RM50,000) dan tempat ketiga (RM30,000).
Sebelum ini, penyanyi Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3) dan Aishah (GV4) juga pernah dinobatkan sebagai juara GV untuk musim-musim terdahulu. – KopiPlanet.com